Biar betul! Pusat Racun Negara kata pokok Lidah Jin beracun?
Published byPOKOK Lidah Jin atau nama saintifiknya "Sansevieria trifasciata" merupakan pokok hiasan yang tiba-tiba menjadi kegilaan orang ramai masa kini. Ada juga yang memanggilnya pokok Lidah Mak Mentua!! Ia tular dalam media sosial kerana diiktiraf oleh agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) sebagai tumbuh-tumbuhan yang berupaya menghilangkan toksin dan menapis udara di dalam rumah. Sejak itu, pokok ini ‘diburu’ sehingga menyebabkan harganya naik berlipat ganda. : KitaReporters
Pokok Lidah Jin menjadi buruan selepas didakwa mampu menapis udara di dalam rumah.
Walau bagaimanapun, Public Health Malaysia (PHM) menyanggah kenyataan mengatakan pokok Lidah Jin mampu menghilangkan toksin dan menapis udara di dalam rumah seperti yang tular dalam media sosial.
“Penemuan kajian oleh NASA hanya untuk ruang tertutup di dalam kebuk udara makmal.
"Dalam ruang pejabat atau bilik bersaiz3.1M x 3.1M x 2.4M, anda memerlukan 1,000 jenis tumbuhan untuk bertindak untuk menapis udara secara berkesan!
“Walaupun tumbuhan dalam rumah tidak berkesan sebagai penapis udara, ia sangat penting untuk mengurangkan tekanan.
"Persekitaran yang baik dan indah terbukti dapat meningkatkan mood yang positif dalam aktiviti seharian,” jelas PHM menerusi laman Instagram rasmi mereka.
Namun, pendedahan oleh Pusat Racuh Negara (PRN) lebih mengejutkan berkenaan pokok viral tersebut.
Mereka menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan pokok tersebut kerana ia mengandungi racun yang berbahaya untuk kanak-kanak dan haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
“Diketahui bahawa tumbuhan ini mempunyai bahan aktif Saponin.
"Jika termakan dalam kuantiti yang banyak berkemungkinan boleh menyebabkan gejala-gejala ringan kepada manusia seperti muntah, cirit-birit dan ruam.
“Namun, ia mungkin menyebabkan gejala yang lebih teruk kepada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Antaranya pengeluaran air liur yang berlebihan, kurang selera makan, lesu dan muntah-muntah.
“Oleh itu, dalam keghairahan menanam pokok tular ini di rumah anda, pastikan anda berwaspada khususnya jika mempunyai anak-anak kecil yang mungkin bermain atau mematahkan pokok ini.
"Mereka mungkin terdedah pada bahan aktif saponin yang berisiko menyebabkan keracunan,” tulis kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook rasmi PRN itu.
Jelas di sini, kita jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang tular dalam media sosial dan seterusnya menjadi trend atau ikutan tanpa menyelidik terlebih dahulu.
Ikuti nasihat yang telah diberikan oleh pihak-pihak yang pakar.
Jangan dek kerana mengikuti trend terkini, kita membahayakan ahli keluarga dan haiwan peliharaan! - KitaReporters