Pulangnya penggubah lagu Hidup Johor! Playmaker tim pelapis negara Harimau Malaysia! Lahat dikenang!
Published byLAHAT Daduk Sulik (depan, tengah) bersama-sama Razip Ismail (depan, dua dari kiri) dan Azlan Johar (depan, kanan) membarisi Harimau (skuad pelapis kebangsaan) yang dipimpin legenda England dan Liverpool, Kevin Keegan (depan, tiga dari kanan).
MUNGKIN hanya segelintir yang mengetahui bahawa sebelum kehadiran lagu tema Johor Darul Ta’zim (JDT) FC seperti “Ale-ale Luaskan Kuasamu Johor”, ada satu karya seni suara yang pernah mengiringi pasukan Johor.
Ketika era kegemilangan
Johor memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia 1986, sebuah lagu berjudul “Hidup
Johor” pernah berkumandang dinyanyikan para penyokongnya yang menggapai ruang
angkasa Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Penggubahnya? Tidak lain gerangannya
bekas perantara pasukan negeri selatan Semenanjung itu, Lahat Daduk Sulik yang
turut pernah menyarung jersi skuad pelapis negara, Harimau Malaysia dari 1981
hingga 1986.
Bekas rakan sepasukan
Harimau Malaysia, Azlan Johar berkata, “beliau penggemar seni muzik. Gemar
bermain gitar dan apabila menaiki bas pasukan, akan mendendangkan lagu-lagu
biasanya yang berentak rock 80-an nyanyian Search, kugiran paling diminatinya.
“Lagu “Hidup Johor” ciptaannya
itu turut dinyanyikan oleh para penyokong pasukan itu ketika saya mewakili
Selangor yang mengalahkan Johor 6-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1986.
“Banyak sifat mulia pada diri Lahat termasuk suka menolong, berlawak dan menolong rakan. Di padang, dia juga tangkas dan rajin berlatih,” kata Azlan, 62, yang juga bekas penyerang Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera ini kepada KitaReporters.
LAHAT Daduk Sulik, tonggak bahagian tengah Johor dan Harimau Malaysia era 80-an. - Kredit foto: FB Persatuan Kebajikan Lagenda Bola Sepak Negeri Johor (JSL)
Laman Instagram Yayasan
Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) pada 3 Februari 2025 melaporkan, Lahat kembali
ke rahmatullah pada petang 2 Februari 2025 di Madinah, Arab Saudi selepas menjalani
ibadat umrah.
“Allahyarham mengalami diabetes (kencing manis) tidak terkawal iaitu tahap gula dan darah putih yang sangat
tinggi serta masalah buah pinggang.
“Dia yang turut menerima
rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Az-Zahra, Madinah, sepatutnya dijadualkan
pulang ke tanah air pada 5 Februari 2025 jika tahap kesihatannya mengizinkan,”
lapor Yayasan itu.
Lahat baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-62 pada 24 Januari 2025 lalu.
AZLAN Johar juga pernah bergelar pengulas pakar bola sepak TV.
Allahyarham menurut Azlan,
pernah memberitahunya mahu berhijrah dari Johor ke Lembah Klang memandangkan
anak-anaknya sudah lama tinggal dan bekerja di situ.
“Kali akhir kami berhubung
ialah pada tahun lalu (2024) dan dia meminta saya mencarikan rumah di Shah Alam
untuk dibelinya. Kemudian saya diberitahu, dia telah pun membeli kondominium di
Sentul, Kuala Lumpur.
“Kami berkawan sangat lama iaitu sejak kami mewakili Daerah Johor Bahru dalam Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun Majlis Sukan Sekolah Johor pada 1975. Ketika itu saya bermastautin dengan keluarga di Johor Bahru dan belajar di Sekolah St. Joseph dan dia pelajar Sekolah Ngi Heng," tambahnya.
Johor yang turut dianggotai Allahyarham pada 1985 menjulang Piala Malaysia buat kali pertama setelah mengalahkan Wilayah Persekutuan 2-0 juga di Stadium Merdeka menerusi gol-gol Muhidin Hussin dan Fadzli Ahmad.
RAZIP Ismail yang juga bekas rakan sepasukan Lahat dalam Harimau Malaysia tetapi mereka berseteru di arena Piala Malaysia antara Wilayah Persekutuan/Kuala Lumpur dan Johor. - Kredit foto: FAM
Azlan, Lahat dan Razip Ismail,
bek kanan Wilayah Persekutuan atau kemudiannya Kuala Lumpur, adalah antara
tonggak Harimau Malaysia yang muncul naib juara Piala Emas Presiden Aga Khan 1983
di Dhaka, Bangladesh.
“Kami kalah kepada Iran
dalam finalnya tetapi mengalahkan Korea Pasukan Olimpik ’88 dalam separuh
akhir. Kejohanan lain kami main termasuk Pestabola Merdeka 1983 dan 1984, Piala
Jakarta Raya 1983 dan Sukan Merdeka Brunei 1984 dan 1985,” katanya.
Ujar Razip, Lahat
seingatnya lebih berperanan sebagai perancang atau playmaker serta berbakat
besar dalam ‘permainan cantik’ ini.
“Harimau Malaysia ini seperti pelapis kepada Malaysia A (senior utama) dan Malaysia B (senior kedua). Jurulatih kami ialah Abdullah Mohamad (Allahyarham) dan Abdul Rahman Ibrahim.
"Ada juga kejohanan jemputan antarabangsa di Jepun, Piala Kirin yang Harimau Malaysia kami wakili, dihantar menggantikan skuad senior,” katanya yang kali akhir bertemu arwah ialah sebelum era pandemik Covid-19 (2020 hingga 2022).
LAHAT (depan, dua dari kiri) membarisi Harimau Malaysia yang beraksi pada Pestabola Merdeka 1984 dengan Azlan Johar dan Kevin Keegan (depan, tiga dan lima dari kanan) serta Razip Ismail (berdiri, tiga dari kiri).
LAHAD (berdiri, empat dari kanan) sentiasa aktif menghadiri program Yakeb selain memimpin Persatuan Kebajikan Lagenda Bola Sepak Negeri Johor (JSL). - Kredit foto: Yakeb