Filem mana akan raih dana RM500k? Insentif kepada pemenang Filem Terbaik FFM33! 7 filem rebut gelaran!
Published byMengangkat tema “Emas - Evolusi Sinema Malaysia,”, Festival Filem Malaysia ke-33 tahun ini (2024) menyaksikan 104 penyertaan dengan 95 pencalonan layak bertanding, merangkumi 64 filem cereka, 20 filem pendek dan 11 filem dokumentari.
Filem ‘Abang Adik’ yang pecah panggung di tiga negara - Malaysia, Taiwan dan Hong Kong dengan gabungan pelakon utamanya dari Taiwan, Wu Kang-Ren dan Jack Lim dari Malaysia memperoleh 11 pencalonan berbanding pesaingnya, ‘Imaginur’ yang memperoleh 15 pencalonan termasuk Pengarah Terbaik.
Fahmi Fadzil meletakkan trofi FFM33 sebagai gimik pelancaran FFM33.
Filem ini mengisahkan tentang dua adik-beradik tanpa warganegara yang hidup dalam kesusahan, terutama dengan ketiadaan hak sebagai warga Malaysia rasmi arahan Jin Ong.
Kedua-dua filem itu antara 7 pencalonan bagi merebut gelaran Anugerah Filem Terbaik termasuk ‘Duan Nago Bogho’, ‘Hungry Ghost Diner’, Mechamato Movie, Rain Town dan Sheriff - Narko Integriti yang diumumkan.
Selain hadiah wang tunai bernilai R5,000 dan trofi yang akan diberikan kepada 27 kategori utama, Filem Terbaik FFM33 bakal meraih insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.
Manakala pemenang Anugerah Khas akan menerima RM10,000 berserta trofi.
Pengumuman calon lima terbaik FFM33 dalam semua kategori diumumkan pada majlis perasmian FFM33 yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bertempat di Studio Sound Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ulu Kelang baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran: Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman; dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.
Malam perasmian FFM33 turut menyaksikan persembahan daripada Bella Astillah dan Syamel.
“Industri perfileman negara tentunya telah melalui fasa evolusi yang dinamik dan progresif sejak tayangan filem Melayu pertama, ‘Laila Majnun’ yang diterbitkan di Singapura pada tahun 1933 lalu.
“Mencecah 91 tahun, Festival Filem Malaysia setanding Festival Filem Antarabangsa lain seperti yang diadakan di Singapura, Cannes, Locarno, Jogja-NETPAC, Busan, Goa dan Tokyo yang mampu menjana banyak sokongan penajaan, pelaburan, pembiayaan dan dikomersialkan dengan kerjasama pihak swasta pada peringkat domestik dan antarabangsa,” ujar Fahmi sambil memaklumkan sokongan padu Kerajaam membuktikan kepentingan festival filem ini sebagai platform pengiktirafan di peringkat nasional.
Tambahnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak FINAS untuk meneliti langkah dan tindakan yang perlu diambil bagi memastikan usaha mengangkat FFM pada peringkat antarabangsa dapat direalisasikan.
Kemuncak Malam Anugerah FFM33 dijadual berlangsung pada 7 Disember 2024 ini, pada pukul 9 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan akan turut disiarkan secara langsung di TV2 serta saluran YouTube FINAS.
Dalam kategori Pelakon Filem Wanita Terbaik menyaksikan Diana Danielle, Nabila Huda, Susan Lankester antara pesaing hebat bagi Nadia Aqilah dan Chen Keat Yoke manakala pasangan pelakon utama bersama Diana Danielle iaitu Beto Kusyairi melalui filem ‘Imaginur’ turut merebut gelaran Pelakon Lelaki Terbaik di samping Zul Ariffin, Shaheizy Sam, Asrulfaizal Kamaruzaman dan Chew Kin Wah.
Selain menanti debaran majlis penyampaian hadiah pada Malam Anugerah bagi pengumuman pemenang, penganjuran FFM33 tahun ini (2024) turut diperkenalkan 557 program sisipan interaktif yang dirangka mengikut tiga teras utama:
1. Film Bizz: Memacu pelaburan dan kerjasama dalam industri filem.
2. Pembudayaan Sinema: Tayangan filem dan sesi apresiasi bersama komuniti.
3. Peningkatan Profesionalisme: Menyediakan latihan dan bengkel untuk profesional industri.
Di samping itu, kerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) telah menampilkan program Intuisi Emas di Datum Jelatek, termasuk:
Forum “Orang Muda dalam Perjuangan” pada 23 November 2024, bersama pengarah muda prolifik.
Forum “Lihatlah Dunia, Trofi FFM Merubah Hidupku” pada 24 November 2024, yang menampilkan pemenang-pemenang FFM terdahulu.
Untuk rekod, ‘Lihatlah Dunia’ adalah dialog popular diluahkan pelakon Allahyarham Azean Irdawaty selepas diumum pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA), pada 1980.
Tentu forum yang diaturkan WHAM satu nostalgia menarik untuk dikenangi pelakon-pelakon generasi terkini agar jangan selalu mendongak ke langit, sesekali ada baiknya tunduk ke bumi waima hidup ini ibarat putaran roda.
Dalam pada itu, orang ramai boleh berkunjung ke pawagam GSC di Midvalley termasuk di Kota Kinabalu dan Kuching bermula 30 November 2024 hingga 6 Disember 2024 untuk menyaksikan tayangan filem yang bertanding secara percuma.
Untuk maklumat lanjut boleh layari laman rasmi FFM33 di ffm.finas.my. - KitaReporters