CARTA undian Kelayakan Piala Asia B23 yang berlangsung Oktober 2021 ini. - Kredit foto: AFC


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) nekad memperjudikan nasib skuad Bawah 20 Tahun (B-20) kebangsaan dalam siri pertandingan yang lebih tinggi had usianya, Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) AFC dan Sukan SEA Hanoi dan Kemboja.

Biarpun berisiko menjadi budak belasahan lawan yang lebih umur, FAM memberikan alasan tujuannya ialah sebagai medan pendedahan awal mereka bagi jangka panjang dan misi lebih besar, iaitu layak ke Sukan Olimpik Perancis 2024.

Sukan SEA Hanoi yang diumumkan ditunda ke 2022 sedangkan jadual asalnya, 21 November hingga 2 Disember 2021 dan Sukan SEA Kemboja 2023, terhad kepada pemain bawah 22 tahun (B-22) dengan tiga pemain senior. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan FAM

PIALA Asia Bawah 23 (B-23) AFC akan berlangsung di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022. - Kredit foto: AFC


Ketika kebanyakan negara rantau Asia Tenggara masih melabelkan pingat emas bola sepak Sukan SEA sebagai 'ibu segala pingat', FAM cuba bertindak seperti dianggap sudah berwawasan jauh tanpa mahu memperlekehkan taraf saingan temasya dwitahunan itu.   

Inilah cadangan Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee yang turut dipersetujui Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Eksekutif pada 12 Januari 2021 lalu yang sekali lagi ditegaskan selepas majlis undian Kelayakan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan, meletakkan Malaysia dalam Kumpulan J dengan tuan rumah, Mongolia, Thailand dan Laos


ONG Kim Swee (tiga dari kiri) dan Bradley Maloney (kanan) bergandingan membimbing skuad B-22 Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto: FAM


Kelayakan dari 27 hingga 31 Oktober 2021 ini, menawarkan 15 tiket pusingan akhir Piala Asia B-23 anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Uzbekistan pada 1 hingga 19 Jun 2022. Hanya juara 11 kumpulan kelayakan dan empat naib juara terbaiknya, akan layak.  

Skuad B-20 negara dikendalikan warga Australia, Bradley Maloney yang juga penolong Kim Swee ketika Sukan SEA Filipina 2019 yang menyaksikan pasukan belia kita kempunan separuh akhir di Manila.


RAMADHAN Saifullah Usman (kiri) beraksi cemerlang menyumbat satu gol terhadap Nagoya Grampus (Jepun) dalam Liga Juara AFC di Bangkok. - Kredit foto JDT


Ada 30 pemain skuad Projek FAM-MSN (Majlis Sukan Negara) yang kini beraksi di bawah bimbingan Yusri Che Lah dalam Liga Perdana 2021 manakala 19 lagi yang terbaik di luarnya, juga lepasan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari yang menyertai kelab-kelab negeri dalam liga itu dan Liga Super.

Mereka juga bakal diperkasa dua pemain remaja 19 tahun Harimau Malaya yang beraksi dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, bulan lalu iaitu Luqman Hakim Shamsudin (berpangkalan di KV Kortrijk, Belgium) dan Arif Aiman Hanapi, sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.

LUQMAN Hakim Shamsudin (kanan) berpengalaman menikmati saingan senior Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Jun 2021 lalu dan Liga Jupiler Belgium. - Kredit foto: FAM


SKUAD Projek FAM-MSN yang menghuni tempat corot dan kerap menjadi 'lubuk mata' pasukan lebih senior Liga Perdana 2021. - Kredit foto: MSN


ARIF Aiman Hanapi (kiri), menimba pendedahan senior dengan JDT FC dalam Liga Super, Liga Juara Asia malah bersama Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia. - Kredit foto: FAM


Begitu juga rakan sepasukan Arif, Ramadhan Saifullah Uman, 20, yang membolosi gawang Nagoya Grampus (Jepun) ketika Harimau Selatan ditewaskan juara Kumpulan G Liga Juara AFC itu 2-1 di Bangkok, minggu lalu.

“FAM memutuskan untuk tidak menghantar kelompok pemain berusia 22 tahun seperti disyaratkan AFC sebaliknya mempertaruhkan skuad B20 kebangsaan,” kata Kim Swee dalam laman Facebook rasmi persatuan, pada 9 Julai 2021.

 "Kelompok pemain bawah 20 tahun ini disediakan lebih awal bermula tahun ini 2021 bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2023 selain dua Sukan SEA Hanoi 2022 dan Kemboja 2023,” katanya.

PEMAIN-PEMAIN Projek MSN-FAM (jersi kuning) disasarkan FAM untuk layak ke Sukan Olimpik Perancis 2024. - Kredit foto: MSN


Malaysia pernah mara ke suku akhir Piala Asia B-23 pada 2018 di China (ketika itu Kejohanan B-23 AFC) namun disekat Korea Selatan 2-1.

Kim Swee juga menganggap tiada laluan mudah Kumpulan J buat skuad Maloney apatah lagi dengan skuad B20 yang dipertaruhkan untuk menimba pendedahan.

"Laos biasa kita temui dalam kejohanan di Asia Tenggara, namun banyak meningkat kebelakangan ini. Mongolia ada kelebihan tuan rumah manakala Thailand musuh tradisi kita dan pencabar utama,” katanya. - KitaReporters 


PASUKAN Bawah 23 Tahun Malaysia yang mara ke suku akhir Kejohanan B23 AFC dan pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang dikendalikan oleh Ong Kim Swee. - Kredit foto: FAM

0
0
0
0
0

Copy Link: