Liga Super 2022: Kemenangan pertama MUFC di halaman sendiri! DNA Jerman belum jadi untuk Selangor!

Published by
KitaReporters


MELAKA United Football Club (MUFC) akhirnya berjaya mencatat kemenangan pertama di halaman sendiri dan mereka menjadikan Selangor sebagai mangsa pertama dalam saingan Liga Super 2022 apabila mencatat kemenangan 2-0 di Stadium Hang Jebat malam tadi (Selasa, 5 Julai 2022).  

Lebih menyakitkan apabila bekas pemain import mereka, Ifedayo Olusegun menjaringkan kedua-dua jaringan tersebut untuk memastikan skuad kendalian Asri Ningga mengutip tiga mata penting dalam perlawanan tersebut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Liga Super


Dalam perlawanan ini, MUFC lebih cemerlang dan lebih berhak mencatat kemenangan biarpun 15 minit terakhir Selangor mempertingkatkan serangan dalam usaha mencari gol.  

Ifedayo yang tidak diturunkan sebelum ini ketika bertemu Johor membuktikan bahawa beliau masih penyerang yang berbisa apabila sering kali menjadi masalah kepada pertahanan Selangor.  

Ini adalah kekalahan ketiga Selangor dari sembilan perlawanan untuk berada di tangga ketujuh, manakala Melaka mengekori rapat dan ketika ini kedua-dua pasukan berkongsi 12 mata. 

Kekalahan Selangor ini juga menjadi tanda tanya apakah DNA Jerman yang dibawa oleh ketua jurulatih mereka masih relevan kerana ketika ini Selangor masih lagi mencari rentak dan makin jauh kedudukan untuk menjadi pasukan pencabar kejuaraan atau sekurang-kurangnya memburu slot ke peringkat Asia. 

Mampukah Michael Feichtenbeiner membawa Selangor kembali di kedudukan teratas liga atau DNA Jerman sekadar menjadi bualan sahaja. - KitaReporters


Kredit foto-foto: FB Melaka United FC

16
13
0
7
0

Copy Link: