Video| Kaka Azraff tak hilang! Muncul dengan Hilang! Nasihat hargai orang tersayang sebelum hilang!
Published by"SENTIASALAH kenang pada mereka yang telah pergi dan hargai mereka yang masih ada bersama kita," begitu pesan penyanyi Kaka Azraff yang kehilangan ayah tercinta ketika umur baru menginjak 10 tahun.
Lebih menyedihkan apabila Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 33, kehilangan nenek tersayang pada bulan Mac tahun 2021 disusuli pula sahabat karibnya, yang sering menemani waktu susah dan senang.
Namun buat pelantun lagu ‘Gila’ bersama Loca B dan Noki K-Clique yang berjaya menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-35 ini, beliau gagahkan diri untuk bangkit daripada kesedihan lampau dengan karya terbaharunya berjudul ‘Hilang’.
Lagi
Catatan Kaka dalam Instagramnya @kakaazraff.
Hasil ciptaan komposer terkemuka, Omar K bersama Ezra Kong, ‘Hilang’ menterjemahkan perasaan Kaka mengubati rindunya terhadap kehilangan ketiga-tiga orang yang disayanginya itu.
“Idea di sebalik pembikinan lagu ini datangnya daripada saya sendiri, saya abadikan kehilangan orang tersayang dalam sebuah karya buat mereka yang telah pergi untuk selamanya.
“Ayah merupakan insan pertama dalam hidup saya yang mula-mula mengesan bakat nyanyian yang saya ada, manakala nenek pula merupakan insan terpenting kerana dibesarkan olehnya, masih saya ingat lagi bila ada artikel yang keluar mengenai saya pasti dipotong dan disimpannya, dan Emmy Agung, bukan sahaja jurusolek hebat bahkan sahabat yang sentiasa menemani saya ke mana sahaja, samada ke mesyuarat mahupun persembahan,” cerita Kaka dalam nada sebak.
Menurut Kaka hampir setahun beliau tidak muncul dengan mana-mana single selepas kehilangan nenek tersayang dan sahabat rapat yang banyak membantu dalam kerjaya seninya.
“Saya seakan kehilangan arah dan semangat untuk terus berkarya,” akui Kaka.
Namun, kongsi ibu kepada dua putera comel, Aslan dan Aryan ini, pada penghujung tahun lepas (2021) selepas mendengar demo lagu 'Hilang', beliau temukan semangat baharu dan nekad untuk kembali berkarya kerana kehilangan sangat memberi kesan.
“Lagu ‘Hilang’ merupakan pengubat jiwa bagi diri saya yang ‘hilang’ dek kerana kehilangan individu penting,” ulangi Kaka.
Dicipta begitu puitis dengan melodi unik, Kaka memberitahu, maksud di sebaliknya menceritakan tentang kehilangan seseorang dalam hidup kita yang memberi impak mendalam.
“Saya tujukan lagu ini buat mereka yang telah ‘hilang’ secara zahirnya, tetapi sebenarnya tidak ‘hilang’ dan sentiasa ada dalam hati.
"Kita sering mengambil mudah dalam banyak hal, dan apabila mereka tiada baharulah kita sedar peri pentingnya seseorang itu dalam hidup. Lumrah manusia mengingati sesuatu yang telah tiada,” jelas Kaka sambil yakin pendengar akan terpesona dengan alunan muzik pop yang diadun bersama elemen tradisional, diberi nafas baharu yang segar dan moden.
Kaka sering menampilkan muzik baharu dan unik yang jarang didengar namun senang ‘ditangkap’ oleh peminat muzik.
“Sebagai penyanyi, saya sukakan karya yang ‘edgy’, moden dan baharu, lain daripada lain serta unik.
"Setelah berada hampir 10 tahun dalam industri muzik, saya lebih matang dalam memilih ‘material’ untuk dijadikan lagu, kalau dahulu apa yang ‘trending’ itu menjadi ikutan tetapi kini, saya nak hasilkan sesuatu yang dapat menggembirakan saya dahulu sebelum membuat orang lain gembira dengan lagu-lagu saya,” tambahnya.
Berkongsi lanjut, Kak memberitahu, “Hilang" tidak mengambil masa yang lama untuk dirakamkan, hanya sekitar 2 jam sahaja walau pun ketika itu beliau sarat hamil 7 bulan.
“Ezra sempat mengusik ‘takut-takut’ kalau nafas tidak sampai. Tetapi, alhamdulillah, proses rakaman berlangsung dengan lancarnya,” kenang Kaka dan berharap lagu terbaharunya ini diterima baik oleh semua serta dapat memasuki AJL sekali lagi. - KitaReporters