Dendam Harimau Malaya telah berbalas! Lebur rekod buruk 10 tahun tanpa menang berdepan negara Arab!

Published by
KitaReporters

Pemain Harimau Malaya meraikan kejayaan muncul juara Pestabola Merdeka 2024 selepas membenamkan cabaran Lubnan 1-0 hasil jaringan Romel Morales pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 September 2024.-Kredit foto : TVS.



Gol jaringan pemain naturalisasi negara Romel Morales pada minit ke-38 ketika membenam cabaran Lubnan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebenarnya begitu bermakna buat pasukan kebangsaan.

Walaupun gol tersebut dihasilkan melalui satu sepakan yang boleh dianggap lemah dan hampir-hampir dinafikan oleh penjaga gol pihak lawan, namun ramai yang tidak menyedari gol tunggal Harmau Malaya itu bukan sekadar mengakhiri kemarau selama 11 tahun kejuaraan Pestabola Merdeka yang kali terakhir di menangi ketika menewaskan Myanmar 2-1 dalam perlawanan akhir edisi 2013.

Gol kemenangan itu juga melunaskan dendam Harimau Malaya yang dua kali dikecewakan oleh Lubnan pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2019 di mana pasukan negara tumpas dengan keputusan 1-2 dalam kedua- dua pertemuan di Kuala Lumpur dan Beirut, Lubnan.


Pergerakan Romel Morales sentiasa dikawal oleh pertahanan Lubnan. - Kredit foto Makanbola.


Pertahanan negara, Feroz Baharudin antara pemain yang beraksi cemerlang mengekang serangan penyerang Lubnan bagi memastikan gol negara tidak dibocori.-Kredit foto : FAM.


Apa yang lebih manis melalui  kemenangan tersebut pasukan kebangsaan meraih tambahan 5.68 mata untuk mengumpul 1117.68 mata keseluruhan, sekali gus melonjak kedudukan anak tangga pasukan bola sepak negara  dari tangga 134 ke 132 mengikut ranking terkini FIFA. 

Selain itu, rekod buruk 25 pertemuan Harimau Malaya dengan pasukan negara Arab tanpa sebarang kemenangan selama 10 tahun juga dapat dileburkan melalui kemenangan tersebut. 

Kali terakhir pasukan kebangsaan menang ke atas sebuah pasukan dari negara Arab adalah pada tahun 2014 selepas menewaskan Yaman dengan jaringan 2-1 ketika itu.


Percubaan Romel Morales di dalam kotak penalti menghasilka gol tunggal perlawanan yang mebolehkan Harimau Malaya mncul juara Pestabola Merdeka 2024.- Kredit foto : Bernama.


Melihat daripada statistik perlawanan menentang Lubnan itu, Harimau Malaya semenangnya mempunyai kelebihan ketika beraksi di atas padang terhadap pasukan berkedudukan ranking ke-116 dunia itu dengan penguasaan bola pasukan kebangsaan adalah 57 peratus berbanding 43 peratus oleh Lubnan. 

Dari segi serangan pula, pasukan kebangsaan melakukan 87 serangan dengan 42 daripadanya boleh mengancam pintu gol lawan berbanding Lubnan hanya 24 serangan merbahaya daripada 69 serangan ke arah pintu gol Malaysia. 


Wan Zack Haikal muncul pemain terbaik perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 menewaskan Myanmar 2-0 untuk muncul juara. - Kredit foto: Teganuku.com.


Sepanjang tempoh 90 minit permainan sebenar itu, Harimau Malaya  turut melakukan lapan percubaan dengan empat daripadanya cubaan tepat bagi menghasilkan satu gol sementara Lubnan hanya melakukan empat percubaan dengan hanya satu daripadanya percubaan tepat ke arah gol negara 

Selain itu, Malaysia juga berjaya mendapatkan lima sepakan sudut dan hanya dua bagi Lubnan yang turut mengutip dua kad kuning dan satu kad merah berbanding Malaysia yang dilayangkan tiga kad kuning oleh pengadil perlawanan.

Diharapkan kejayaan ini akan menjadi titik mula kepada pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente untuk meneruskan kecemerlangan pasukan kebangsaan dalam usaha membaiki kedudukan ranking FIFA selepas ditinggalkan oleh jurulatih berbangsa Korea, Kim Pan-gon.- KitaReporters


Kesebelan utama skuad negara ketika menjuarai Pestabola Merdeka 2013 menumpaskan Myanmar 2-0. -Kredit foto: Facebook FAM

11
10
0
9
0

Copy Link: