Video| Perginya Johan Neeskens! Memori 1979 di Stadium Merdeka! New York Cosmos berdepan Malaysia!
Published byJOHAN Neeskens mengadu kurang sihat ketika program Jurulatih Dunia KNVB di Algeria, beberapa hari sebelum menghembuskan nafas akhirnya. - Kredit foto: KNVB
LEGENDA naib juara Piala Dunia 1974 dan 1978, Johan Neeskens yang meninggal dunia di Algeria pada 6 Oktober 2024 lalu, pernah mempamerkan kehebatannya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur tanggal 17 Oktober 1979.
Bekas perantara pasukan Belanda dan pengamal taktik Bola Sepak
Mutlak (Total Football) itu menyarung jersi New York Cosmos, juara Liga Bola
Sepak Amerika Utara yang mengadakan kunjungan untuk menentang Malaysia dalam satu
perlawanan persahabatan.
Neeskens juga ditemani bintang-bintang dunia dalam kelab
Amerika Syarikat itu seperti Franz Beckenbauer (Jerman Barat), Giorgia
Chinaglia (Itali), Carlos Alberto Torres (Brazil) dan Antonio Carbognani
(Argentina).
Lain-lain termasuk Andranik Eskandarian (Iran), Dennis
Tueart (England), Santiago Formosa (Sepanyol), Erol Yasin (Turki) dan Vladislav
Bogicevic (Yugoslavia).
Aksi Johannes Jacobus Neeskens (nama sebenar mendiang) dan rakan-rakan sepasukan New York Cosmos kendalian Julio Mazzei disaksikan oleh lebih kurang 30,000 hadirin Stadium Merdeka yang rela membeli tiket-tiket berharga RM20, RM10 dan RM6.
JOHAN Neeskens menyarung jersi Malaysia yang ditukarnya dengan seorang pemain ketika New York Cosmos bertandang ke Stadium Merdeka bagi perlawanan persahabatan pada 1979.
Dia tidak membolosi gawang Malaysia kawalan Hamid Ramli yang kemudian digantikan oleh R. Arumugam sebaliknya Chinaglia yang mencatat hatrik selain dua jaringan Tueart untuk membawa pelawat menang besar 5-0.
Datuk Abdah Alif yang turut beraksi menentang New York
Cosmos, berkata, “dia dan bintang lain cukup laju. Mereka besar dan tinggi. Satu
pengalaman baharu bagi pemain-pemain amatur negara menentang bintang-bintang
profesional dunia.
“Pasukan Malaysia ketika itu baru sahaja (dua minggu
sebelumnya) memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 dan perlawanan ini
sebagai persediaan menjelang Kelayakan Olimpik Kumpulan 2 Asia (Mac hingga
April 1980) juga di Stadium Merdeka,” kata bekas perantara bertubuh cilik kelahiran
Terengganu tetapi mencipta nama bersama Pahang ini.
Turut membarisi skuad negara berdepan New York Cosmos ialah Shukor Saleh, Soh Chin Aun, Abdullah Ali, Kamaruddin Mohd. Nor, Ramli Abdullah, Jamal Nasir Ismail, James Wong, D. Devandran, Hassan Sani, Santokh Singh, Isa Bakar, Wan Jamak Wan Hassan dan Mokhtar Dahari.
ABDAH Alif, anggota skuad pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979 dan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 yang berdepan barisan bintang profesional dunia New York Cosmos.
Neeskens yang juga bekas bintang kelab Ajax Amsterdam dan Barcelona,
dilaporkan meninggal dunia ketika mengendalikan program Jurulatih Dunia
kelolaan Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB), dipetik daripada laman
sesawang rasmi persatuan.
Mendiang turut dikenang sebagai penjaring gol tunggal Belanda
menerusi sepakan penalti pada minit kedua sebelum ditumpaskan 2-1 oleh Jerman
Barat pimpinan ‘Kaiser’ Beckenbauer dalam final Piala Dunia 1974 di Stadium
Olimpik, Munich.
Neeskens mengumpul 49 penampilan dan 17 gol sebagai pemain Oranje (Si Jingga) selama 11 tahun dan pernah menjadi penolong pengurus kelab handalan Barcelona dan Galatasaray selain pasukan kebangsaan Australia dan negaranya, membantu Frank Rijkaard.
JOHAN Neeskens ketika menyarung jersi New York Cosmos dari 1979 hingga 1984. - Kredit foto: USA Soccer 1970s
Pemergian anak jati Heemstede yang lahir pada 15 September
1951 ini, meninggalkan seorang balu, Marlis dan empat anak mereka, Christian,
Tamara, Bianca dan Armand serta dua cucu, Djoy dan Lovee.
Sekalipun Neeskens lebih dikenali sebagai seorang pendiam dan jarang memberikan temu bual kepada media, laman KNVB memetik dua ungkapan masyhur ketika hayatnya:
“Bola sepak yang amat cantik tidak selalu menang tetapi menakjubkan saya ialah apabila orang ramai, seluruh dunia masih bercakap tentang pasukan Belanda itu (naib juara Piala Dunia). Bola sepak yang terbaik dan tercantik, Bola Sepak Mutlak (Total Football).”
“Semuanya tentang kesatuan. Anda perlukan setiap orang di atas padang. Anda hanya mampu menjadi juara sebagai sebuah pasukan. Hanya ada seorang bintang dan gerangannya ialah pasukan.” - KitaReporters
JOHAN Neeskens (kiri) menyepak kencang sepakan penalti untuk gol Belanda menewaskan penjaga gol Jerman Barat, Sepp Maier (1) dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1974 di Munich. Empat dari kanan ialah kapten lawan, Franz Beckenbauer yang kemudiannya menjadi rakan sepasukan New York Cosmos. - Kredit foto: KNVB