Lazimnya apabila berlaku perceraian, sudah tentu kenangan pahit itu mahu terus dilupakan walau pun anak menjadi ‘jambatan’ sillaturrahim itu terpaksa disambung tanpa rela. Tetapi berlainan pula dengan penyanyi Daus Eli yang mengabadikan kisah perpisahannya dalam video muzik (MV) single terbaharunya, “Takdir Kita”. : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan perceraian:

https://kitareporters.com/search?search=perceraian


Apakah itu petanda penyanyi nama sebenar, Muhd Shahril Firdaus Eli ini belum mampu ‘move on’?

“Sebenarnya, saya sudah lama ‘move on’. Namun, apabila saya perdengarkan lagu ini pada pihak pengurusan, mereka berminat untuk keluarkan. Alasan utama, lagu ini lebih matang dan kena dengan peredaran muzik semasa. Ditambah pula lagu ini ada kaitan dengan kehidupan diri saya sendiri.

“Disebabkan itu, MV ini pun mengisahkan tentang kehidupan saya. Jalan cerita adalah kisah benar berdasarkan lagu. Kiranya, dalam MV ini memaparkan peristiwa awal perkahwinan sehingga bercerai,” jawab bekas peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelapan ini.



Sejak perceraian yang berlaku pada Februari tahun 2019 lalu, Daus tidak henti-henti menerima kecaman netizen apabila didakwa menceraikan isterinya, Syaza Shamimi Jalaludin Khan ketika masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketiga mereka.

Sehubungan itu jugalah Daus mengambil keputusan mengabadikan kisah dan perjalanan hidupnya itu menerusi lagu ‘Takdir Kita’ dan terbaharu melalui muzik videonya yang dilancarkan semalam 22 Oktober 2020, beliau turut memaparkan kisah sama dalam bentuk visual.

Melalui MV yang dilancarkan secara rasmi dalam saluran YouTube Nova Music itu, memperlihatkan jalan cerita arahan Azuad Abdullah itu memaparkan kira-kira 60 peratus kisah perkahwinan dan perceraian Daus, selain menjawab segala tohmahan yang timbul dalam kalangan masyarakat.

“Ya, walaupun ia kisah benar kehidupan saya, tapi tidak sepenuhnya dipaparkan. Saya masih mahu menjaga sensitiviti pihak lain. Tidak mahu timbul sebarang isu pula. Cuma, menerusi jalan cerita MV ini, ia adalah salah satu cara saya mahu mendekati masyarakat.

“Apa yang pasti, segala persoalan terjawab dalam MV ini. Saya mahu beritahu kepada masyarakat dan netizen, saya bukan suka-suka nak bercerai. Kalau nak tahu sebab apa, kena tonton MV ini,” akui Daus.



Tambahnya, walaupun idea MV tersebut hasil cetusannya, namun beliau bersama pihak pengurusan Nova Music menambah baik apa yang perlu supaya MV berkenaan kelihatan lebih menarik.

Pun begitu, seperkara yang tidak boleh dinafikan Daus adalah, dia mengakui sebak sekali gus mengimbau kenangan lama ketika penggambaran dibuat.

“Apabila melakonkannya, memang terasa sebak kerana ia mengembalikan memori lama. Tapi saya cuba tahan perasaan sebab tak boleh nak terlalu terbawa-bawa. Saya masih boleh kawal.

“Saya cuma fikir, apa yang dipaparkan dalam MV ini bukan mengenai saya semata-mata tapi, pasti ada orang lain pernah melalui pengalaman sama. Ibaratnya saya mewakili perasaan mereka dengan menceritakan kisah mereka. Walaupun tidak meraung, tapi nampak kesedihan dilalui dalam babak yang dilakonkan,” jelas Daus.

(Baca artikel berkaitan: Daus Eli mahu lupakan takdir lama! Takdir Kita takdir baharu)


Sementara itu, ditanya mengenai perkhabaran ketiga anaknya, Delysha Senzela, 6; Myesha Sehrish, 4; dan Ayesha Sheraz, 1 tahun, Daus memberitahu sudah lebih setahun tidak berjumpa mereka.

“Anak-anak memang di Sarawak. Sejak bercerai mereka memang dijaga bekas isteri. Cuma, sejak saya berada di Kuala Lumpur, memang tak berpeluang jumpa mereka lagi. 

“Apatah lagi dalam suasana yang melanda negara sekarang, ia lebih menyukarkan untuk kami berjumpa. Saya tak nak ambil risiko berjumpa mereka dalam keadaan sekarang. Insya-Allah, tunggu masa sesuai. Kalau dah okay, baru saya balik,” jawab Daus.

Pun begiu, beliau bersyukur dengan kecanggihan teknologi sekarang, beliau mampu membuat panggilan video bagi mengubati rasa rindu waima bekas isteri pun tidak menghalang asalkan beliau tidak lupakan tanggungjawabnya terhadap anak-anak. 

Bersabarlah Daus, ingatkan sahaja lagu Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 'Takdir Penentu Segala', semoga teruskan kehidupan dan percaya kata pepatah 'bunga bukan sekutum'  tak gitu? - KitaReporters



0
0
1
0
0

Copy Link: