Adios Harimau Malaya! Tak cukup gol untuk layak secara automatik! Hanya dapat selamatkan maruah!
Published by
PAULO Josue (tengah) mengutip bola daripada gawang Taiwan selepas menewaskan Pan Wen-chieh (1) sambil diraikan Akhyar Rashid. - Kredit foto: FAM
GOODBYE atau adios kepada pusingan akhir Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat! Kim Pan-gon dan Harimau Malaya terpaksa melafazkannya setelah sasaran tujuh gol lebih mereka tersasar di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi, 11 Jun 2024.
Kemenangan 3-1 tuan rumah yang di ranking ke-138 terhadap Taiwan (159) masih tidak memadai untuk memintas Kyrgyzstan di anak tangga kedua Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Inilah kegagalan ke-15 berturut-turut Malaysia sejak menyertai Kelayakan Piala Dunia pada 1973 di Seoul, Korea Selatan.
Si Helang Putih yang bertandang ke Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat, Oman beberapa jam kemudian, memiliki kelebihan jurang gol yang besar berbanding Malaysia walau apa pun keputusan yang diperolehnya.
Pan-gon, warga Korea Selatan, kini menelan cakap-cakap besarnya dalam sidang media praperlawanan pada Isnin, 10 Jun 2024 bahawa Taiwan mampu dikendurikan seperti mana Papua New Guinea (PNG) 10-0 di Gong Badak, Terengganu pada 20 Jun 2023.
Justeru jaringan Safawi Rasid, Paulo Josue dan Adib Ra’op pada minit ke-53, 69 dan 90+6 hanyalah sebagai penyelamat maruah skuad negara di depan 14,731 hadirin yang mulanya dikejutkan gol awal pelawat oleh Yu Yao-hsing pada minit ke-20.
BEK kanan Malaysia, Matthew Davies (2) saling berasak merebut bola dengan penjaring gol tunggal Taiwan, Yu Yao-hsing. - Kredit foto: FAM
Safawi menolak masuk dengan kaki kirinya untuk gol penyamaan hasil hantaran Sergio Aguero, manakala Paulo menambahnya daripada umpanan La’Vere Corbin-Ong,
Adib pula yang baru beroleh kap kedua antarabangsa, menyambar kesilapan sepakan penjaga gol Pan Wen-chieh untuk gol penamat.
Dengan kempunannya status antara 18 terbaik Asia dan pemburuan slot Piala Dunia, yang tinggal sekarang ialah tiket pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi dengan Malaysia perlu mengharungi pusingan ketiga kelayakannya mulai Mac 2025 depan. - KitaReporters
MALAYSIA: Azri Ghani, Matthew Davies (Sergio Aguero), Dominic Tan (Daniel Sang Ting), Endrick Dos Santos (Engku Nur Shakir Engku Yacob), Safawi Rasid (Haqimi Azim Rosli), Safwan Mazlan, Nooa Hamzah Laine, Paulo Josue, Akhyar Rashid (Adib Ra’op), Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong.
BEK tengah Harimau Malaya, Dominic Tan diterjah dari belakang oleh penyerang naturalisasi Taiwan, Kouame Ange Samuel. - Kredit foto: FAM
SAYAP kanan negara dan penjaring gol penyamaan, Safawi Rasid (11) cuba membolsi bentesan pemain Taiwan. - Kredit foto: FAM