Lembu sado dapat perhatian! Ibadat korban penduduk DUN Ajil
Published byPENYEMBELIHAN seekor lembu sado untuk dijadikan ibadat korban menjadi perhatian orang ramai khususnya penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Hulu Terengganu sempena sambutan Aidiladha tahun 2020 ini. : KitaReporters
Petugas penyembelihan menumbangkan lembu sado untuk disembelih
Lagi cerita mengenai ibadat korban:
https://kitareporters.com/search?search=ibadat+korban
Lembu baka Charolais bernilai RM15,000 seberat 950 kilogram itu merupakan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim melalui peruntukan dari kerajaan negeri Terengganu untuk acara korban dan diagihkan kepada penduduk kawasan berkenaan.
Maliaman berkata, ini kali pertama pihaknya membeli lembu baka ini untuk ibadat korban sejak program korban perdana diadakan kira kira empat tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim
Katanya, lembu tersebut dibeli bersama seekor lagi lembu baka Belgian Blue dan 15 ekor lembu baka tempatan dengan peruntukan dari kerajaan negeri untuk diagihkan kepada Unit Daerah Mengundi (UDM) Ajil.
"Proses penyembelihan lembu sado ini yang diadakan pada hari raya kedua Aidiladha terpaksa menggunakan khidmat 10 orang tenaga kerja dan mengambil masa lebih sejam,” katanya.
Lembu sado berharga RM15,000 yang dijadikan ibadah korban menarik perhatian penduduk DUN Ajil, Hulu Terengganu
Katanya, jumlah daging yang berjaya diperolehi daripada lembu baka ini adalah sebanyak 420 kilogram berbanding lembu kampung hanya 80 kilogram hingga 120 kilogram seekor.
Beliau berkata, sebanyak 600 gram bagi setiap bungkusan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan dan penduduk sekitar.
Penduduk bergotong royong melapah daging untuk diagihkan kepada golongan yang berhak menerimanya
Sementara itu, tukang sembelih, Mohd Amirul Ibrahim, berkata, proses penyembelihan lembu ini tidaklah sesukar seperti melihat fizikalnya yang besar.
"Cuma proses menumbangkannya memerlukan lebih fizikal manusia dan masa," katanya.
Petugas sedang menurunkan lembu sado dari lori untuk dikorbankan
Katanya, usaha menumbangkan lembu tersebut memerlukan kemahiran tinggi dalam kalangan petugas disebabkan keadaan tubuhnya yang besar dan perlu berhemah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. - KitaReporters