Harimau Malaya berhak julang trofi Pestabola Merdeka? Jadi sumber inspirasi kepada pasukan! - Pau
Published byKAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools (dua dari kiri) dan Pau Marti Vicente (kiri) bergambar mengapit trofi Pestabola Merdeka Ke-43 dengan Miodrag Radulovic (kanan) dan pemain Lebanon, Gabriel Bitar dalam sidang media praperlawanan akhir di Subang Jaya, Selangor. - Kredit foto: FAM
TROFI Pestabola Merdeka Ke-43 berhak menjadi ganjaran milik sebahagian besar pemain Harimau Malaya yang sudah bermain bersama sejak sekian lama iaitu antara 2021 atau 2022.
Gelaran yang kali akhir dimenangi Malaysia pada
2013 di Kuantan, Pahang itu turut akan mencipta motivasi bgi Pau Marti Vicente
dalam pertandingan sulungnya sebagai ketua jurulatih negara.
“Buat saya, tidak begitu penting tetapi tetap
satu motivasi dalam perlawanan ini sebagai jurulatih untuk memenanginya.
“Kepada kumpulan pemain ini yang sudah main sekian lama bersama dan saling mengenali, mereka berhak meraih pialanya,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir Pestabola Merdeka di Subang Jaya, Selangor pada 7 September 2024.
JADUAL sepak mula perlawanan penentuan tempat ketiga dan final Pestabola Merdeka Ke-43 pada 8 September 2024. - Kredit foto: FAM
Warga Sepanyol ini mengulas menjelang final
berdepan penghuni ranking ke-116 dunia berbanding tuan rumah, ke-134 di Stadium
Nasional, Bukit Jalil pukul 9 malam pada 8 September 2024.
Mengenai Lebanon yang dibimbing oleh warga Montenegro,
Miodrag Radulovic kata Pau, “pasukan kita pernah menentang pasukan gagah (Asia
Barat) seperti Oman, Jordan dan Syria (Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan
siri persahabatan tahap 1) yang mirip Lebanon.
“Gaya permainan dan kualiti pemain mereka agak serupa jadi kami kena hadapinya dengan persediaan taktikal dan mental,” katanya yang cuba memburu kemenangan kedua selepas menumpaskan Filipina 2-1 ketika separuh akhir, 4 September 2024 lalu.
SAYAP kanan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (12) ketika berebut bola dengan pemain Filipina, Jefferson David Tabinas pada separuh akhir 4 September 2024. - Kredit foto: FAM
Namun kali akhir pertemuan Malaysia-Lebanon
menyebelahi lawan 2-1 di Stadium Kota Sukan Camille Chamoun, Beirut dalam
Kelayakan Piala Asia 2019 tanggal 27 Mac 2018 dengan Syafiq Ahmad menyumbat gol
tunggal kita.
Malah pelawat dalam kelayakan itu menundukkan Harimau
Malaya kendalian Nelo Vingada dari Portugal, 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan
Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 13 Jun 2017 biarpun mendahului menerusi Mahalli
Jasuli.
Hanya penyerang, Syafiq, bek kanan Matthew Davies
dan sayap kiri Akhyar Rashid yang kini masih bersama Harimau Malaya daripada
perlawanan Kumpulan B kelayakan di Beirut itu.
Ulas Radulovic, 57, “saya dapati Malaysia punya
pemain naturalisasi yang amat bagus, berkualiti dan mengagumkan. Lebanon berasa
terhormat menjadi sebahagian final kejohanan berkualiti ini.
“Kami menang dua kali, di Johor dan Beirut dengan
saya sebahagian pasukan itu tetapi pasukan anda kali ini berbeza dan mereka tampak
bagus menentang Filipina.
“Ini satu pengalaman kami yang bagus apabila menentang lawan sekuat Malaysia. Keadaan cuaca juga pasti berbeza dengan ketika kalahkan Tajikistan 1-0, kami bermain sebelah petang (separuh akhir 4 September 2024),” katanya. - KitaReporters
PENYERANG Lebanon, Omar Chaaban (9) saling berebut bola dengan benteng Tajikistan, Zoir Dzhuraboev pada separuh akhir 4 September 2024 yang dimenangi Lebanon 1-0. - Kredit foto: FAM
SEJARAH MALAYSIA JUARA PESTABOLA MERDEKA:
1958: Tanah Melayu/Malaya * (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))
1959: Tanah Melayu/Malaya * (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))
1960: Tanah Melayu/Malaya 0 Korea Selatan 0 (juara bersama) (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))
1968: Malaysia 3 Burma 0 (Jurulatih: Harold Hassal (England)0
1973: Malaysia 3 Kuwait 1 (Jurulatih: Abdul Ghani Minhat)
1974: Malaysia 1 Korea Selatan 0 (Jurulatih: Jalil Che Din)
1976: Malaysia 2 Jepun 0 (Jurulatih: M. Kuppan)
1979: Malaysia 0 Korea Selatan 0 (juara bersama) (Jurulatih: Mohamad Bakar)
1986: Malaysia 3 Sigma Olomuc (Czechoslovakia) 0 (Jurulatih: Jozef Venglos (Czechoslovakia))
1993: Malaysia 3 Pilihan Korea Selatan 1 (Jurulatih: Ken Worden (England))
2007: Malaysia B-23 3 Myanmar 1 (Jurulatih: B. Satiananthan)
2013: Malaysia B-23 2 Myanmar B-23 0 (Jurulatih: Datuk Ong Kim Swee)
* Juara liga sepusingan
BARISAN Malaysia yang menjuarai Pestabola Merdeka 1986 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dibimbing Jozef Venglos dan dibantu M. Chandran (berdiri, empat dan tiga dari kiri). - Kredit foto: DSU