Video| Ngauman baharu Harimau Malaya! Muzik rasmi karya Warner Music Malaysia! Kerjasama dengan FAM!

Published by
KitaReporters


MOHD Yusoff Mahadi (tiga dari kiri) dan Dinesh Ratnam memperagakan cenderamata penghargaan WMM dan FAM pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama mereka di Petaling Jaya. - Kredit foto: FAM


“SEHATI Sejiwa”, “Ekor Harimau Sejati”, “Ayuh Malaysiaku”, “Barisan Kita”.

Keempat-empat lagu penyorak dan penyemarak semangat ini sering dan cukup popular didendangkan kumpulan penyokong setia Ultras Malaya sebagai mengiringi perjuangan Harimau Malaya di tengah gelanggang.  

Lirik-liriknya juga bersemangat, patriotik dan menyeru kejayaan serta melengkapkan peranan penting mereka sebagai ‘Pemain Ke-12’ pasukan negara apabila berdepan para lawan sama ada di ‘kandang’ (home) atau bertandang (away).

Gegak gempita nyanyian ini yang menjalari ruang angkasa stadium sehingga mampu mencantas sedikit sebanyak semangat pasukan lawan, seolah-olah mengilhamkan kerjasama terbaharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Warner Music Malaysia (WMM) pada 2 Oktober 2024.

WMM diumumkan sebagai rakan penaja muzik rasmi Harimau Malaya dalam majlis menandatangani perjanjian di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.  


NOOR Azman Rahman (dua dari kiri) dan Raqeem Brian melakukan simbolik menandatangani perjanjian kerjasama FAM-WMM. - Kredit foto: FAM


TAPAK tangan kanan Raqeem Brian dan Noor Azman Rahman yang terpapar pada skrin elektronik sebagai simbolik kerjasama WMM-FAM. - Kredit foto: FAM


Perjanjian berkenaan ditandatangani Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Pengarah Artis & Pembangunan Bakat WMM, Raqeem Brian sambil disaksikan oleh Timbalan Presiden persatuan, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi dan Pengarah Urusan Warner, Dinesh Ratnam.

Projek pertama untuk memulakan kerjasama strategik dan menarik ini adalah untuk menghasilkan lagu rasmi bola sepak untuk Harimau Malaya.


MOHD. Yusoff Mahadi menjawab soalan wakil media massa dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama FAM-WMM sambil diperhatikan Dinesh Ratnam. - Kredit foto: FAM


Yusoff yang berbesar hati mengalu-alukan kerjasama terbaharu FAM-WMM ini berkata, “muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.

“Inilah satu cara kita dapat menghubungkan generasi ke generasi dan saya amat teruja untuk melihat lagu rasmi bola sepak kebangsaan oleh WMM menarik rakyat Malaysia terutama sekali muda-mudi pelbagai latar belakang dan kaum.

“Saya juga pasti menerusi lagu rasmi bola sepak kebangsaan ini dapat menyemarakkan semangat Harimau Malaya apabila turun beraksi demi negara pada perlawanan-perlawanan yang akan datang. 

“Kerjasama yang menyatukan dua elemen yang kuat – bola sepak dan muzik ini mampu mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi semua peminat Harimau Malaya,” katanya dalam siaran media FAM. 


MATTHEW Davies (2) dan Romel Morales meraikan kejayaan Pestabola Merdeka, 8 September 2024 lalu dengan ribuan penyokong setia Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FAM


Kata Dinesh, "bola sepak sukan yang sangat disukai semua rakyat Malaysia dan kami berbangga menyokong pasukan kebangsaan kami, Harimau Malaya di dalam dan di luar padang dengan menjadi rakan penaja muzik rasmi pertama FAM.

“Warner Music Malaysia teruja untuk memulakan kerjasama dan inilah peluang kami yang sangat baik untuk menunjukkan komitmen dalam menyokong industri sukan dan muzik di Malaysia sekali gus meningkatkan semangat kesukanan rakyat Malaysia," katanya. - KitaReporters


PARA penyokong Harimau Malaya bakal dihadiahkan lagu baharu oleh FAM dan Warner Music Malaysia, tidak lama lagi untuk didendangkan mengiringi perjuangan pasukan kebangssaan kesayangan mereka. - Kredit foto: FAM

14
13
0
7
0

Copy Link: