SEJAK wabak pandemik Covid-19 menular ke seluruh dunia, perkhidmatan kurier atau penghantar barang telah mendapat permintaan tinggi serta menjadi keutamaan kepada pengguna-pengguna atau pembeli-pembeli untuk mendapatkan barangan mereka seperti barangan keperluan dapur, pakaian, penjagaan kesihatan dan lain-lain termasuk makanan dan minuman. : KitaReporters


Seorang penghantar makanan terpaksa menghantar tempahan makanan pelanggannya walaupun dalam hujan kerana ratusan bungkusan perlu sampai cepat dalam waktu yang ditetapkan. - Gambar hiasan


Lagi kisah-kisah berkaitan Korea:

https://kitareporters.com/search?search=Korea


Di Korea Selatan, bukan sahaja rakyatnya diancam virus Covid-19 tetapi satu lagi ancaman yang membimbangkan apabila empat belas pekerja penghantar barang mati mengejut disebabkan mereka bekerja lebih masa sehingga  21 jam sehari.

Masyarakat Korea Selatan menganggapkan kematian mengejut seperti  itu adalah fenomena ‘kwarosa’ atau mati secara tiba-tiba akibat 'kerja kuat' sehingga menjejaskan kesihatan. 


Syarikat perkhidmatan penghantaran barang atau kurier Korea Selatan menerima permintaan yang tinggi daripada rakyatnya sehingga ada kalangan pekerjanya menghadapi tekanan mental. - Kredit foto: Portal berita iluminasi.


Kes kematian tersebut telah dilaporkan kepada pihak kesatuan sekerja untuk mendapat pembelaan serta perlindungan hak mereka sebagai pekerja, kata seorang pegawai kesatuan.

Pada Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CJ Logistics CorpPark Keun-hee tampil membuat pengakuan dan permohonan maaf kepada ahli-ahli keluarga mangsa (penghantar barang), ketika beliau memberi keterangan tentang kematian beberapa orang pekerja mereka kepada pihak kesatuan.

Dalam pertemuan itu, beliau berasa sedih dan kesal kerana pihaknya telah memberi tekanan dan arahan kepada pekerja-pekerja untuk bekerja lebih masa dan  kurang rehat.

Sebaliknya mereka diarah mengejar sasaran (target) penghantaran dengan kadar segera agar tiada aduan atau rungutan yang timbul oleh pelanggan-pelanggan mereka.


Park Keun-hee - Kredit foto: Reuters


Ekoran daripada itu, syarikat kurier CJ Logistics Corp yang terkemuka di Korea Selatan dan memiliki 20,000 pekerja (penghantar barang) telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Terdahulu, sebanyak lima orang pekerja CJ Logistics Corp telah meninggal dunia akibat kerja yang berlebihan tanpa rehat yang mencukupi.

Seorang daripadanya meninggal dunia ketika sedang berehat ketika ingin menjamah makanan dan seorang lagi terpaksa membunuh diri kerana tidak sanggup berdepan tekanan daripada majikannya dan juga sering dimarahi pelanggan-pelanggannya.

Dalam perkembangan lain, seorang penghantar makanan dikenali sebagai Kim telah menghantar mesej kepada rakannya dan memberitahu dia sudah tidak mampu lagi untuk bekerja.

Dia terpaksa menghantar 400 bungkusan makanan kepada pelanggan-pelanggannya tanpa henti selama 21 jam. Empat hari kemudian Kim ditemui mati terkulai ketika memaut tangga kediamannya selepas pulang dari kerja.

Pihak hospital mengesahkan kematiannya disebabkan serangan strok dan masalah jantung. 


Aduan seorang bapa mengenai kematian mengejut anaknya iaitu pekerja penghantar barang mula mendapat perhatian pihak kesatuan dan kerajaan dalam menuntut hak keadilan antara pekerja dan majikan. - Kredit foto: Portal berita iluminasi.


Manakala seorang lagi pekerja penghantar barang berusia 27 tahun dikenali sebagai Jan Deok-jin juga ditemui mati oleh bapanya ketika dia berada di dalam bilik air. Mendiang telah bekerja dengan majikannya (syarikat kurier) selama 18 bulan dengan tekun dan gigih.

Disebabkan kesungguhan dan kerajinannya dalam mencari rezeki, dia telah mengabaikan kesihatan dirinya sehingga kehilangan berat badan sebanyak 15 kilogram. Mendiang juga sanggup bekerja siang dan malam tanpa henti sehinggalah di saat akhir kematiannya.

