Cungkil bakat rebung Olimpik! Akademi Olimpik Kebangsaan anjur Kidslympic (Olimpik Cilik) pertama!
Published byNICHOLAS Chan (tiga dari kanan) memperagakan logo dan sepanduk Kidslympic Malaysia Pertama, 2024 di balapan Stadium Merdeka dan Goh Liu Ying (tiga dari kiri). - Kredit foto: MOM
KANAK-KANAK berusia lima hingga 12 tahun berpeluang menonjolkan bakat ‘rebung’ bersukan mereka dengan kemunculan Kidslympic (Olimpik Cilik) Malaysia Pertama dari 28 hingga 29 Disember 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Kidslympic anjuran Akademi Olimpik Kebangsaan (NOA) Malaysia ini membabitkan tujuh jenis sukan yang sering dipertanding Sukan Olimpik iaitu gimnastik, taek wan do, pentatlon moden, bola keranjang, sofbol, olahraga dan bola tampar.
Acara julung-julung kali ini turut dinaungi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selain mendapat sokongan padu Kementerian Pendidikan, dijangka menarik penyertaan 1,500 kanak-kanak dari seluruh negara.
Pengarah NOA Malaysia, Nicholas Chan berkata, “matlamatnya selain mencungkil bakat bersukan mereka sejak usia yang muda lagi, turut meraikan semangat kesukanan, muhibah dan pengukuhan remaja dalam suasana yang menceriakan."
Sidang media dan majlis pelancaran ringkas logo rasmi Kidslympic Malaysia Pertama, 2024 dijalankan di Stadium Merdeka dengan kehadiran Ikon acara, Goh Liu Ying yang juga pemenang pingat perak badminton Sukan Olimpik Rio 2016 pada 4 Disember 2024.
LOGO Kidslympic Malaysia 2024 yang dipaparkan oleh Goh Liu Ying (kiri) dan Nicholas Chan ini, menggambarkan semangat acara itu dengan warna-warna cerah dan unsur dinamiknya selain melambangkan keterangkuman, tenaga dan bakat tanpa had kanak-kanak Malaysia. - Kredit foto: MOM
“Saya berbesar hati dipilih sebagai Ikonnya. Kidslympic merupakan satu daya usaha besar untuk menggalakkan sukan dan sekiranya ada kanak-kanak pesertanya yang menjejak kaki ke Sukan Olimpik satu hari nanti, pasti matlamatnya tercapai.
“Pembabitan saya dalam badminton pun disebabkan dorongan kuat oleh ayah saya. Minat ini dipupuk sejak kecil apatah lagi badminton memang sukan yang amat terkenal di Malaysia.
“Selain pendidikan, sukan tetap satu gaya hidup sihat yang perlu diterapkan pada kanak-kanak walaupun bukan bertujuan menjadikannya kerjaya mereka apabila dewasa,” kata gandingan bersama Chan Peng Soon dalam beregu campuran ini.
STADIUM Merdeka, gelanggang bersejarah yang merakamkan pelbagai kejayaan sukan di Malaysia terutama bola sepak, hoki dan olahraga, bakal dihadiri 1,500 kanak-kanak sekolah sebagai para peserta Kidslympic Malaysia 2024. - Kredit foto: MOM
Kata Nicholas, “NOA Malaysia yang ditubuhkan pada 1994 juga merupakan jentera pendidikan MOM.
“Kidslympic juga berperanan dalam mendidik kanak-kanak sekolah atau generasi baharu masyarakat mengenai semangat dan nilai-nilai positif Olimpik seperti kecemerlangan, hormat dan persahabatan.
“Acara ini lebih daripada pertandingan kerana turut meraikan impian, keazaman dan kepelbagaian yang memenuhi cita-cita pengasas Sukan Olimpik moden, Pierre de Coubertin.
“Kidslympic menganjurkan kegiatan jasmani malah murid-murid ini yang menyertainya akan diberikan markah BSKK (Bahagian Sukan, Kokurikulum Dan Kesenian),” katanya.
Logo Kidslympic yang diinspirasikan oleh artis terkenal, Jinks Chong, menggambarkan semangat acara itu dengan warna-warna cerah dan unsur dinamiknya selain melambangkan ketrangkuman, tenaga dan bakat tanpa had kanak-kanak Malaysia.
“Logonya menandakan perjalanan hebat yang akan memberi inspirasi kepada atlet-atlet muda dan menyatukan masyarakat,” katanya lagi. - KitaReporters
WAKIL penaja PNB Merdeka Ventures, Roger Ong (kiri), Goh Liu Ying dan Nicholas Chan menjawab soalan wakil media massa dalam sidang media dan pelancaran logo Kidslympic Malaysia Pertama, 2024 di Stadium Merdeka. - Kredit foto: MOM