Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil (berdiri dua dari kanan), Azman Razman dan Muhammad Syafid Mohaidin bersama-sama kakitangan RHB Bank selepas selesai aktiviti di Laman Hijau PJMM pada 20 Ogos 2022.


LAPAN puluh kakitangan RHB Bank yang diketuai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Perbankan RHB Bank, Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil menyantuni penghuni dalam kalangan warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor pada 20 Ogos 2022 lalu.

Selaras dengan tema RHB Touch Hearts 2022 'Making Progress Happen for Everyone', inisiatif Touch Hearts 2022 Group Finance, program itu dinamakan "Let us Bring Happiness To the Old Folks Home" membabitkan kakitangan dari RHB Bank Centre, Cawangan Bangi, Selangor dan Menara Icon.

Pastinya program sedemikian mengukuhkan lagi inspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi aspirasi Keluarga Malaysia yang diperkenalnya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan RHB Bank

Kakitangan RHB Bank bergotong-royong memasukan tanah ke dalam pasu untuk menanam tumbuhan hijau di Laman Hijau PJMM.


Ketua Program, Noraini Malik, berkata program berkenaan bertujuan untuk menggembirakan warga emas dan meringankan bebanan tekanan perasaan mereka melalui pelbagai aktiviti, seperti gotong-royong, mendirikan taman mini, sesi karaoke bersama-sama warga emas serta melukis.

Menurutnya, bersesuaian dengan program itu RHB Bank turut menyumbangkan 10 kipas pengudaraan, empat set meja batu, goodie beg, beberapa barangan keperluan asas untuk warga emas serta wang tunai.

“Sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan semua kakitangan RHB Bank yang berasa amat terharu apabila dapat menyantuni warga emas walaupun hanya seketika waktu sahaja yang sekurang kurangnya dapat menggembirakan hati mereka,” katanya yang turut dibantu rakan setugas Ng Suat Yin.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafid Mohiadin; dan beberapa pegawai RHB Bank yang terbabit.


Meja dan kerusi batu sumbangan RHB Bank untuk kegunaan warga emas ketika beristirahat di Taman Hijau PJMM.


RHB Bank mempunyai lebih 40 projek kemanusiaan dan alam sekitar yang secara serentak berlangsung di seluruh ASEAN membabitkan projek seperti memartabatkan masyarakat, alam sekitar, pendidikan dalam kesihatan.

Nik Rizal Kamil ketika berucap melahirkan rasa bersyukur apabila dapat bersama-sama kakitangan RHB Bank untuk menyantuni warga emas di PJMM walaupun sibuk dengan tugas rutin harian namun mereka tidak pernah lupa kepada insan yang kurang bernasib baik dan ditimpa musibah.

Menurutnya, walaupun sumbangan yang disalurkan itu tidak seberapa namun memberi motivasi kepada kakitangan RHB Bank untuk turut berasa bertanggungjawab memberi keselesaan kepada warga emas terutama yang uzur meneruskan kehidupan.

Jelasnya, kipas pengudaraan yang sempurna dapat membantu mengurangkan bil elekterik apabila menjadikan persekitaran khasnya bilik menempatkan warga emas lebih sejuk serta menenangkan mereka untuk beristirahat.

“Sumbangan meja dan kerusi batu untuk mengisi ruang kosong di Laman Hijau PJMM yang boleh digunakan warga emas ketika berehat pada waktu petang sambil menyedut udara segar di samping memupuk hubungan erat antara mereka.

“Sesi gotong-royong menanam beberapa pokok tumbuhan dan membersihkan Laman Hijau ini oleh kakitangan RHB Bank mencantikkan lagi taman mini sedia ada selain mendedahkan kepada warga emas dengan aktiviti berkebun yang akan menyumbang kepada mewujudkan persekitaran hijau dan segar,” katanya.


Kakitangan RHB Bank bergotong-royong membersih persekitaran Laman Hijau PJMM.


Nik Rizal Kamil menyertai sesi karaoke bagi menghiburkan hati warga emas.


Sementara itu, Azman ketika berucap melahirkan rasa gembira dengan kehadiran kakitangan RHB Bank kerana PJMM sentiasa mengalu-alukan kedatangan pihak luar untuk bersama-sama membantu menceriakan warga emas di pusat berkenaan.

Menurutnya, walaupun PJMM terpaksa menanggung kos pembiayaan operasi agak tinggi setiap bulan kerana pusat itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni tetapi pihak pengurusan sentiasa berusaha mencari sumbangan dana dari luar.

“Paling penting saya secara peribadi berasa terharu apabila ada pihak sudi datang menyantuni warga emas ini dengan pelbagai aktiviti kerana sudah pasti menceria serta menggembirakan hati mereka yang disisihkan keluarga serta berada dalam keuzuran,” katanya. - KitaReporters


Azman menyampaikan sijil penghargaan kepada Nik Rizal Kamil.


Nik Rizal Kamil (tengah) bersama-sama kakitangan RHB Bank yang menyertai program di PJMM.

36
15
0
14
0

Copy Link: