Perdana Menteri meletakkan harapan yang tinggi ke atas bahu barisan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu untuk melonjakkan lagi prestasi dan kedudukan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi.

"Selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu FAM. Semoga dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara," ucap Anwar Ibrahim dalam hantaran melalui akaun Faebooknya pada Isnin, 3 Mac 2025.

Menurut laporan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setakat November 2024, Harimau Malaya kini berada di tangga ke-132, namun pernah menduduki tangga ke-130 pada Disember 2023.

Kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh pasukan kebangsaan ialah tangga ke-75 pada 1993 dan pernah jatuh sehingga ke tangga ke-178 pada Ogos 2018. Secara purata, Malaysia menduduki tangga ke-135 untuk tempoh setahun.



Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, telah melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 3 Mac 2025.

Kunjungan tersebut turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang juga mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Menurut kenyataan FAM, pada pertemuan itu, Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutama bagi memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi.

Selain itu, beliau juga melaporkan perkembangan terkini persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac 2025 ini.

Joehari diiringi Timbalan Presiden FAM, Dato' S. Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail, Dato' Mohd Azhar Jamaluddin dan Dato' Dollah Salleh; Exco FAM, Dato' Zainal Abidin Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
6
0
12
0

Copy Link: