Berita Terkini| Bazar Ramadan Tok Adis Kuala Terengganu ditutup 2 minggu! Pertama di Terengganu
Published byPengarah Jabatan Kesihatan Negeri terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. - Kredit foto: Sinar Harian.
BAZAR Ramadan Tok Adis Kuala Ibai di Kuala Terengganu diarah tutup sementara selama 14 hari bermula 8 malam pada 16 April hingga 30 April 2021 berikutan gagal pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, perintah penutupan bazar Ramadan Tok Adis itu dilakukan bagi memberi peluang kepada penganjur supaya memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan memastikan dipatuhi peniaga dan pengunjung.
BAZAR pertama yang diarahkan tutup di Terengganu berikutan gagal patuhi SOP. kredit Foto Bernama
“Ini merupakan bazar Ramadan pertama yang diarah tutup
sementara di Terengganu dan pemantauan telah dilakukan oleh pegawai penguat kuasa
di lokasi itu selama beberapa hari dan kita dapati banyak pelanggaran SOP
berlaku.
“Arahan penutupan bazar itu bukan secara mengejut kerana
nasihat telahpun diberi, penutupan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan dan
berharap langkah ini akan menjadi iktibar kepada semua agar mereka tidak cuai
dalam pematuhan SOP,” katanya pada Sabtu, 17 April 2021.
Tegas beliau, penutupan itu berkuat kuasa di bawah Seksyen 18 (1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Antara SOP yang mesti dipatuhi di bazar Ramadan ialah pengambilan suhu badan, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemakaian pelitup muka, laluan sehala dan hanya pengunjung 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk.
Dr Nor Azimi dalam pada itu menjelaskan pihaknya
sentiasa melakukan pemantauan tahap pematuhan SOP di semua bazar Ramadan di
seluruh negeri ini bagi mengelak wujudnya kluster baharu Covid-19 akibat
pelanggaran SOP di lokasi niaga itu.
Tahun ini, sebanyak 69 lokasi bazar Ramadan dengan
4,326 petak niaga beroperasi di seluruh negeri.
Daripada jumlah itu, 22 lokasi adalah di Kuala Terengganu, Kemaman (19), Besut (10), Setiu (enam), Dungun (lima), Marang (lima) dan Hulu Terengganu (dua). - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
SEBANYAK 69 lokasi bazar ramadan beroperasi seluruh negeri Terengganu sepanjang Ramadan tahun ini. - Kredit foto: freemalaysiatoday.