Menurut bapanya, mendiang baharu sahaja pulang dari tempat kerja pada awal pagi dan dia ingin membersihkan diri serta berehat seketika sebelum menyambung semula untuk bekerja.

Malangnya pada pagi itu juga Jan Deok telah menemui ajalnya ketika berada di dalam bilik air.

Bapa mendiang telah merayu keapada ahli-ahli kongres Korea Selatan agar nasib pekerja seperti anaknya mendapat pembelaan yang sewajarnya. Ini disebabkan pihak majikan bertindak tidak mahu menambah bilangan pekerja-pekerja baru sehingga memaksa pekerja-pekerja sedia ada bekerja sehingga lewat malam dan adakalanya sampai ke waktu pagi.

Walaupun mereka dibayar gaji lebih masa, namun tahap kesihatan setiap pekerja sering diabaikan oleh majikan hingga ada yang mati berpunca daripada pekerjaan itu sendiri. 


Salah satu syarikat penghantaran barang Korea Selatan yang menggalakkan pekerjanya membuat kerja lebih masa sehingga ada yang menemui maut akibat tidak cukup rehat. - Kredit foto: Portal berita iluminasi.


Kerajaan Korea Selatan melalui Kementerian Sumber Manusia akhirnya mendengar keluhan seorang bapa yang kehilangan anak lelakinya akibat pekerjaan hampir mencecah 24 jam dan tidak sepatutnya berlaku kepada mereka.

Selepas berlaku kes kematian pekerja-pekerja penghantar barang negara K-Pop itu menjadi tular dalam media sosial, pihak kerajaan mula mengambil perhatian serius dan bertindak mencari jalan untuk menyelesaikan kes berkenaan.

Pihak kerajaan telah mengarahkan setiap majikan menyemak semula peraturan kerja melibatkan tempoh waktu bekerja, cuti rehat dan keperluan penambahan kakitangan jika perlu.

Malangnya, perubahan itu tidak berlaku disebabkan sistem pengambilan pekerja di Korea Selatan tertakluk kepada kontrak dengan pihak agensi pekerjaan dan bukannya peranan atau tanggungjawab majikan.

Ini bermakna segala perubahan sistem bekerja yang cuba dilakukan oleh syarikat atau majikan tidak terpakai kepada pekerja-pekerja yang berkhidmat dengan majikan masing-masing kerana perbezaan terma dan syarat serta polisi antara pihak majikan dan pembekal pekerjaan (agensi).

Justeru, kontrak pekerja-pekerja adalah terikat secara langsung dengan agensi pekerjaan dan bukan terus kepada syarikat-syarikat atau majikan.

Maka, segala tindakan campur tangan kerajaan terhadap syarikat-syarikat dalam melakukan sebarang perubahan polisi dan peraturan pekerjaan hanyalah ibarat sebagai janji manis sahaja dan kuasa mutlak sebenarnya adalah berpihak kepada agensi pekerjaan.

Kredit foto: South China Morning Post


Penyelesaian akhir kepada kemelut  ini adalah pekerja-pekerja melakukan tunjuk perasaan secara beramai-ramai.

Tetapi sejauh manakah mereka berani dan sanggup berjuang menuntut hak mereka sebagai pekerja dengan terus-terusan melakukan tunjuk perasaan kerana risiko akan dibuang kerja pasti menjadi halangan kepada usaha mereka yang benar-benar mengharapkan keadilan.

Budaya kerja rakyat Korea Selatan masih mengamalkan sistem hirarki mutlak sehingga tiada sebarang perubahan boleh dilaksanakan.

Golongan pekerja tidak bebas menyuarakan pandangan dan pendapat mereka selain perlu akur dan terima segala syarat dan ketetapan yang telah dipersetujui  pada peringkat awal ketika menandatangan kontrak pekerjaan yang dibuat bersama agensi pekerjaan tersebut. - Kitareporters


Sumber:

https://iluminasi.com/bm/kisah-kebajikan-pekerja-penghantaran-korea-selatan-yang-tidak-terbela.html

https://uk.reuters.com/article/uk-health-coronavirus-southkorea-jobs/fourteen-south-korean-delivery-workers-die-because-of-pandemic-overwork-union-idUKKBN2771MP

0
0
1
0
0

Copy Link: