Siap siaga hadapi tengkujuh semasa COVID-19! 680 petugas JKNT sedia! SOP PPS juga disediakan!
Published byGambar hiasan... Banjir yang melanda Kemaman
JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir ketika dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih lagi menular dalam kalangan komuniti di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi banjir di semua daerah, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan banjir
Dr Kasemani Embong
Katanya, seramai 680 petugas JKNT bersedia membantu mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu.
Selain itu, katanya, seramai 322 petugas akan mengendalikan aktiviti pencegahan di samping kawalan penyakit sebelum, semasa dan selepas banjir di PPS atau kawasan terjejas banjir.
"Setiap pasukan kesihatan itu diwakili tiga anggota yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam dan pemandu," katanya.
Beliau berkata, baki 358 petugas daripada 72 pasukan lagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan jika berlaku kejadian kecemasan di PPS.
Menurutnya, petugas terbabit
termasuklah pegawai perubatan, pembantu pegawai perubatan, jururawat terlatih,
jururawat masyarakat dan pemandu yang sentiasa bersiap sedia apabila diarahkan.
Katanya, walaupun kes COVID-19 di
Terengganu menunjukkan trend yang semakin menurun, tetapi semua pihak tidak
boleh leka.
"Pematuhan SOP mesti diutamakan bagi membendung penularan wabak ini di Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya.
Gambar hiasan... Penduduk sedang mengharungi air banjir di Terengganu
Dalam perkembangan lain, Terengganu dijangka dilanda hujan lebat ketika musim Monsun Timur Laut mulai akhir Oktober 2021 ini dan boleh menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Bencana Negeri, Hanafiah Mat, berkata, Monsun Timur Laut pada kali ini dijangka
menyebabkan peningkatan hujan sebanyak 20 hingga 40 peratus daripada biasa.
Katanya, secara purata kebiasaannya taburan hujan sepanjang tahun di Terengganu sekitar 3,000 milimeter (mm) namun tahun 2021 ini dijangka mencecah hingga 3,600mm.
Hanafiah Mat
"Setakat ini taburan hujan yang telah turun hampir 2,000mm dengan kadar hujan yang turun dalam sehari sekitar 80mm.
"Jika taburan hujan turun dalam 300 hingga 400mm sehari, situasi banjir mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai iaitu berlakunya banjir disebabkan kepala air," ujarnya.
Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri berkata, bekalan keperluan makanan akan dihantar ke kawasan itu hanya mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari.
"Jika bekalan itu tidak mencukupi, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penghantaran bekalan fasa kedua," katanya.
Hanafiah (kanan) menunjukkan barangan keperluan bantuan banjir untuk dihantar ke Pulau Redang, Terengganu
Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri juga telah diadakan sebelum tiba musim tengkujuh untuk memastikan semua pihak bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.
Tambahnya, kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mangsa di PPS bagi menghadapi banjir sepanjang pandemik COVID-19.
"Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah atau terdedah kepada pesakit COVID-19, manakala petugas kesihatan akan berada di PPS.
"Bagaimanapun, sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan," ujarnya. - KitaReporters
Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu sedang memunggahkan barangan bantuan banjir ke atas kapal untuk dihantar Pulau Redang