.

Mohamad Aniq Kasdan gagal menjulang beban seberat 174kg pada percubaan ketiga clean & jerk, sekali gus meranapkan impiannya membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.- Kredit foto: Facebook MSN.


Mohamad Aniq ditenangkan oleh jurulatih dan pegawai angkat berat pasukan Malaysia selepas gagal meraih pingat angkat berat Olimpik Paris 2024.- Kredit Foto: Facebook MSN.


Misi Badang Negara, Mohamad Aniq Kasdan membawa pingat untuk negara dalam acara angkat berat di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian selepas dipisahkan oleh hanya satu kilogram (kg) dengan atlet Amerika Syarikat, Hamton Morris yang melakukan jumlah angkatan 298kg berbanding Aniq 297kg.

Satu ketika pingat gangsa acara angkat berat 61kg Paris 2024 sudah seakan hampir pasti menjadi milik negara selepas atlet Indonesia, Eko Yuli Erawan yang mencatat angkatan 135kg dalam acara snatch gagal mencatat sebarang angkatan bagi acara clean & jerk akibat kecederaan.

Impian Aniq, 22, atlet kelahiran Segamat, Johor untuk mencipta sejarah sebagai atlet pertama negara berjaya membawa pulang pingat Sukan Olimpik tidak kesampaian apabila dipintas di 'garisan akhir' oleh Hamton Morris yang melakukan angkatan 172kg bagi clean & Jerk dan 126kg bagi kategori snatch bagi mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 298kg, meninggalkan Aniq yang mengumpul 297kg hasil 130kg kategori snatch dan 167kg bagi clean & jerk di kedudukan keempat.

Sudah mencuba sedaya upaya, namun nasib tidak menyebelahi Mohamad Aniq untuk menghadiahkan sebutir pingat kepada kontinjen negara. - Kredit Foto: Facebook MSN.


Kehampaan jelas terbayang di wajah Mohamad Aniq seleppas gagal menghadiahkan sebutir pingat gangsa kepada Malaysia dengan hanya perbezaan satu kilogram sahaja. - Kredit Foto: Facebook MSN.


Pingat emas diungguli atlet China, Li Fabin dengan jumlah angkatan 310kg (143 snatch dan 167 clean & jerk), manakala  atlet Thailand, Theerapong Silachai yang berjaya menjulang angkatan seberat 132kg bagi snatch dan 171kg clean & jerk menjadikan jumlah keseluruhan angkatan sebarat 303kg untuk dikalungkan pingat perak.

Aniq yang membawa reputasi pemenang pingat emas Sukan Komenwel melakukan angkatan bersih dalam katogeri dengan angkatan pertama 126kg sebelum berjaya menjulang bebanan 130kg bagi angkatan ketiga sekali gus menghuni tempat keempat dibelakang Li Fabin (143kg), Theerapong Silachai (132kg), dan Eko Yuli Erawan (135kg) selepas berakhir kategori snatch.

Memulakan angkatan seberat 167kg bagi angkatan pertama kategori clean & jerk meletakkan Aniq dalam kedudukan pingat gangsa buat seketika apabila Eko Yuli Erawan sebelum itu gagal mencatatkan sebarang angkatan bagi kategori clean & jerk dalam tiga percubaan akibat kecederaan.

Mohamad Aniq Kasdan ketika memenangi pingat emas angkat berat Sukan Komanwel Birmingham 2022 lalu.


Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan (kiri) bersama Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia, Datuk Ayub Rahmat selepas majlis penyerahan bendera Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit  foto: Facebook PABM.


Namun kedudukan tersebut yang kelihatan selesa tidak kekal lama apabila dicabar oleh Hamton Morris yang berjaya menjulang beban seberat 172kg bagi clean & jerk wlaupun hanya mampu mengangkat beban seberat 126kg iaitu empat kilogram di belakang Aniq dalam kategori snatch, sekali gus menolak Aniq ke tempat keempat.

Menyedari situasi tersebut, Aniq meningkatkan jumlah berat kepada 174kg biar pun sebelum itu mendaftar angkatan 172kg bagi angkatan kedua bagi memintas kelebihan satu kilogram yang dicatatkan atlet angkat berat Amerika Syarikat itu pada angkatan kedua clean & jerk, namun dia gagal melakukannya.

Mohamad Aniq Kasdan ketika menerima pemberian Sultan Johor,Sultan Ibrahim Iskandar selepas memenangi pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022. - Kredit foto: Facebook Sultan Ibrahim.


Ketika itu peluang untuk Aniq mencipta sejarah membutirkan pingat gangsa sukan Olimpik buat negara masih belum berakhir kerana dia mempunyai satu lagi cubaan, namun semangat serta kesungguhan yang ditunjukkannya ketika cuba menjulang beban seberat 174kg dalam percubaan ketiga tidak mencukupi untuk mengatasi keupayaan serta tekanan yang dihadapi ketika itu.

Walaupun satu ketika dia seakan mampu menjulang beban tersebut bagi membolehkannya mengecewakan Hamton Morris, namun kita semua terpaksa menerima hakikat rezeki tidak berpihak kepada jaguh angkat berat negara kita pada kali ini.

Peluang untuk Aniq menyinar dalam temasya akan datang tetap ada memandangkan usianya yang masih muda dan akan menjangkau usia 26 tahun pada Olimpik Los Angeles 2028 empat tahun lagi. - KitaReporters


Mohammad Aniq Kasdan (tengah) bersama Sultan Ibrahim ketika lawatan baginda ke Labis, Johor. Turut kelihatan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (kiri). - Kredit foto: Facebook Sultan Ibrahim.

11
8
0
17
0

Copy Link: