Wawancara| Revolusi Harimau Malaya! Usaha TMJ patut disokong! Jangan fikir negatif sahaja! - Subadron
Published byUSAHA Tunku Ismail Sultan Ibrahim melakukan revolusi ke atas skuad bola sepak kebangsaan patut dipuji. - Kredit foto Facebook Johor Southern Tigers.
REVOLUSi yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pasukan bola sepak kebangsaan mencetuskan pelbagai reaksi daripada peminat tempatan.
Ada yang menyambutnya dengan positif namun tidak kurang yang melihat dari perspektif negatif terutama dalam isu penggunaan pemain warisan dan naturalisasi ke arah usaha memperkuat Harimau Malaya.
Mereka yang berfikiran terbuka menganggap langkah FAM itu sebagai sangat tepat agar Harimau Malaya lebih kuat mengaum, namun ada juga beranggapan langkah FAM itu tidak patriotik serta akan membunuh bakat bola sepak tempatan.
KitaReporters (KR) mendapatkan pandangan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Subadron Aziz (DSA) mengenai isu ini. Ikuti wawancara KR bersama beliau:
BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Subadron Aziz menyokong revolusi pasukan Harimau Malaya.
KR: Kita mendengar pelbagai pro dan kontra berhubung langkah FAM merevolusikan pasukan kebangsaan dengan pelbagai pendekatan baharu. Sebagai bekas pemain, apa pandangan Datuk?
DSA: Kita tahu idea merevolusikan pasukan kebangsaan ini adalah atas usaha TMJ (Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor atau TMJ). Sebagai bekas pemain, saya menyokong usaha ini dan berharap semua orang memberi sokongan kepada TMJ.
KR:
Apa asas Datuk menyokong usaha itu?
DSA: Pasukan kebangsaan sekarang sudah
sampai tahap tak boleh meningkat lagi, prestasinya mendatar malah boleh
dikatakan masih di takuk lama sedangkan pasukan Asia lain seperti Jepun dan
Korea Selatan sudah jauh meninggalkan kita.
Malah,
dalam rantau Asia Tenggara, Indonesia, Thailand dan Vietnam juga sudah
mengatasi kita. Kalau kita tidak lakukan sesuatu, tak mustahil kita akan lebih
jauh ketinggalan.
Jadi, pada saya, revolusi yang dilakukan oleh FAM itu langkah yang betul dan tepat pada masanya. Kita kena bersedia untuk menerima perubahan ini. Dan apabila yang melakukannya adalah TMJ, saya berkeyakinan penuh ia akan berjaya.
REVOLUSI perlu dilakukan demi meningkatkan lagi prestasi dan reputasi Harimau Malaya di pentas antarabangsa. - Kredit foto FAM.
KR: Apa pula asas keyakinan Datuk kepada TMJ?
DSA: Lihat track record beliau. Siapa boleh nafikan TMJ adalah individu yang bertanggungjawab merevolusikan pasukan Johor yang kini dikenali sebagai JDT FC. Dulu, sebelum TMJ mengambil alih, di manakah kedudukan pasukan Johor? Sekarang di manakah kedudukan pasukan JDT?
Mereka bukan sahaja mendominasi bola sepak tempatan malah sudah mampu memberi cabaran di peringkat Asia hasil revolusi dilakukan oleh baginda.
Saya yakin pendekatan yang sama akan digunakan untuk pasukan kebangsaan. Langkah pertama sudah dapat kita lihat apabila baginda berjaya membawa masuk pakar-pakar bola sepak seperti Rob Friend dan Dr Craig Duncan menyertai pasukan kebangsaan.
DUA individu penting yang akan menjayakan revolusi pasukan kebangsaan, Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Dr Craig Duncan selaku Ketua Pegawai Prestasi Tinggi & Perubatan Sukan. - Kredit foto FAM
KR: Datuk, ramai masih beranggapan kejayaan JDT adalah kerana TMJ adalah anak raja.
DSA: Ia tanggapan yang sama sekali salah. Memang kita tak nafikan, kedudukan TMJ sebagai orang istana sedikit sebanyak mempengaruhi kejayaan JDT tapi pada saya apa yang lebih menjadi kunci kejayaan itu adalah kepintaran, kesungguhan, minat dan keikhlasan TMJ.
Saya masih ingat, dalam satu wawancara, baginda berkata wang saja tidak memadai untuk memajukan bola sepak jika tak ada otak! Saya bersetuju dengan baginda!
Sebagai pemilik, TMJ bukan sekadar menyediakan dana tapi baginda terbabit dalam semua hal berkaitan kelab. Baginda sendiri turun ke padang, bukan sekadar labur wang dan duduk goyang kaki di pejabat.
Baginda terbabit dalam semua aspek pengurusan bola sepak, daripada pentadbiran, perniagaan hingga ke dalam padang. Inilah rahsia kejayaan JDT.
Saya dapat maklumat, berurusan dengan TMJ, jangan ada hanky panky kerana baginda sangat tegas. Jika ada yang cuba-cuba, baginda akan memecat orang itu walau apapun kedudukannya dalam pasukan.
Dalam bola sepak, orang sebeginilah yang kita perlukan. Maaf cakap, sejak bergelar pemain lagi, saya lihat lebih ramai yang terbabit dalam bola sepak hanya untuk kepentingan diri dan agenda peribadi, bukan untuk memajukan bola sepak. Tidak ramai yang Ikhlas. Inilah yang merosakkan bola sepak kita.
"SAYA lihat lebih ramai yang terbabit dalam bola sepak hanya untuk kepentingan diri dan agenda peribadi, bukan untuk memajukan bola sepak." - SUBADRON
KR: Kelab lain mungkin tidak mampu mengikut jejak JDT kerana kekangan kewangan?
DSA: Kewangan memang penting untuk
sesebuah kelab tapi kecekapan dalam mengurus kewangan juga penting. Banyak wang
tak pandai guna pun susah apatah lagi kalau tak ada wang dan tak pandai pula
menguruskannya.
Contohnya, jika sesebuah kelab tidak mampu menyaingi kedudukan kewangan JDT, janganlah mereka mahu berbelanja mewah seperti JDT.
Ukur baju di badan sendiri. Berbelanja ikut kemampuan dan pastikan setiap sen dikeluarkan benar-benar digunakan sebaiknnya. Tak mampu beli tujuh lapan pemain import, beli sekadar yang mampu tapi pastikan yang benar-benar berkualiti. Untuk pemain tempatan, jika pemain itu hanya layak menerima gaji RM10,000, mengapa perlu bayar RM50,000? Itulah yang saya maksudkan.
Satu lagi, elakkan ‘ketirisan’, satu penyakit yang saya lihat turut berlaku dalam bola sepak kita. Sebab itu kita perlukan pemimpin-pemimpin bola sepak yang Ikhlas.
ARIF Aiman membuktikan pemain tempatan mampu menyaingi pemain warisan dan naturalisasi untuk mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan. - Kredit foto FAM
KR: Berbalik kepada pasukan kebangsaan, ada tanggapan bahawa keghairahan FAM menggunakan pemain warisan dan naturalisasi akan menutup peluang pemain tempatan. Komen Datuk?
DSA: Kalau kamu benar-benar bagus,
mengapa perlu takut? Mengapa Arif Aiman (Hanapi) boleh beraksi hingga di
peringkat Asia? Cuba jawab.
Pada saya pandangan negatif sebegini hanya akan melemahkan semangat pemain tempatan. Kalau saya duduk di tempat mereka (pemain tempatan) saya akan fight! Saya akan buktikan anak tempatan juga hebat.
PETER CKLAMOVSKI jurulatih baharu Harimau Malaya.
KR: Apa pandangan Datuk tentang kualiti pemain tempatan sekarang?
DSA: Ada yang bagus, contoh Arif Aiman tapi tak ramai. Atas sebab itu pasukan kebangsaan tak boleh lagi bergantung kepada pemain tempatan sebaliknya perlukan pemain warisan dan naturalisasi.
Ini adalah cabaran kepada pemain tempatan. Mereka perlu meningkatkan permainan. Untuk itu, ia bukan sekadar bergantung kepada pemain tapi semua pihak yang terbabit dalam bola sepak sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, kelab dan akar umbi.
Saya yakin projek pemain warisan dan naturalisasi ini hanya sementara. Bila pemain tempatan mencapai tahap diperlukan, Harimau Malaya akan kembali dengan anak-anak tempatan sebagaimana dilakukan oleh pasukan seperti Jepun sekarang.
SUBADRON harap pemain tempatan bangkit dan buktikan mereka juga layak menyarung jersi pasukan kebangsaan.
KR: Ada beranggapan lambakan pemain import dalam liga kita menyebabkan peluang untuk pemain tempatan menonjolkan bakat tersekat.
DSA: Ketika berusia 25 tahun, saya mewakili negara ke satu kejohanan di Jepun. Kami berpeluang menonton perlawanan liga mereka. Ketika itu, saya terkejut melihat kelab mereka menggunakan enam hingga tujuh pemain import. Hanya ada beberapa kerat pemain tempatan.
Malah, pasukan kebangsaan mereka pada ketika itu turut menggunakan pemain naturalisasi. Tapi, hari ini mereka boleh berbangga dengan pemain tempatan. Mereka sudah melakukan revolusi 35 tahun lalu tapi kita baru hendak memulakan. Apapun ia belum terlambat.
Saya yakin jurulatih baharu skuad kebangsaan (Peter Cklamovski) tidak akan bersikap pilih kasih, jika ada pemain tempatan yang bagus, sudah tentu akan diberi peluang. Saya harap pemain tempatan bangkit dan buktikan mereka juga layak berada dalam pasukan Harimau Malaya. - KitaReporters