Danial Asri (kanan) antara pemain muda yang ditonjolkan oleh Selangor FC musim ini. - Kredit foto: Selangor FC


PEMAIN-PEMAIN muda pasukan Selangor FC yang beroleh kesempatan beraksi dalam skuad utama The Red Giants perlu memanfaatkan peluang keemasan itu sebaik-baiknya dengan membuktikan kemampuan mereka.

Bekas penyerang terbilang Selangor dan skuad kebangsaan, Azman Adnan, berkata, ini kerana peluang sedemikian bukan mudah diperolehi serta tidak akan diberi dua atau tiga kali oleh seseorang jurulatih.

“Pada ketika pemain import makin ramai membanjiri liga kita, peluang untuk pemain muda menonjolkan bakat serta kebolehan amat sukar apatah lagi jika mereka tidak mempunyai semangat juang yang tinggi untuk bersaing dengan pemain import.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Selangor FC

Azman, antara penyerang terbilang pernah menyarung jersi pasukan Selangor. - Kredit foto: WK TV 


“Tidak banyak pasukan berani mempertaruhkan pemain muda dalam kesebelasan utama, kebanyakan mereka lebih yakin dengan pemain import dan pemain berpengalaman. 

“Jadi, apabila pasukan seperti Selangor berani memberi tempat kepada pemain muda, ia adalah sesuatu yang sangat positif kepada bola sepak kita. Tak ada alasan lagi bahawa pemain kita tidak diberi peluang. 

“Oleh itu, saya harap pemain muda yang mendapat kepercayaan agar tidak mensia-siakannya. Berikan segala-galanya, buktikan kemampuan kerana peluang sebegini tidak datang dua atau tiga kali,” ujar Azman.

Malah, menurut Azman, pemain muda perlu memiliki mentaliti bahawa mereka juga mampu beraksi sehebat pemain import dan sentiasa bersedia menyahut cabaran untuk bersaing dengan mereka.


Prestasi mantap Sharul Nazeem bersama Selangor membuka laluan menyertai skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: Selangor FC


“Pada zaman saya bermain dahulu, Selangor memiliki pemain import seperti Tony Cottee yang pernah beraksi untuk England dan Everton serta Chris Kiwomya, bekas pemain Arsenal, Queen Park Rangers dan Ipswich Town tapi saya tidak berasa rendah diri.

“Saya sentiasa tanamkan dalam diri bahawa saya lebih bagus daripada pemain import, dengan itu saya sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan prestasi sekali gus memberi saingan kepada mereka,” kata Azman.

Selangor bimbingan jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel adalah antara pasukan yang berani mempertaruhkan pemain muda musim ini dengan beberapa nama seperti Sharul Nazeem Zulpakar, 21; Mukhairi Ajmal Mahadi, 19; dan Ahmad Danial Ahmad Asri, 21, mula menyerlahkan potensi sebenar.


Mukhairi Ajmal (tengah) membantu skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2022 Bawah-23 (U-23) yang akan berlangsung di Uzbekistan, selepas menjuarai Kumpulan J pusingan kelayakan di Mongolia, baru-baru ini. - Kredit foto: FAM.


Shahrul Nazeem dan Mukhairi Ajmal turut mendapat kepercayaan jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan pada dua aksi perlawanan persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan, di Amman, Jordan, Oktober 2021 lalu namun Shahrul Nazeem terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

Mukhairi Ajmal yang didedahkan dalam aksi persahabatan itu turut menjadi watak utama membantu skuad Bawah 22 Tahun negara bimbingan Brad Maloney layak ke pusingan akhir Piala Asia 2022 B-23 di Uzbekistan, Jun, 2022 selepas menjuarai Kumpulan J pada pertandingan kelayakan di Mongolia, baru-baru ini. 

Sementara itu, Danial, semakin mendapat kepercayaan Neitzel untuk digandingkan dengan pemain import, Ifedayo Olusegun bagi mengemudi jentera serangan The Red Giants.

Pemain berusia 21 tahun itu pantas membalas keyakinan Neitzel dengan menjaringkan dua gol ketika Selangor yang kehilangan khidmat Ifedayo kerana kecederaan, membelasah Kuching City FC 5-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium MBPJ, Sabtu, 30 Oktober, 2021 lalu.


Danial Asri meraikan jaringannya ketika membantu Selangor membelasah Kuching City 5-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium MBPJ, 30 Oktober, 2021 lalu. - Kredit foto: Selangor FC.


Bagi Azman, prestasi yang ditunjukkan pemain-pemain muda itu mampu mengembalikan kegemilangan Selangor yang merupakan juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali.

“Saya nampak Neitzel mempunyai perancangan jangka panjang untuk Selangor dengan mula menonjolkan pemain-pemain muda. Mereka ini akan menjadi aset utama pasukan itu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Saya harap mereka dapat meningkatkan prestasi. Jangan ‘lalok’ dengan pujian atau cepat rasa puas hati dengan apa yang mereka capai sekarang kerana dalam bola sepak, jika kita leka dan tersilap langkah, karier kita akan berkubur,” nasihat Azman. - KitaReporters


Pasukan bola sepak Selangor FC. - Kredit foto: FB Selangor FC

15
14
0
16
1

Copy Link: