‘Saka’ Chiellini lebih hebat! Bukayo Saka gagal sempurnakan penalti! Kena sumpahan 'Kiricocho’!

Published by
KitaReporters

Chiellini mendakwa dia mengenakan 'sumpahan' kepada Saka semasa pemain muda England itu mahu mengambil sepakan penalti terakhir pada final Euro 2020 pada 11 Julai 2021 lalu. - Kredit foto: Reuters.


HAMPIR seminggu selepas England ditewaskan Itali 3-2 melalui sepakan penalti (seri 1-1 masa tambahan) pada final Euro 2020 di Stadium Wembley pada 11 Julai 2021 (awal pagi Isnin, 12 Julai, 2021 waktu Malaysia) lalu, kegagalan pemain muda Bukayo Saka menyempurnakan penalti terakhir The Three Lions masih terus diperkatakan.

Selain diserang dengan isu perkauman oleh penyokong pasukan itu, kapten Itali, Giorgio Chiellini menambahkan ‘perisa’ dalam kontroversi itu apabila membuat pengakuan bahawa dia mengenakan ‘sumpahan’ ke atas Saka semasa pemain berusia 19 tahun bersedia untuk melakukan sepakan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak Euro 2020

Rakaman video menunjukkan Chiellini memekik sesuatu ketika Saka sudah bersedia untuk mengambil sepakan penalti. Ia disahkan sebagai sumpahan 'Kiricocho' yang sering diamalkan oleh pasukan bola sepak Amerika Latin.


Rakaman video dapat ‘menangkap’ aksi Chiellini yang seolah-olah memekik ‘sesuatu’ kepada Saka, yang kemudian dikenal pasti sebagai ‘Kiricocho’, sumpahan yang kerap diamalkan dalam bola sepak Amerika Selatan khususnya di Argentina.

Hal ini diakui Chiellini melalui video kepada ESPN Argentina yang kemudian dimuat naik melalui akaun media sosial Twitter rangkaian media sukan itu.

“Ciao, Cristiano,” dia memberitahu wartawan ESPN. “ Saya sahkan kepada kamu, Kiricocho!"


Chiellini mengaku menggunakan sumpahan 'Kiricocho' ke atas Saka dalam video yang dihantar kepada ESPN Argentina.


Saka menjadi pertaruhan terakhir England selepas dua rakan pasukannya, Marcus Rashford dan Jadon Sancho terlebih dahulu gagal menyempurnakan penalti, dengan kedudukan ketika itu Itali yang sudah menamatkan sepakan, mendahului 3-2.

Andai Saka berjaya menyempurnakan sepakan itu, kedudukan akan terikat 3-3 untuk mengheret saingan ke sepakan penalti secara ‘sudden death’ pusingan kedua. Tapi, ternyata dia gagal menewaskan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma dan England 'berputih mata'.

Penyokong England menganggap kegagalan Saka kerana tertekan dengan tugas berat berkenaan dan ramai yang menyalahkan pengurus England, Gareth Southgate. 

Begitu pun Chiellini percaya ‘sumpahannya’ ke atas Saka ‘menjadi’. Kira-kira 'saka' Chiellini lebih kuat daripada Saka.


Sepakan penalti Saka diselamatkan penjaga gol, Gianluigi Donnarumma yang membawa Itali

muncul juara Euro 2020.



Ada kemungkinan pemain pertahanan Juventus itu belajar ‘ilmu sumpahan’ berkenaan daripada rakan sekelabnya dari Argentina, Paulo Dybala kerana sumpahan mula diperkenalkan oleh jurulatih dari Argentina, Carlos Bilardo.

Bilardo pula mendapat ‘ilmu’ ini semasa menjadi pengurus kelab Estudiantes pada 1982 apabila beliau menyedari kehadiran seorang penyokong bernama Kiricocho ke gelanggang latihan sering membawa petaka apabila ramai pemainnya mengalami kecederaan.

Jadi, beliau mengambil keputusan menggunakan ‘kuasa’ dilimilik Kiricocho untuk melemahkan lawan dengan menghantar lelaki itu ke gelanggang latihan mereka.

Ternyata, sumpahan itu menjadi apabila Estudiantes muncul sebagai juara liga dan hanya kalah sekali sepanjang musim itu kepada Boca Juniors, pasukan yang tidak dikunjungi Kiricocho.


CARLOS BILARDO. - Kredit foto: FB FIFA World Cup


Cerita mengenai sumpahan itu cepat merebak hingga ke Sepanyol. Bilardo yang kemudian menjadi pengurus di sana, terkejut apabila mendengar penyokong-penyokong kelabnya, Sevilla, melaungkan ‘Kiricocho’ setiap kali pihak lawan mengambil sepakan penalti.

Bekas pemain pertahanan kiri Sepanyol, Joan Capdevila mendedahkan, dia turut menggunakan sumpahan itu yang menyebabkan pemain Belanda, Arjen Robben gagal menjaringkan gol walaupun berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol pada final Piala Dunia 2010.

Sama ada sumpahan Cheillini itu benar-benar 'menjadi' atau tidak, kegagalan menyempurnakan sepakan penalti itu dilihat akan  menjadi 'saka' yang bakal menghantui karier Bukayo Saka! - KitaReporters


Saka ditenangkan oleh pengurus England, Gareth Southgate selepas gagal menyempurnakan penalti.

1
3
0
2
0

Copy Link: