Seorang ini bekas pemain boling manakala seorang lagi pelakon yang tidak pernah bermain boling. Tetapi kedua-duanya disatukan ke dalam sebuah naskhah yang mengetengahkan penceritaan bertemakan sukan boling terbitan syarikat produksi JS Pictures Sdn Bhd berjudul ‘Ratu Ten Pin’.

Pelakon yang dimaksudkan adalah Elisya Sandha manakala ratu  boling tersebut yang buat julung kalinya terjun ke bidang lakonan selepas meninggalkan skuad kebangsaan tahun lalu (2020) setelah 11 tahun mengharumkan negara dan menyumbang pingat kepada negara dalam acara sukan boling  adalah Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (gambar bawah).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan boling

Kredit foto: Instagram @syaidatulafifah


Antara pencapaian terbaik beliau adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

Pemain boling berusia 29 tahun itu sendiri tidak pernah terlintas untuk melebarkan sayap dalam bidang lakonan selepas bersara daripada sukan boling.

Segalanya bermula apabila penerbit Sheila Rusly menghantarkan mesej menerusi laman Instagram untuk menawarkan watak utama kepadanya dalam drama ‘Ratu Ten Pin’.

Walaupun dalam drama berkenaan watak Sandra yang dilakonkannya adalah sebagai atlet sukan boling, namun bagi Syaidatul ia masih merupakan sebuah cabaran yang besar kepadanya kerana ia bukanlah karakternya yang sebenar.

“Saya rasa cukup bertuah diberi kesempatan untuk mendapatkan tunjuk ajar dan ilmu mengenai selok belok dunia lakonan daripada barisan pelakon dan pengarah yang amat berpengalaman sewaktu di set,” ujar atlet berusia 29 tahun ini.


Kredit foto: Instagram @elisyasandhaofficial


Berlainan pula dengan adik pelakon Fasha Sandha, Elisya (gambar atas) yang tidak pernah menyentuh bola boling diberikan peranan memegang watak Norma, seorang pemain boling kebangsaan yang handal.

Untuk merealisasikan watak itu, Elisya baharu sahaja berjinak-jinak bermain boling, sebuah sukan yang sebenarnya tidak diminati sangat tetapi setelah menjalani latihan, minat bermain tiba-tiba timbul.

“Ini kerana Elisya sudah dapat menguasai skil dan teknik yang betul,” jelas Elisya yang mengambil masa tiga bulan membuat persediaan rapi termasuk mengambil alternatif mencari jurulatih peribadi serta melakukan kajian dan penyelidikan bertujuan memantapkan pembinaan wataknya.

Begitu pun, sudah tentu Elisya perlu berterima kasih kepada bekas juara dunia, iaitu ratu tenpin boling negara, Shalin Zulkifli yang turut dilantik sebagai penasihat teknikal untuk drama ini dengan berkongsi kepakaran, sekali gus memberi informasi yang lebih tepat berkenaan teknik sukan boling.


Shalin Zulkfli (tengah) bersama Sheila Rusly dan Jinggo. - Kredit foto: Instagram @shalinzulkifli.

Bagi lebih meyakinkan wataknya, Elisya sanggup memotong pendek rambut bahkan bakal menantu kepada pengarah Jinggo dan Sheila Rusly ini tidak pernah diberikan sebarang layanan istimewa tetapi tetap ditegur sekiranya melakukan kesilapan di set.

“Kami juga turut mendapatkan bimbingan pasukan bowling yang sebenar untuk melatih barisan pelakon agar lakonan menjadi lebih mantap dan tidak nampak seperti dibuat-buat,” ujar Jinggo atau nama sebenarnya, Azman Yahya.

Menurut Jinggo secara keseluruhannya, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan barisan pelakon yang terlibat kerana kesemua mereka telahpun memberikan kerjasama yang sepenuhnya sepanjang proses penggambaran berlangsung.



Selain Elisya Sandha dan Syaidatul Afifah, turut berlakon Fify Azmi termasuklah Hazeeq Dean, Nazim Othman, Sheila Rusly, Nasz Sally, Eizlan Yusof, Aleeza Kasim, Esma Daniel dan Lisdawati. 

Bagi Jinggo, proses pembikinan drama yang mengangkat genre sukan bukanlah mudah memandangkan tumpuan atau penekanan penuh perlu diberikan untuk setiap babak yang ingin dihasilkan kerana ia melibatkan sesuatu yang di luar konteks. 

“Menterjemahkan sesebuah visual melalui skrip juga merupakan antara cabaran paling sukar sebagai pengarah. Bukan itu sahaja, cabaran untuk menjadikan seorang atlet kepada seorang pelakon dan sebaliknya juga merupakan sebuah kejayaan yang tidak sangka dapat dilakukan dalam tempoh masa cuma sebulan,” kenang Jinggo.

Drama bersiri 16 episod, ‘Ratu Ten Pin’ merupakan  naskhah asal yang mengetengahkan penceritaan bertemakan sukan boling dengan skirp ditulis oleh Ross Faisal dan Chinta Adeesha.

Ia telah pun bermula siarannya pada 28 Jun 2021 lalu secara ekslusif di saluran Astro Ria (104)  serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan platform On Demand. 

Jadi bagi peminat drama dan sukan boling jangan lupa menyaksiannya pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11 malam ya! 



Semantara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal memberitahu, walau pun genre sebegini mungkin jarang dipertontonkan namun ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri dan dilihat mampu menarik minat peminat drama Melayu.

“Acara sukan dan program hiburan sebenarnya mempunyai elemen persamaan iaitu kedua-duanya bukan sekadar untuk dinikmati atau ditonton bersama tetapi ia juga bersifat sebagai ejen perpaduan dalam menyatukan masyarakat,” ulas Emarina.

Tambahnya, penceritaan drama ‘Ratu Ten Pin’ banyak menyuntik nilai-nilai murni untuk memberi inspirasi kepada kita semua terutama berkenaan semangat kesukanan, perjuangan, persahabatan, kecekalan dan sebagainya dalam bentuk hiburan santai. - KitaReporters


16
2
0
1
1

Copy Link: