Lagu-lagu klasik tahun 1960-an atau yang digelar era  ‘pop yeh yeh’ antara genre yang masih segar diterima oleh arus perdana muzik terkini apatah lagi penyanyi-penyanyinya masih aktif antaranya Datuk Jefrydin.

Dan tentunya yang paling dikenali aktif mempertaruh lagu berasaskan muzik pop klasik itu adalah kumpulan yang menamakan diri mereka sejajar dengan zaman 60-an iaitu Kugiran Masdo.

Untuk rekod, kumpulan ini pada awalnya dinamakan The Lipstik namun dirombak semula dengan menggunakan nama Kugiran Masdo yang mana nama Masdo itu diilhamkan dari nama watak Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dalam filem Do Re Mi yang mana memegang watak sebagai Do atau Masdo.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan kugiran


Dan sejak kemunculan mereka dalam arus muzik perdana pada tahun 2016 menerusi lagu hits mereka berjudul ‘Bunga’, percaturan Kugiran Masdo tidak pernah gagal dalam mempertaruh lagu berasaskan muzik pop klasik era 1960-an yang digubah mengikut cita rasa masa kini. 

Taruhan mereka ternyata menjadi apabila lagu-lagu hits mereka seperti ‘Dinda’, ‘Janji Manis’ dan ‘Teruna Dan Dara’ berjaya menjadi fenomena dan tular dalam media sosial sehingga ke negara jiran, Indonesia.



Kejayaan mencipta fenomena sebegini telah memungkinkan Kugiran Masdo untuk melebarkan sayapnya dan terbang lebih jauh dalam menakluki persada muzik di rantau Nusantara ini sehingga pernah diundang ke Indonesia untuk menjayakan persembahan di tiga lokasi iaitu Jakarta, Bekasi dan Bandung. 

Malah kumpulan muzik yang dianggotai  4 anak muda ini telah menutup kalendar seni mereka pada tahun 2022 dengan cemerlang apabila bergabung dengan band ternama dari Bandung, Indonesia, ‘The Changcuters’ dalam menjayakan konsert Kugiran Masdo x The Changcuters di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Disember 2022 yang lalu.



Terbaharu, bagi  meneruskan lagi momentum kejayaan mereka, Kugiran Masdo kembali dengan melancarkan lagu terbaharu  berjudul, ’Inilah Jalannya' sebagai pembuka lembaran seni mereka di tahun 2023.

Merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer tersohor Noh Salleh, lagu berkenaan yang sarat dengan estetika muzik retro menceritakan tentang detik-detik manis percintaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi diluahkan hanya dengan berbalas pandangan dan senyuman dengan seseorang yang diminati. 



"Kami berasa sangat bertuah kerana berjaya mendapatkan lagu ciptaan Noh Salleh ini. Beliau memang pakar dalam mencipta melodi dan seni kata yang menangkap telinga. 

"Sejak kami perdengar lagu ini kepada peminat dalam konsert di Zepp KL tempoh hari, peminat telah memberikan sambutan yang hangat dan tidak sabar menantikan lagu ini dilancarkan secara rasmi, ” ulas Ali Sariah selaku vokalis Kugiran Masdo,

Ali turut menyifatkan kerjasama yang terjalin antara kumpulan ini dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia mampu menaikkan lagi portfolio muzik mereka. 

"Ini merupakan single pertama dari tiga buah lagu yang bakal diterbitkan dalam kerjasama ini. Kami percaya kerjasama dengan Warner Music Malaysia dan Warner Music Indonesia ini mampu membawa kami ke aras yang lebih tinggi dan membuka peluang lebih besar untuk kami pada masa akan datang,” harapan Ali. - KitaReporters


15
13
0
8
0

Copy Link: