Video| Dah beli tiket? Konsert Tribute Ahmad Nawab! 1-3 Julai 2022! Penghormatan buat legenda!
Published byLagu ciptaan komposer Ahmad Nawab menjadi malar segar hingga hari ini.
KREDIBILITINYA sebagai komposer dan pemain saksafon dalam industri muzik tempatan tiada tolok banding. Malah hingga kini lagu-lagu ciptaannya masih digemari tanpa ada tempoh luput.
Karya Datuk Seri Ahmad Nawab berjaya menjulang nama ramai penyanyi tanah air di persada seni.
Sebagai menghormati pembabitannya dalam bidang seni yang bermula dari tahun 1950-an itu, satu konsert khas bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 1 hingga 3 Julai 2022 ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan komposer legenda Ahmad Nawab
Penganjuran Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Seri Ahmad Nawab yang dibawa khas oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi agensinya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Istana Budaya itu bakal diterbitkan oleh Bin Jamal Event Sdn. Bhd.
Konsert yang bakal dipersembahkan selama dua jam itu sebagai tanda penghargaan dan penghormatan kepada anak seni yang telah menggubah lebih 2,000 lagu dan menghasilkan kira-kira 200 album yang didendangkan oleh artis tempatan dan luar negara.
Di atas pencapaian dan bakat luar biasa yag dimilik Ahmad Nawab, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) menganugerahkannya dengan gelaran Seniman Negara yang ke-7 pada tahun 2006.
Pihak Jamal Abdillah iaitu Bin Jamal Event Sdn. Bhd., mendapat kepercayaan mengurus Konsert Tribute Seniman Negara Datuk Ahmad Nawab yang bakal diadakan di Istana Budaya.
Antara penyanyi yang menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Nawab ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khatijah Ibrahim, Uji Rashid, Ramlah Ram, Allahyarham Sudirman, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Hetty Koes Endang dan ramai lagi.
Untuk konsert yang akan bermula pada pukul 8.30 malam dengan iringan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, penyanyi yang terlibat ialah Jamal Abdillah, Khadijah Ibrahim, Ramlah Ram, Wany Hasrita dan Shidee.
Wany Hasrita merasa bertuah dapat menjayakan konsert penghargaan kepada Ahmad Nawab bersama dengan penyanyi berpengalaman.
Bagi Jamal, selain menyanyi dia juga bertindak sebagai penerbit kerana berjaya mendapat kepercayaan daripada JKKN untuk mengurus konsert berkenaan.
“Ini adalah projek yang kelapan di Istana Budaya dan kali ini dengan kerjasama JKKN. JKKN minta kita terbitkan, selalunya saya masuk proposal untuk buat event. Kali ini JKKN minta kita buat sebab track record kita dah ada. Jadi JKKN minta kita terbitkan konsert ini.
“Semua JKKN yang cadangkan. Tender itu terbuka kepada penggiat seni tetapi memandangkan track record saya, jadi saya diberi kepercayaan untuk menerbitkan konsert ini.
“Dalam tempoh enam bulan tawaran dibuat tapi pada peringkat pertengahannya hampir tak jadi dan hujung-hujung ini baru kita finalise,” kata Jamal.
Gandingan Ramlah Ram, Shidee, Khatijah Ibrahim dan Jamal Abdillah akan menghangatkan Istana Budaya pada 1 hingga 3 Julai 2022 ini.
Menurut Jamal, kali terakhir dia pergi ziarah Ahmad Nawab bersama dengan Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop, komposer itu tampak uzur dan sakit tapi masih bersemangat untuk buat penampilan istimewa pada akhir persembahan nanti.
“Mungkin dia akan bermain saksafon sambil duduk. Harapan saya agar dia sihat dan boleh tampil. Hampir batal itu sebab masalah kesihatan la.
“Dia kalau boleh nak pilih artis dan lagu-lagu yang tertentu. Ada juga dia bertanya saya kenapa ambil penyanyi muda, Wany Hasrita? Saya cakap, Wany Hasrita ni ramai follower, dari segi nyanyian pun boleh membawakan lagu-lagu Uji Rashid dan Sharifah Aini.
“Berdasarkan faktor itu, saya bawa Wany masuk dalam konsert ini. Satu mungkin dia boleh tarik crowd juga, itulah alasan saya. Saya tak ajak penyanyi asal kerana semua itu memakan kos. Sebenarnya DJ Dave dan Hail Amir pun bertanya-tanya dengan Ahmad Nawab kenapa tak panggil mereka.
“Bayangkanlah kalau untuk artis saja nak habiskan sampai RM200,000 susah jugalah. Macam lagu-lagu Sharifah Aini, kita bagi orang lain. Saya akan nyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Tan Sri P.Ramlee berduet dengan Wany. Kemudian lagu duet Broery Marantika dengan Sharifah Aini, saya berduet dengan Khatijah Ibrahim,” jelas Jamal mengenai alasan mengapa Wany Hasrita, pasangan duetnya menerusi lagu Belenggu Rindu dipilih.
Untuk konsert yang menawarkan harga tiket pada kadar RM100, RM158, RM248, RM358 dan RM358, Jamal tidak kisah menyanyikan lagu orang lain, termasuklah Taman Firdausi, ciptaan Ahmad Nawab yang didendangkan Allahyarham P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Untuk lagu Seiring Jalan, dendangan asal oleh Broery Marantika dan Sharifah Aini, Jamal akan berpasangan dengan Khatijah. Malah dia juga bakal mendendangkan empat buah lagu ciptaan Ahmad Nawab yang pernah dirakam sebelum ini.
Jamal bakal berduet dengan Khatijah Ibrahim dan Wany Hasrita.
Jamal turut berkongsi pandangannya terhadap Ahmad Nawab yang dipanggil Abang Mat yang mencipta lagu untuk album sulungnya ketika berusia 19 tahun.
“Dia seorang yang sangat romantik dan lagu-lagu ciptaannya semua lagu cinta. Dia seorang yang lemah lembut tapi sensitif dan very particular. Kalau kita buat lagu dengan dia waktu rakaman, dia detail dan berhati-hati.
“Saya bekerja dengan dia dah lama, saya tengok dia seorang tekun waktu bekerja dan tak main-main. Waktu rakaman album pertama, saya masih pemalu, lagipun baru 19 tahun. Masa tu saya buat rakaman di Singapura.
“Adalah peminat-peminat perempuan di Singapura bawa kek dan tunggu kat bus stop. Saya jadi segan bila tengok ramai peminat perempuan. Dia kata, apa you segan, patut bangga la you nyanyi bagus. Dapatlah kek itu. Itu adalah moment yang saya rasa kelakar.
“Dia memang garang dari segi kerja tapi saya pernah satu ketika bertengkar dan dia tak mau buat lagi. Saya dah nyanyi lagu tu berulang kali, Bersama Malam Yang Sepi. Dia dok suruh ulang berkali-kali dekat 10 kali. Saya tanya apa yang Abang Mat nak ni, berapa kali saya nak ulang.
“Hang buat, tok sah dok cerita banyak. Rupanya bila kita marah, penyampaian kita sempurna. Itu yang dia nak, itu cara dia,” imbas Jamal mengakui lagu ciptaan Ahmad Nawab yang memberi kesan mendalam kepadanya adalah Hatiku Luka Kembali dan Perpisahan Tanpa Relamu.
Kredit foto: FB Kakashi San Shaiful
Sebagai penyanyi yang mendapat asuhan Ahmad Nawab, Jamal berharap lagu-lagu ciptaan komposer legenda itu perlu diperbaharui dari segi susunan muzik mengikut arus sekarang kerana melodi yang dicipta amat menarik.
“Saya rasa lagu-lagu dia perlu diperbaharui dari segi arrangement music untuk masa ini. Melodinya semua sedap-sedap, cuma untuk masuk ke arus perdana ini, mungkin arrangement muzik tu kena sesuai dengan zaman ini. Perlu diketengahkan balik.
“Tapi untuk konsert ini dia tak benarkan untuk tukar sangat, dia nak original yang disampaikan dalam bentuk orkestra. Dia tak mahu identiti muzik itu ditukar-tukar,” kata Jamal.
Untuk menonton konsert ini peminat boleh membelinya di laman sesawang www.illasoticket.com atau menerusi talian 03-21706333. - KitaReporters
Konsert ini mendapat kerjasama penuh daripada MOTAC, JKKN dan Istana Budaya.