.


Lagu-lagu lama bertema hari raya masih menjadi pilihan ramai walaupun muncul banyak lagu bertema hari raya ciptaan terkini.

Tahukah anda, Seniman Agung Tan Sri P Ramlee, mencipta empat lagu bertema hari raya yang sering muncul di corong radio apabila hari raya menjelang. Lagu-lagu itu ialah ‘Dendang Perantau’, ‘Suara Takbir’, ‘Selamat Hari Raya’ dan ‘Manusia Miskin Kaya’. Kesemuanya dicipta pada tahun-tahun 1950-an.


NONA ASIAH

Lagu bertema hari raya pertama ciptaan P Ramlee ialah ‘Manusia Miskin Kaya’ pada awal 1950-an dinyanyi oleh Asiah Aman lebih dikenali sebagai Nona Asiah dan lirik oleh Jamil Sulong. 

Lagu ini pernah dinyanyi semula oleh Eddynor Ali ketika menjadi penyanyi kanak-kanak, juga Saloma. Lagu ‘Manusia Miskin Kaya’ juga menjadi lagu tema (OST) filem ‘Salah Siapa’ pada 1953 dan dinyanyi oleh Lina.



Lagu ‘Suara Takbir’  pula bukan sahaja ciptaan P. Ramlee malah dia turut menghasilkan liriknya. Melodinya yang mendayu membuat mudah terkesan kepada pendengar. ‘Suara Takbir’ pernah dirakam semula Datuk DJ Dave,  Datuk Seri Siti Nurhaliza, A Razak Ismail dan kugiran Wak Jeng. 

Sementara itu, lagu ‘Dendang Perantau’ dengan lirik oleh S Sudarmaji dibuat dalam dua versi. Versi pertama dinyanyikan oleh P.Ramlee dengan iringan orkestra dan dirakamkan ke piring hitam 78rpm pada hujung 1950-an. 

Sementara bagi versi kedua pada tahun 1966, P.Ramlee memberi nafas baharu dengan menyuntik sedikit elemen Pop Yeh Yeh dan bentuk EP 45rpm. Lagu versi kedua ini menjadi popular dan menenggelamkan versi pertama.

TAN SRI P RAMLEE

Sementara lagu ‘Selamat Hari Raya’ mempunyai kisah tersendiri. Lagu ini dicipta oleh P Ramlee bagi konsert amal untuk  membantu pekerja Studio Jalan Ampas (MFP) milik Shaw Brothers yang melancarkan mogok.

Pada Mac 1957, lebih 120 kakitangan  terdiri daripada pelakon lelaki dan wanita serta pekerja Studio Malay Filem Productions (MFP) melancarkan mogok yang diketuai Persatuan Artis Malaya (PERSAMA). 

P Ramlee ketika itu menjadi Presiden PERSAMA. Konsert amal ini dibuat bagi membolehkan para petugas termasuk pelakon menerima sedikit duit hari raya untuk keluarga.

Konsert amal sempena Hari Raya Aidilfitri  ini diadakan di pusat hiburan yang popular ketika itu iaitu Happy World di Geylang Road, Singapura.

Ketika melodi sudah siap dan skor diberi kepada orkes, namun belum ada lirik. Jamil Sulong selain menjadi pengarah juga penulis berbakat. Dia hanya mengambil masa 10 minit untuk siapkan lirik itu dan dinyanyi oleh P Ramlee, Saloma serta beberapa kakitangan MFP secara ‘live’ pada hari raya pertama pada 1 Mei 1957.


/

Keratan akhbar yang memaparkan mogok yang dilakukan oleh pelakon dan pekerja filem Studio MFP

Antara sebab mogok itu ialah ekoran pemecatan 5 karyawan MFP iaitu HM Rohaizad, Omar Rojik, S.Kadarisman, Syed Hassan dan Musalmah. Sebab yang lain adalah berkaitan  kontrak pekerjaan dan gaji yang disifat tidak adil.

Presiden PERSAMA ketika itu ialah P.Ramlee dan didukung oleh Jamil Sulong, Salleh Ghani (wakil dari Cathay Keris Films), Musalmah dan HM Rohaizad sebagai ahli jawatankuasa.

Mogok berlangsung sehingga hari raya pada 1 Mei 1957. Justeru, ia mendorong P Ramlee mencipta melodi lagu ‘Selamat Hari Raya’ dengan bantuan Jamil Sulong mencipta liriknya. 

Bagaimanapun lagu ‘Selamat Hari Raya’ tidak dirakam ke piring hitam selepas konsert itu.



Datuk Ahmad Jais yang sedang popular pada tahun 1960-an tertarik dengan melodi dan lirik lagu ‘Selamat Hari Raya’ dan meminta izin untuk merakamnya dalam piring hitam. 

Lagu ‘Selamat Hari Raya’ dirakam oleh Ahmad Jais pada 1969. Muziknya digubah semula oleh Kassim Masdor iaitu rakan baik P Ramlee yang juga antara anggota Kumpulan Panca Sitara. 

Dan lagu ‘Selamat Hari Raya’ popular setelah dinyanyi Ahmad Jais. Apa yang pasti tiga lagu iaitu ‘Dendang Perantau’, ‘Suara Takbir’ dan ‘Selamat Hari Raya’ terus popular. Cuma lagu  ‘Manusia Miskin Kaya’ kurang diputar di stesen-stesen radio. - KitaReporters


13
7
0
21
0

Copy Link: