.


Ingat lagi filem Apa Ada Dengan Cinta (AADC)? Mana boleh lupa kisah cinta zaman sekolah yang pernah jadi satu fenomena budaya bukan sahaja dalam kalangan penonton Indonesia malahan di Malaysia.

Selepas AADC dan AADC 2, kisah cinta remaja penuh ikonik itu, kini kembali dengan filem muzikal versi moden yang lebih segar berjudul ‘Rangga & Cinta’. 


Filem Rangga & Cinta, sesuai dengan penonton generasi baharu.


Terbitan Miles Films, filem ini diarahkan oleh Riri Riza dan diterbitkan oleh Mira Lesmana, Nicholas Saputra, dan Toto Prasetyanto.

Dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam pada awal 2025, dan baharu selesai mengeluarkan runut bunyi bagi filem tersebut pada 26 Februari 2025 lalu.

Filem ini adalah penceritaan semula kisah Rangga dan Cinta dalam AADC yang klasik dengan gaya baharu dan dinamik, namun berjaya membawa penonton kembali ke zaman sekolah menengah kedua-dua watak. Tambah menarik berlatarbelakangkan muzik yang lebih memikat.

Berdasarkan laporan laman sesawang Liputan6.com, Jakarta, kali ini pelakon utamanya merupakan muka baharu dengan penampilan sulung di layar perak seperti El Putra Sarira pemegang watak Rangga dan Leya Princy pula adalah Cinta.


Dua watak utama, Leya Princy dan El Putra Sarira yang bakal mengembalikan zaman kegemilangan AADC.


Riri Riza berkata, filem ini akan membawa rasa cinta yang lebih segar bukan sahaja kepada peminat setia AADC malahan generasi baharu yang baru menonton.

“Filem ini diharapkan dapat menerujakan peminat untuk melihat bagaimana kisah cinta dua watak ini berkembang pada skrin besar,” katanya.

Dalam pada itu, laman tersebut turut berkongsi imbasan kembali fenomena AADC yang mencipta trend baharu khususnya dalam kalangan remaja sekitar tahun 2002.

Menurut laman itu, ia berjaya menarik perhatian ramai penonton sehinggakan ada antaranya masih mengingati jalan cerita, dialog mahupun runut bunyi filem itu sehingga sekarang.

“Ramai yang menganggap filem ini antara filem romantik terbaik pernah dibuat di Indonesia, dan popularitinya berterusan. Pelakon muda berbakat ketika itu, Dian Sastrowardoyo sebagai Cinta dan Nicholas Saputra sebagai Rangga berjaya mencipta ‘chemistry’  yang kuat.

“Penonton dapat merasakan emosi yang dialami dua watak utama itu, daripada pertemuan yang janggal di sekolah, cinta yang penuh ghairah sehinggalah kepada konflik dan seterusnya kesedihan mendalam apabila mereka berpisah namun dipertemu semula dalam sekuel seterusnya.

“Selain kisah cinta yang menarik, ia menggambarkan kehidupan remaja Indonesia pada awal tahun 2000-an. Pelbagai aspek kehidupan seharian, seperti persahabatan, konflik keluarga dan tekanan sosial, dipersembah secara realistik. Ini membuatkan penonton berasa berhubung dengan watak dalam filem tersebut,” katanya lagi.


Antara babak menarik Cinta lakonan Dian Sastrawordoyo (kiri) dan Rangga lakonan Nicholas Saputra (kanan) dalam AADC.


 AADC 2 menyambung kisah Rangga dan Cinta yang sudah dewasa dan berdepan cabaran baru dalam hubungan mereka. Di sebalik perbezaan konteks cerita, penonton masih merindui ‘chemistry’  antara dua watak utama ini.

Filem kedua ini tidak kurang hebatnya, berjaya menarik perhatian ramai penonton untuk menunjukkan cinta mereka masih mendapat tempat di hati apabila kembali mengimbau.

Setelah 23 tahun berlalu, kisah cinta Rangga dan Cinta belum ada noktahnya dengan terbitnya Rangga & Cinta pada tahun 2025, ramai yang semakin teruja untuk menyaksikan.

Maklumat terkini mengenai filem ini boleh diikuti menerusi saluran media sosial @filmranggacinta.

Jom tengok wayang… Mas Rangga tunggu dulu dong!!!


17
12
0
9
0

Copy Link: