Jangkaannya, dia akan mengungguli anugerah Pemain Muda Terbaik sahaja namun Arif Aiman Hanapi mencipta sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual pada Sabtu, 4 Disember, 2021.

Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu adalah pemain termuda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.

Anugerah MPV itu memang selayaknya dimenangi Arif selepas dia turut memenangi kategori Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan anugerah bola sepak


Pemain muda JDT itu menganggap kejayaan yang dikecapi ini tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan sepasukan.

“Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP pada tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional. Terima kasih saya ucapkan kepada TMJ kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih Benjamin Mora serta  barisan kejurulatihan yang lain kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan dan pemain-pemain senior lain yang sentiasa bantu saya ketika saya mula-mula masuk ke dalam pasukan JDT dan tidak dilupa juga kepada semua penyokong saya,” katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF 2020 di Singapura.

Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Selangor FC Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.





Sebagaimana beberapa tahun kebelakangan ini, JDT mengungguli beberapa kategori lain apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik  apabila mengetepikan saingan pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Daniel Ting (Kuala Lumpur City FC).

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias pula merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020, mengatasi saingan pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC).

Sementara itu, penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meraih Kasut Emas menerusi ledakan 30 gol dalam semua pertandingan musim ini dan melengkapkan penguasaan JDT adalah pemilihan kelab Harimau Selatan itu sebagai Pasukan Terbaik.



Kejayaan KL City menjuarai Piala Malaysia 2021 sedikit sebanyak membantu Bojan Hodak untuk menyisihkan saingannya, Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC) untuk anugerah Jurulatih Terbaik.

“Terima kasih kepada semua penyokong, kelab, pihak pengurusan dan juga kepada CEO (Stanley Bernard) kami. Juga terima kasih kepada semua pemain kerana tanpa anda kita tidak akan menang apa-apa perlawanan. Terima kasih juga kepada semua staf yang bekerja dengan saya setiap hari, mencurahkan idea bersama dan sentiasa bersabar dengan saya. Terima kasih juga kepada isteri dan anak saya,” jelas Hodak.

Watak penting dalam kejayaan itu, Romel Morales yang muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 10 gol diiktiraf sebagai Pemain Import Terbaik biarpun dicabar hebat Bergson dan Ifedayo Omosuyi (Selangor FC).




Sementara itu, kapten Kedah Darul Aman FC Baddrol Bakhtiar yang mengumumkan perpindahan ke Sabah FC musim depan meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super menerusi jaringan tujuh gol.  Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Baddrol mengetepikan cabaran dua pemain JDT, Afiq Fazail dan Natxo Insa.

“Terima kasih kepada MFL kerana memberikan anugerah Pemain Tengah Terbaik ini dan saya bersyukur kerana saya memang sasarkan untuk anugerah ini. Paling penting saya nak hadiahkan trofi ini kepada isteri, anak dan keluarga tercinta saya. Tak lupa juga kepada semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan, tanpa anda siapalah saya, jadi hadiah ini untuk anda semua,” katanya.

Sementara itu, Skuad Projek FAM-MSN yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Premier musim ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fair Play.



Turut diumumkan kejayaan penyerang Selangor FC, Ifedayo Omosuyi sebagai Penjaring Terbanyak Liga Super 2021 dengan mengumpul 26 gol, rekod baharu gol terbanyak dalam satu musim di pentas Liga Super.

Selain itu Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) yang menghasilkan 16 gol masing-masing dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Premier 2021. Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani pula meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021 dengan rekod 9 gol.

Seramai 403 daripada 843 pemain telah disenaraipendekkan berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK 2021 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori. Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

Seramai 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Super dan Liga Premier dan 23 wakil media telah mengundi 10 pemain bagi setiap kategori itu pada 19 November dan berakhir 21 November 2021. - KitaReporters



23
7
0
9
0

Copy Link: