MAK Chee Weng menerima bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih dan rakan pemain normalnya menerusi bahasa isyarat di tengah padang. - Kredit foto: MCFA


DI sebalik sifat kurang upaya, rupa-rupanya terserlah bakat penggegar gawang yang berbisa pada diri Mak Chee Weng.

Pemain pekak dan bisu ini membantu Perak mara ke separuh akhir sebelum muncul keempat terbaik sebuah kejohanan bola sepak antara yang tertua di Malaysia, Piala MCFA Ke-71 bagi tahun 2024 ini.

Piala MCFA yang diasaskan pada 1948 dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) pimpinan Datuk Jeffrey Low yang juga ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Chee Weng, 25, turut mengukir pencapaian hebat selaku penjaring terbanyak yang mengatasi pesaing-pesaing pemain normal dengan menyumbat sembilan gol pada kejohanan di Stadium Mini Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak itu.

Sifat ‘istimewa’ pemain OKU setinggi 1.69 meter ini menjadi satu cabaran buat jurulatih, A. Pugelenthi namun bukan penghalangnya untuk membarisi kesebelasan utama Perak di posisi perantara menyerang.


PIALA MCFA 2024 menampilkan tujuh pasukan dan berformat liga Zon Utara dan Selatan serta kalah singkir yang membabitkan dua pasukan teratas setiap zon. Perak naib juara Zon Utara mengekori Pulau Pinang. - Kredit foto: MCFA


Anak jati Ipoh ini turut menjaringkan gol penyamaan yang mengikat Pulau Pinang 2-2 sehingga perlawanan tempat ketiga pada 11 Ogos 2024 ini diheret kepada penentuan sepakan penalti biarpun Perak tumpas 4-3.

“Saya amat sedih tidak dapat membantu pasukan mara ke perlawanan akhir,” catatnya menerusi aplikasi WhatsApp dengan bantuan Pugelenthi, dalam satu siaran media penganjur Piala MCFA.

"Ada banyak peluang terhidang untuk saya membolosi gawang Selangor tetapi tuah tidak menyebelahi kami," katanya.


MAK Chee Weng mengubati rasa terkilannya ke final Piala MCFA 2024 dengan menyumbat sembilan gol dan dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan edisi ke-71 di Kampar, Perak ini. - Kredit foto: MCFA


Perak dijinakkan Selangor 1-0 dengan gol Syafiq Khor Kamal Khor sekalipun mereka bekerja keras dalam mencari gol penyamaan dan cuba membawa perlawanan separuh akhir 9 Ogos 2024 itu memasuki penentuan penalti.

Anugerah individu penjaring terbanyak yang ibarat Kasut Emas Piala MCFA 2024 itu tetap memberikan penawar kecewa Chee Weng selepas turut ditumpaskan oleh Pulau Pinang pada 11 Ogos 2024.

“Sudah lima tahun saya menyarung jersi Perak dalam Piala MCFA dan inilah kali pertama kami ke separuh akhir setelah sentiasa kandas peringkat kumpulan lagi,” katanya.

Pulau Pinang dan Perak masing-masing turut membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Kali akhir Perak menjulang Piala MCFA ialah pada 2002 dengan menewaskan Pulau Pinang 1-0 dan mereka dihampakan Selangor dengan penalti 5-3 setelah seri 0-0 pada 2022. 

“Saya amat yakin kami akan kembali lebih gagah dan lebih bersedia pada tahun depan (2025) untuk menamatkan penantian bergelar juara itu semula,” kata Chee Weng lagi.


MAK Chee Weng turut mewakili Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Pekak Asia Pasifik dan ASEAN serta Dunia selain beraksi dalam futsal Sukma 2018. - Kredit foto: MCFA


Sementara itu, Pugelenthi, 45, mengakui “melatihnya (Chee Weng) satu tugas yang mencabar tetapi saya dapat menyampaikan kaedah latihan dan tunjuk ajar dengan sedikit bahasa isyarat serta menggunakan WhatsApp.

Piala MCFA turut terbuka kepada semua lapisan kaum selain Cina asalkan bukan pemain-pemain yang didaftarkan dalam Liga Super, Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia namun setiap pasukan mesti menampilkan tiga pemain bawah 21 tahun.

Chee Weng juga pernah mewakili pasukan Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Pekak Asia Pasifik 2015 di Taoyuan, Kejohanan Bola Sepak Pekak ASEAN 2016 di Kuala Lumpur dan Kejohanan Bola Sepak Pekak Dunia Keempat, 2023 juga di ibu kota.

Menariknya ialah dia turut berbakat dan mewakili Perak dalam futsal Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di negeri kelahirannya itu. - KitaReporters


MAK Chee Weng (tiga dari kiri) muncul Penjaring Terbanyak Piala MCFA 2024. - Kredit foto: MCFA 


 

7
11
0
11
0

Copy Link: