Mohamad Aniq Asri adalah antara pemain muda yang direkrut oleh Penang FC musim ini. - Kredit foto: Penang FC


Dalam zaman ledakan media sosial yang mana populariti menjadi kayu ukur, kehebatan seseorang dinilai melalui berapa ramai follower (pengikut) sehinggakan kebolehan dan bakat jatuh nombor dua dalam menentukan seseorang individu layak atau tidak.

Perkara ini menjadi trend dalam industri hiburan terutama di Malaysia dan ia seolah-olah sudah diterima pakai sebagai syarat untuk seseorang artis mendapat tempat dalam industri.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pemain muda


Aniq banyak mendapat sokongan daripada ibunya, Hayati. Kredit foto: Hayati Mohamad Yusof.


Tapi, anda jangan terkejut kalau diberitahu bahawa ahli sukan juga sekarang perlu memiliki follower yang ramai jika berhajat mendapatkan tajaan walaupun sekadar tajaan pakaian sukan.

Pengalaman itu dilalui oleh bintang muda Penang FC, Mohamad Aniq Asri, 20, beberapa tahun lalu ketika dia berusaha mendapatkan tajaan kelengkapan pakaian selepas diterima menyertai latihan bersama kelab Sepanyol, Malaga City FC. 

Hal ini didedahkan oleh ibu pemain berkenaan, Hayati Mohamad Yusof ketika berkongsi kisah Aniq dalam mengejar impian impian menjadi pemain bola sepak profesional.


Kredif foto: FB Niq Aniq Asri


“Apabila Aniq mendapat tawaran untuk berlatih bersama Malaga pada 2020, kami berusaha mendapatkan tajaan pakaian daripada sebuah syarikat. Tapi, saya terkedu apabila mereka bertanya berapa ramaikah jumlah follower Aniq dalam media sosial kerana menurut mereka, salah satu kriterianya, Aniq mesti mempunyai ramai follower.

 “Saya sangka artis saja dinilai melalui populariti rupanya dalam sukan pun perkara sebegitu diambil kira. Sepatutnya, mereka menilai pada bakat Aniq, bukan populariti. 

"Aniq hanya ada bakat tapi tak ramai follower sebagaimana penaja perlukan. Apatah lagi dia bukanlah jenis yang aktif bermedia sosial, jadi memang pengikut tak ramai,” kata Hayati.


Hubungan dengan Nash memang rapat sehingga Aniq menganggap penyanyi itu bagai ayahnya sendiri.


Malah, hubungan rapat Aniq dengan penyanyi popular, Datuk Nash, yang merupakan bekas suami Hayati, juga tidak dipandang oleh penaja. Walau bagaimana pun menurut Hayati, beliau lega apabila Malaga FC menyediakan segala keperluan melalui tajaan sebuah syarikat pengeluar sukan antarabangsa.

Menurut Hayati, itu adalah antara karenah yang terpaksa beliau tempuhi bagi membantu Aniq mencapai impiannya dalam bola sepak.

Sebagai ibu, Hayati sentiasa memberi sokongan penuh malah mengorbankan wang ringgit demi memastikan Aniq memperoleh ilmu yang cukup sebelum menerjunkan diri sebagai pemain profesional.


Aniq (depan, kanan sekali) bersama skuad remaja Malaga FC.


“Saya mengeluarkan duit sendiri untuk menghantar Aniq menimba ilmu bersama Malaga FC. Tidak ada mana-mana pihak tampil membantu atau menaja. Saya guna duit EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM100,000 sepanjang dua tahun Aniq di Sepanyol.

 “Saya sanggup berkorban demi memenuhi cita-cita Aniq menjadi pemain profesional. Sejak kecil (kanak-kanak) saya sudah lihat bakat serta kesungguhannya dalam bola sepak dan sebagai ibu saya cuba lakukan apa yang termampu untuk membantunya,” katanya.

Menurut Hayati, walaupun pada awalnya dia lebih suka jika Aniq menumpukan perhatian serta berjaya dalam pelajaran namun akhirnya dia terpaksa akur dengan pilihan anak bujangnya itu.

“Aniq pernah menyertai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah bimbingan Lim Teong Kim semasa berada Tingkatan Dua tapi saya menariknya keluar setahun selepas itu kerana saya mendapati pelajarannya merosot walaupun prestasinya dalam bola sepak meningkat. 


Aksi Aniq bersama Malaga FC.


“Saya mahu pencapaian Aniq seimbang antara bola sepak dan pelajaran. Saya tak mahu dia hanya cemerlang dalam bola sepak tapi gagal akademik. Bagi saya, kedua-duanya penting. Alhamdulillah, tindakan saya itu tepat, pelajaran Aniq kembali meningkat selepas itu,” ujar Hayati.

Malah, menurut Hayati, tujuannya menghantar Aniq menyertai Malaga FC pada 2020 adalah bagi mempersiapkan dirinya untuk menjadi pemain profesional. Walaupun hanya dua tahun namun beliau dapat melihat peningkatan anaknya sama ada daripada segi permainan mahupun pemikiran.



Tanpa berniat memperlekehkan pembangunan bola sepak di Malaysia, Hayati berkata kelab-kelab Eropah benar-benar menerapkan profesionalism dalam sistem bola sepak mereka.

“Saya dapat lihat perubahan Aniq walaupun hanya dua musim bermain di sana. Bukan sahaja permainannya meningkat malah dia semakin matang dan mampu membuat keputusan sendiri untuk masa depannya.

“Walaupun tidak mendapat tawaran untuk terus bermain di luar negara, namun saya tetap rasa berbaloi melabur untuk Aniq kerana ilmu yang diperolehnya sangat banyak,” ujar Hayati.


Aniq akan dibimbing oleh jurulatih skuad Piala Presiden Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli. - Kredit foto: Penang FC


Mengenai keputusan Aniq menyertai Penang FC, Hayati berkata anaknya itu membuat pertimbangan yang wajar walaupun turut menerima tawaran daripada beberapa pasukan lain.

“Penang adalah pasukan pertama yang membuat tawaran sekembalinya Aniq dari Sepanyol pada Ogos (2021) lalu. Aniq tertarik dengan perancangan mereka yang sesuai dengan cita-citanya.

“Apa yang dikejarnya bukanlah gaji tapi peluang untuk bermain kerana hanya dengan cara itu dia dapat menunjukkan bakat dan kebolehannya. Tawaran dan gaji besar akan datang sendiri jika Aniq mampu menunjukkan kehebatannya. Sebagai ibu, saya hanya doakan yang terbaik untuknya,” tambah Hayati.


Selepas meninggalkan AMD, Aniq dilamar oleh UiTM.


Untuk rekod, Aniq mempamerkan bakat bola sepak sejak bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Raja Muda, Shah Alam sehingga terpilih mewakili Selangor pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Bakatnya kemudian terus digilap di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor sebelum ditawarkan pula ke AMD. Selepas meninggalkan AMD, Aniq menyertai skuad belia UiTM FC sebelum berangkat ke Malaga City FC, Sepanyol pada 2020. - KitaReporters


14
13
0
10
0

Copy Link: