Enggan mengalah, Ratchaburi ditawan! 3 mata sulung JDT FC! Hadiah kejutan hari jadi buat Mora!

Published by
KitaReporters

JDT FC meraikan gol tunggal dan kemenangan sulung ACL 2021 terhadap Ratchaburi FC di Bangkok. - Kredit foto: JDT  


“JANGAN sesekali berputus asa dan sedar, bola sepak memang memberikan kejutan.”

Rupa-rupanya tiga mata di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, semalam turut menjadi hadiah ‘kejutan’ hari jadi Benjamin Mora yang ke-42.  

Mesej ini dipegang oleh ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) FC dan disampaikan kepada pasukannya sehingga menewaskan Ratchaburi FC 1-0 dalam pertembungan Kumpulan G bola sepak Liga Juara Asia (ACL) 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT FC


BENJAMIN Mora mendapat hadiah ulang tahun kelahirannya ke-42, semalam dengan tiga mata JDT FC dalam Kumpulan G ACL 2021. - Kredit foto: JDT 


“Kami telah kehilangan banyak peluang, dan kebiasaannya pasukan mengalah dalam situasi seperti itu. Tetapi kami tidak mengalah dan itulah semangat juang, ciri dalam pasukan ini,” kata ketua jurulatih dan pengurus pasukan JDT ini dalam laman Facebook rasmi, Johor Southern Tigers, hari ini, Sabtu 26 Jun 2021.

“Hadiah hari jadi terbaik yang saya dapat ialah tiga mata kami kutip (semalam)," kata Mora, kelahiran bandar raya Mexico.

JDT FC mempamerkan kebangkitan untuk menyaingi semula Kumpulan G bola sepak Liga Juara Asia (ACL) 2021 dengan tiga mata ini sambil melonjak ke tempat kedua setelah tewas 0-1 kepada Nagoya Grampus (Jepun) di gelanggang sama, Selasa, 22 Jun 2021 lalu.

Kekalahan 0-1 kepada Nagoya Grampus (Jepun) di gelanggang sama, ditebus dengan jaringan tunggal perantara importnya dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-47 hasil hantaran bekas kapten negara, Safiq Rahim.


LEANDRO Velazquez menjaringkan gol menerusi rembatan kencang selepas memusing badannya untuk menerima tolakan Safiq Rahim. - Kredit foto: JDT


Kemenangan sulung ini membolehkan Harimau Selatan bimbingan Mora memintas bekas juara ACL tiga kali, FC Pohang Steelers dari Korea Selatan yang dikejutkan pendahulu kumpulan, Nagoya 3-0 dalam perlawanan sebelah petang semalam (Jumaat, 25 Jun 2021).

“Satu permainan yang sukar terutama babak kedua. Para pemain JDT beraksi dalam perlawanan yang sangat mencabar dengan pasukan tempatan Thailand yang mempunyai variasi.

“Bola sepak sememangnya memberikan anda kejutan. Kami tidak dapat menjaringkan penalti dan emosi mulai bercampur tetapi kami dapat memperbaiki keadaan pada babak berikutnya,” katanya.


TENTANGAN Ratchaburi FC (jersi jingga) ke gawang JDT yang cuba ditangkis penjaga golnya, Farizal Marlias (jersi hijau). - Kredit foto: AFC


Yang terpenting menurut Mora ialah meraih tiga mata setelah melakukan tugas yang sangat baik pada babak kedua iaitu mengekalkan corak serangan dan mengawal permainan dalam soal bola, peralihan dan bertahan.

Harimau Selatan kempunan gol awal menerusi sepakan penalti setelah percubaan penyerang kelahiran Brazil, Bergson pada minit ke-29, terus kepada dakapan penjaga gol kelab tuan rumah, Kampol Pathomakkakul. 

Nasib juga tidak menyebelahinya dengan percubaan jarak jauh Safiq yang terkena palang gol pada minit ke-66 dan rembatan kaki kiri sayap kanan gantian, Safawi Rasid yang tersasar dua minit kemudian dan sekadar menyinggahi tiang dalam masa kecederaan.


BERGSON (kanan) gagal menyudahkan sepakan penalti JDT yang tepat didakap oleh Kampol Pathomakkakul. - Kredit foto: AFC


Berbeza ketika berdepan Nagoya, Mora kali ini nekad merombak kesebelasan utamanya dengan menurunkan Matthew Davies sebagai bek kanan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham di bek kiri, Safiq selaku perantara dan Akhyar Rashid di sayap kiri.

Namun sebagai sebahagian strategi, dia juga membuat lima penggantian pemain pada minit ke-66, 73 dan dua minit masa kecederaan dengan memasukkan Safawi (Akhyar), S. Kunanlan (Azrif), Syamer Kutty Abba (Safiq), Ramadhan Saifullah Usman (Arif Aiman Hanapi) dan Afiq Fazail (Leandro).

“Saya katakan kepada pasukan, inilah peluang untuk kami menang. Ayuh cuba dan jadi berani. Pemain-pemain saya ialah para pejuang. Mereka berjuang sehingga akhir permainan,” kata warga Mexico ini.

 JDT akan bertemu Pohang Steelers pada Isnin, 28 Jun 2021 ini juga di Stadium Rajamangala bagi melengkapkan saingan pusingan pertama Kumpulan G. Pusingan kedua liga kumpulan ini akan berlangsung pada 1, 4 dan 7 Julai 2021. - KitaReporters


KESEBELASAN utama JDT menentang Ratchaburi mengalami rombakan benteng, perantara dan sayap yang akhirnya membuahkan tiga mata sulung. - Kredit foto: JDT

1
0
0
0
0

Copy Link: