Semua suspek kini direman seminggu sehingga 29 April 2021 . - Kredit foto: freemalaysiatoday


PERBUATAN jahat bapa dan tiga anak lelakinya menjadikan remaja perempuan berusia 18 tahun sebagai hamba seks sejak setahun lalu akhirnya terbongkar selepas mereka diberkas pada Rabu, 21 April 2021.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, bapa dan dua abang mangsa serta seorang kakak iparnya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Kling dekat sini pada pukul 12.45 pagi, manakala seorang lagi ditahan pada pukul 1.13 pagi di Bemban.

“Kesemua yang ditahan berusia 23 sehingga 48 tahun, bapa mangsa pula penganggur, manakala tiga lagi abangnya tiada kerja tetap.

“Terdahulu mangsa membuat laporan mendakwa dirogol dan diliwat oleh ayah dan tiga abang kandung bergilir-gilir di Taman Sri Krubong, Tanjung Minyak,” katanya yang dipetik oleh Utusan Malaysia, Jumaat 23 April 2021.

Mohd. Sukri berkata, bertindak atas laporan itu, polis menahan bapa dan ketiga-tiga abang mangsa, serta kakak ipar remaja itu dan saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada mereka positif syabu.

Mangsa yang telah kematian ibu mendakwa kejadian rogol dan liwat sudah berlarutan sejak Februari 2020 dan kali terakhir pada Februari lalu.

“Mangsa turut mendakwa sebelum dirogol, dia diberikan minuman disyaki dicampur dengan dadah. Selepas mangsa khayal, kedua-dua tangan dan kaki remaja itu didakwa diikat menggunakan tali di penjuru katil, manakala mulut ditutup dengan pita pelekat.

“Mangsa yang tidak lagi bersekolah dirogol dan diliwat abang-abangnya pada waktu siang, manakala bapanya akan melakukan perbuatan terkutuk itu pada waktu malam dan mangsa akan dipukul sekiranya melawan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sukri berkata, perbuatan itu dilakukan secara bergilir-gilir oleh suspek apabila mereka berada di bawah pengaruh dadah.

Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 April 2021 ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B dan 377C Kanun Keseksaan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

 

3
3
3
1
28

Copy Link: