ELIMINATOR membolot gelaran berganda, Piala Juara dan Liga UFL 2025 di Taman Putra Perdana, Puchong bergambar dengan Naharanuar Ayob dan Muhammad Khalis Othman (berdiri, empat dan dua dari kanan). - Kredit foto: UFL 


BAYANGKAN dapat bertanding dalam Liga Futsal Muhibah di gelanggang yang bersaiz peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan yuran penyertaan serendah RM60 satu perlawanan sahaja?

Yuran pendaftaran setiap pasukan pula hanyalah RM120 yang jauh berbeza dengan sehingga RM350 dikenakan bagi liga-liga biasa kerana sasaran penyertaan penganjur ialah pemain-pemain remaja yang keluarganya berpendapatan kategori B40.

Sebanyak 140 pemain daripada 14 pasukan kategori Bawah 10 dan 12 Tahun (B-10 dan B-12) beraksi dalam liga yang bermula awal Februari 2025 pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad di Dewan Serba Guna Apartmen Seroja, Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor.

Liga Futsal Muhibah 2025 atau digelar Unity Futsal League (UFL) oleh penganjurnya, Perintis Academy dan On La, turut berbesar hati dengan kehadiran jurulatih barisan pertama beroleh lesen profesional futsal di Malaysia, Raja Isa Raja Akram Shah sebagai antara tetamu kenamaannya.

Jurulatih pelbagai kelab bola sepak Indonesia seperti Persipura Jayapura dan PSM Makassar, Malaysia (Telekom Melaka dan UiTM FC) dan Bangladesh ini menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang kategori B-10, manakala Ahli Majlis Perbandaran Sepang Zon Putra Perdana, Naharanuar Ayob untuk B-12.


NAHARANUAR Ayob (berdiri, tengah) menyampaikan taklimat kepada pasukan-pasukan UFL 2025 sambil diperhatikan Muhammad Khalis Othman (berdiri, tiga dari kanan). - Kredit foto: UFL


“UFL membuka peluang kepada pemain-pemain remaja daripada keluarga B40 mempamerkan bakat dan kejaguhan futsal mereka yang mungkin sukar menyertai pertandingan futsal yang kadar yuran penyertaannya lebih tinggi.

“Ini edisi sulung penganjurannya sebagai menghidupkan balik budaya futsal di kawasan kejiranan Putra Perdana khususnya bagi pembangunan peringkat akar umbinya.

“Selama ini fokus pemain-pemain remaja hanya kepada bola sepak sedangkan futsal agak tenggelam kemungkinan besar kerana sewaan gelanggang dan kos berkaitannya lebih mahal,” kata Pengarah UFL, Muhammad Khalis Othman.


RAJA Isa Raja Akram Shah (dua dari kanan) menyampaikan Piala Liga B-10 UFL kepada kapten Mota Puchong. - Kredit foto: UFL


Penganjur katanya, mendapati format pertandingan liga lebih menarik minat pasukan-pasukan yang dapat bermain lebih banyak perlawanan berbanding jika dilangsungkan secara karnival seperti kebiasaannya dengan peluang mereka bersaing begitu singkat masanya.

“UFL 2025 ini memperuntuk setiap perlawanan berlangsung selama 10 minit bagi ketiga-tiga babaknya dengan rehat antaranya diberikan dalam dua hingga tiga minit,” kata Khalis yang juga ketua jurulatih dan pemilik Perintis Academy.

Ekoran kejayaan dan sambutan baik siri pertama UFL edisi 2025 ini katanya, penganjur turut berhasrat untuk menyusulinya dengan siri kedua yang dijangka pada Jun 2025 ini.

UFL 2025 yang berakhir pada 15 Februari 2025 lalu, menyaksikan Eliminator dan Mota Puchong berada dalam kelas tersendiri dengan masing-masing merangkul gelaran berganda Piala Liga dan Piala Juara B-12 dan B-10.

Eliminator menyingkirkan Wafie FT 5-3 dalam perlawanan akhir B-12, manakala Mota Puchong menyekat hasrat Eliminator untuk turut membolot kejuaraan B-10 dengan kemenangan besar 8-2. - KitaReporters


AKSI final B-10 UFL 2025 yang turut disertai pemain perempuan Mota Puchong (jersi putih) menentang Eliminator di Dewan Serba Guna Apartmen Seroja. - Kredit foto: UFL


KEPUTUSAN PENUH UFL 2025:

Bawah 10 Tahun (B-10):

Piala Pencabar: Seroja B 2 Seroja A 2 (Seroja B menang penalti)

Piala Pemenang: SFF A 3 Perintis A 0

Piala Juara: Mota Puchong 8 Eliminator 2

Piala Liga: Mota Puchong


AKSI penentuan juara Piala Pemenang B-12 UFL 2025 yang dimenangi SFF A (jersi merah) setelah menewaskan Mota Ampang 5-2. - Kredit foto: UFL


Bawah 12 Tahun (B-12):

Piala Pencabar: Seroja B 3 Perintis 0

Piala Pemenang: SFF A 5 Mota Ampang 2

Piala Juara: Eliminator 5 Wafie FT 3

Piala Liga: Eliminator


SEORANG pemain Eliminator (jersi hitam) disekat oleh pemain Wafie FT dalam perlawanan akhir B-12 UFL 2025. - Kredit foto: UFL

18
15
0
9
0

Copy Link: