PENYERANG Harimau Malaya, Shahrel Fikri Md. Fauzi disahkan sebagai pemain baharu Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021, sekali gus melenyapkan teka-teki kedudukannya bersama pasukan asal, Perak.  Mesra disapa Eky, dia juga muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super 2020. : KitaReporters 


SHAHREL Fikri Md. Fauzi sah menjadi pemain baharu Selangor FC bagi Liga Malaysia 2021. - Kredit foto selangorfc.com


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Eky di belakang penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun - bakal gandingannya di barisan depan Merah Kuning apabila tirai Liga M disingkap pada 26 Februari 2021. 

Gergasi Merah turut memiliki seorang lagi peledak berbisa iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana 2020, Ahmad Danial Asri, lapor laman sesawang rasmi Selangor FC hari ini, Isnin 7 Disember 2020. 


EKY (kanan) menyertai rakan sepasukan Harimau Malaya, Brendan Gan (dua dari kiri) di Selangor FC yang juga bekas tonggak Perak 2019. - Kredit foto FB FAM. 


Shahrel, 27, berjaya menyumbat 10 gol daripada 10 perlawanan musim 2020 selain menyumbangkan lima gol dalam 14 penampilan antarabangsa bersama Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe sejak persahabatan menentang Syria pada 22 Ogos 2017 di Stadium Hang Jebat, Melaka.  

Selain PKNP (kini Perak 2) dan 'Si Seladang', dia pernah menyarung jersi kelab Thailand, Nakhon Ratchasima sebagai pemain pinjaman selama semusim. 


JOHAN Kamal Hamidon. - Kredit foto selangorfc.com


Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, kemasukan Shahrel ke dalam Selangor FC satu berita yang sangat mengujakan barisan kejurulatihan.

“Eky seorang pemain berbakat besar. Kami sudah lama mengikuti perkembangannya sebagai pemain Perak dan kebangsaan.

"Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner dan ketua jurulatih, Karsten Neitzel sangat gembira kerana Selangor FC berjaya mendapatkannya sebagai pemain kami bagi musim akan datang.

“Eky membuktikan keupayaan dan ketajamannya dalam mencabar pemain asing sebagai penjaring musim lalu. Di sini, Eky mampu menjadi pemain yang lebih baik selain membantu membawa lebih banyak kejayaan Selangor FC dan kebangsaan,” ujarnya. 



Sementara itu, kata Shahrel: “Saya berterima kasih kepada penyokong dan pengurusan pasukan Perak atas segalanya. Menyertai Selangor akan membuka lembaran baru karier saya. Saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama Gergasi Merah."

“Terima kasih juga kepada pengurusan Selangor FC, terutama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam,” tambahnya. - KitaReporters

SHAHREL muncul penjaring terbanyak 'Si Seladang' Liga M 2020. - Kredit foto FB Perak TBG

1
0
1
0
0

Copy Link: