Gara-gara dedah gangguan seksual, Cindy Ong terima video lucah pula! Lapor kepada polis, SKMM!
Published byCindy Ong mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia dengan pelbagai kejayaan kategori Masters. - Kredit foto: FB Cindy Ong
LANGKAH bekas perenang kebangsaan, Cindy Ong mendedahkan skandal gangguan seksual dalam kem sukan renang negara, dianggap satu tindakan berani yang seharusnya menjadi amaran kepada pihak lain supaya tidak cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Namun, masih ada individu yang berani cuba ‘bermain api’ dengan perenang itu apabila menghantar video lucah melalui akaun Instargram miliknya pada malam 4 Jun 2021 lalu.
Menurut Cindy, video yang dihantar oleh individu atas akaun bernama 'Solehunter8’ itu memaparkan seorang lelaki sedang melakukan onani.
Walau bagaimanapun akaun itu kemudian sudah tidak dicapai selepas Cindy menyiarkan tangkap layar video berkenaan pada instastorynya sambil menandakan pada pengirim video itu, pihak polis, Suruhajaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM).
Lagi cerita-cerita sukan berkaitan renang
Cindy percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan pendedahan dilakukannya berhubung gangguan seksual dalam kem renang negara
Susulan itu Cindy turut membuat laporan polis pada 5 Jun 2021 bagi memastikan individu berkenaan disiasat serta menerima hukuman sewajarnya. Dia akan turut membuat laporan kepada SKMM.
Cindy percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan pendedahan dilakukannya berhubung gangguan seksual dalam kem renang negara termasuk kes cabul ke atas dirinya sendiri semasa remaja dulu.
Dalam pendedahannya, Cindy, 37, mendakwa seorang jurulatih telah mencabul dengan mengusap badannya serta menyentuh payudaranya semasa mereka menyertai satu pertandingan di luar negara.
Menurut Cindy, sebagai remaja yang masih naif ketika itu, dia tidak pasti bagaimana mahu memberi tindak balas kepada perbuatan jurulatih berkenaan.
Cindy memenangi lima pingat emas dan dua perak dalam Kejohanan Masters Dunia di Korea Selatan pada 2019. - Kredit foto: FB Cindy Ong.
Jurulatih yang sama didakwa turut melakukan serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya 10 atlet lain. Malah Cindy mendedahkan lelaki itu turut cuba mencabulnya ketika dia berusia 20-an.
Walaupun kejadian itu sudah lama berlalu dan jurulatih berkenaan sudah tidak bersama skuad negara namun Cindy berkata dia mendedahkan pengalaman dialami untuk dijadikan oleh atlet-atlet muda agar tidak turut menjadi mangsa.
Atlet kelahiran Ipoh, Perak itu adalah perenang yang kompetitif sejak 1989 dan melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2004, Athens dengan menyertai empat acara.
Cindy memenangi lima pingat emas dan dua perak pada Kejohanan Renang Masters Dunia di Gwangju, Korea Selatan pada 2019. - KitaReporters
Foto: FB Cindy Ong.