Terima kasih Abata Sport! Serahkan peralatan angkat berat! Jadi pendorong semangat kepada atlet muda!
Published byDr Fathul Bari Mat Jahya (kanan sekali) dan Mohd Ridzuan Hashim (dua dari kiri) melihat peralatan yang akan digunakan oleh atlet sukan angkat berat.
Penaung syarikat Abata Sport Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya menyerahkan peralatan sukan angkat berat dengan disaksikan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Perlis Mohd Ridzuan Hashim pada 25 Januari 2025 lalu.
Sumbangan ini tanda sokongan kepada sukan angkat berat di negeri Perlis agar atlet acara ini dapat dibekalkan dengan kemudahan peralatan terkini dan berkualiti.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen Abata Sport dalam memperkasa sukan tempatan, khususnya dalam bidang angkat berat.
“Kami yakin dan percaya dengan sokongan seperti ini lebih ramai atlet Perlis akan muncul sebagai pesaing hebat pada peringkat nasional dan antarabangsa nanti,” katanya.
Manakala Exco Belia dan Sukan pula memuji usaha ini sambil menekankan kepentingan kolaborasi antara sektor swasta dan kerajaan dalam membangunkan bakat sukan negeri.
“Saya melihat peralatan yang berkualiti adalah asas kepada kejayaan atlet, dan langkah ini menunjukkan Perlis serius dalam melahirkan juara sukan yang mampu membawa nama negeri ke peringkat global nanti," kata Mohd Ridzuan.
Moga sumbangan ini diharapkan memberi impak besar kepada kemajuan sukan angkat berat Perlis, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negeri dalam pelbagai disiplin. - KitaReporters