STUART Wilkin (kanan) cuba merebut bola dengan terjahan sambil disaingi pemain India, Lallianzuala Chhangte dan diawasi Daniel Sang Ting dari belakang. - Kredit foto: FAM 


MENAJAMKAN penyudahan dan memastikan gol untuk mencapai kemenangan.

Jika tanpanya, janganlah walau hendak bermimpi pun Harimau Malaya mampu menjuarai Kejohanan ASEAN 2024 dan lolos Kelayakan Piala Asia 2027.

Ketumpulan barisan depan negara kendalian warga Sepanyol, Pau Marti Vicente ini terserlah ketika diikat India 1-1 dalam perlawanan antarabangsa tahap 1 di Stadium Gachibowli, Hyderabad pada 18 November 2024.  

Hanya gol pemain naturalisasi kelahiran Brazil, Paulo Josue pada minit ke-19 yang seperti tuah menggolek dek kecuaian penjaga gawang tuan rumah, Gurpreet Singh Sandhu turut membantu pasukan kita mendahului.


SERGIO Aguero (10) diasak oleh Naorem Roshan Singh ketika cuba membolosi kubu Sang Harimau Biru. - Kredit foto: FAM


Perantara Harimau Malaya yang dialihkan sebagai penyerang ini pantas menghambat bola yang melantun dan melangkaui kepala Gurpreet yang terbabas menerusi hantaran lambung Azam Azmi Murad untuk mudah menolak masuk ke gawang ternganga.  

Malangnya pendahuluan itu bertahan sementara dan dileburkan hanya 19 minit kemudian melalui tandukan Rahul Bheke yang meluru menyambut sepakan sudut dari sebelah kanan oleh Brandon Fernandes untuk gol penyamaan Sang Harimau Biru.

Malaysia sepatutnya memenangi perlawanan di hadapan 15,367 hadirin ini jika tandukan penyerang gantian berdarah kacukan Scotland-Malaysia, Fergus Tierney tidak mencium tiang gol hasil hantaran jauh Safwan Mazlan, seminit dalam masa kecederaan babak kedua.

Begitu juga percubaan seorang lagi pemain naturalisasi kelahiran Argentina, Sergio Aguero pada minit ke-17 yang tertampan pemain India selain rembatan awangan ala libasan pari sepak takraw sayap kanan, Safawi Rasid, minit ke-63 yang tersasar.


PAULO Josue (17) yang menjaringkan gol minit ke-19 diraikan oleh rakan sepasukan Harimau Malaya seperti Stuart Wilkin (kiri), Sergio Aguero, Akhyar Rashid dan Dion Cools. - Kredit foto: FAM


“Sudah tentu kami mahu menang setiap perlawanan (tetapi) satu keputusan baik di mana kami boleh menyaingi pada tahap sebegini (Malaysia di ranking ke-133 dunia dan India, ke-125).

“Keputusannya wajar dan saya gembira dengan perlawanan ini. Cuma kecewanya kerana kami terlepas beberapa peluang dan patut jaringkan gol kedua.

“Dengan lebih banyak tuah dan ketepatan, kami boleh menang (sepatutnya),” kata Pau yang menjadikan perlawanan ini persediaan menjelang Kejohanan ASEAN pada 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 dan Kelayakan Piala Asia mulai Mac 2025.

Skuad negara kata Pau, bergelut untuk menemui corak permainan dalam babak pertama namun agak meningkat pada 45 minit berikutnya. 

Malaysia telah diundi dengan laluan lebih mudah dalam Kumpulan A berbanding B, Kejohanan ASEAN (dulunya Piala AFF) dengan juara bertahan, Thailand (ke-96), Singapura (ke-162), Kemboja (ke-181) dan Timor-Leste (ke-196).

Sejak menggantikan Kim Pan-gon pada 16 Julai 2024, dia kini mengutip tiga kemenangan, seri satu dan kalah sekali buat Harimau Malaya yang membabitkan menentang Filipina (2-1), Lebanon (1-0), New Zealand (0-4) dan Laos (3-1). - KitaReporters


PAU Marti Vicente merombak barisan utama Malaysia yang berdepan India berbanding menentang Laos di Bangkok, 14 November 2024. - Kredit foto: FAM


MALAYSIA: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Dion Cools, Dominic Tan, Azam Azmi Murad (Harith Haiqal Adam Afkar), Daniel Sang Ting, Nooa Hamzah Laine, Stuart Wilkin, Haqimi Azim Rosli (Safawi Rasid), Akhyar Rashid (Fazrul Amir Zaman), Sergio Aguero (Safwan Mazlan), Paulo Josue (Fergus Tierney).

 

10
15
0
8
0

Copy Link: