The Masked Singer Malaysia tampilkan kelainan! Julung kali bersiaran langsung! Perkenal pasangan duo!
Published byProgram pertandingan nyanyian penuh misteri, “The Masked Singer Malaysia’ mencipta kelainan selepas tiga musim berlalu di mana buat julung kalinya pada musim terbaharu kali ini ia bakal bersiaran secara langsung (live) di Astro Warna (Saluran 107 HD).
Tampil lebih gah dam bergaya, ‘The Masked Singer Malaysia’ musim ke-4 (TMSM4) akan bersiaran secara langsung bermula pada 17 Disember 2023 ini, setiap Ahad pukul 9 malam, dengan durasi selama dua jam sehingga tiga jam bagi setiap episod,
Sehubungan itu, musim terbaharu ini merupakan satu cabaran besar buat barisan peserta musim ini sekali gus menjadi cabaran baharu buat pihak produksi.
Untuk rekod, Malaysia merupakan negara ke-2 yang berani menyahut cabaran untuk bersiaran secara langsung.
“Walau bagaimanapun, pihak produksi telahpun meneliti setiap aspek keselamatan peserta sebagai langkah berjaga-jaga,” ujar Pengurus Saluran Astro Warna, Idlan Zahari pada majlis sidang media ‘The Masked Singer Malaysia’ musim ke-4 pada Rabu, 6 Disember 2023 bertempat di Vivatel Kuala Lumpur.
The Masked Singer Malaysia’ musim terbaharu ini akan menampilkan seramai 15 orang selebriti dan personaliti tempatan memperaga 14 kostum unik yang merangkumi Musang, Sang Kancil, Putera Katak, Mat Helang, Abang Jagung, Roti John, Bawang Putih, Kak Cat, Ikan Emas, Teratai, Bunga Matahari, Pom Pom Kin, Biskut Aiskrim dan buat julung kalinya juga memperkenal pasangan duo Cili Padi.
Idlan Zahari (kiri) mengumumkan buat julung kalinya juga ditampilkan pasangan duo - Cili Padi.
“Menerusi kejayaan pada musim-musim lalu, Astro terus ke hadapan dengan menaik taraf kostum-kostum untuk diperlihat kepada peminat dengan menyelitkan elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia termasuk flora, fauna dan kepelbagaian makanan tempatan, hasil rekaan Akma Suriati Awang (gambar bawah, 4 dari kanan) serta mendapat sentuhan istimewa daripada pereka terkenal tempatan, Syomirizwa Gupta (tiga dari kanan),” jelas Idlan.
Selain barisan juri dan pereka kostum, turut hadir ialah Wong Jun Jie, Pengurus Pemasaran ArtiqAir sebagai penaja utama (5 dari kiri).
Menurutnya, kehadiran 15 orang barisan selebriti terkemuka berkenaan meliputi nama-nama hebat dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet sukan, pempengaruh media sosial dan ramai lagi.
Dengan mengekalkan format asal program realiti terkemuka ‘The King of Mask Singer’ daripada Korea Selatan, bakat-bakat ini akan bertanding dan memaparkan kehebatan nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri selebriti.
“Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan pada masa yang sama membuatkan panel juri meneka dan berdebat siapa dalang di sebalik topeng untuk dinobatkan sebagai juara,” tambah Idlan.
Siapa pula panel juri kali ini? Adakah wajah sama seperti musim terdahulu atau ada muka baharu?
Nampak gayanya sebahagian besar daripada seramai sembilan orang personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan yang terpilih mengekalkan kerusi juri tetap terdiri daripada wajah sama seperti Datuk Aznil Nawawi, Elly Mazlein, Nabila Huda, Zizan Razak, Michael Ang, Angah (Sinar) manakala mereka yang pernah sekali sekali diundang dalam panel juri dikembalikan adalah Erra Fazira, Rozita Che Wan dan Sherry Alhadad,
Antara barisan juri tetap yang hadir. (Dari kiri) Michael Ang, Pak Nil, Nabila Huda, Sherry Alhadad, Zizan Razak dan Angah (Sinar).
Selain itu, pengacara tersohor yang membangkitkan kemeriahan program sehingga mencetuskan fenomena untuk tiga musim terdahulu, Datuk AC Mizal masih menggalas tugas sebagai hos sekali lagi.
Penjurian pada musim keempat turut mengambil kira undian daripada Juri Tetap sebanyak 80% dan undian daripada penonton sebanyak 20% untuk setiap minggu.
“Pihak Astro berharap agar musim keempat ini dapat mengekalkan tradisi seperti sebelumnya apabila rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ berjaya mengungguli hati rakyat Malaysia dengan nilai produksi yang hebat serta suara-suara mantap di sebalik topeng. Siapakah dalang di sebalik kelima belas topeng yang ada? Kita tunggu dan lihat,” tambah Idlan.
Bakal berlangsung selama 10 minggu dan dijalankan di CIBD Convention Center Kuala Lumpur, para pelanggan Astro boleh menyaksikan musim baharu ‘The Masked Singer Malaysia’ pada setiap Ahad, mulai 17 Disember 2023, jam 9.00 malam di Astro Warna (Saluran 107 HD) dan juga boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO.
IDLAN (tengah) bersama barisan juri tetap 'The Masked Singer Malaysia' musim ke-4.
“Sebagai saluran komedi utama pilihan rakyat Malaysia, Astro Warna sentiasa peka dengan kehendak penonton dan berusaha menyajikan kandungan terkini, sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
“Kami menyambut baik sokongan para peminat dan penontan yang mahukan perkembangan landskap industri hiburan dengan membawa kembali rancangan ‘The Masked Singer Malaysia’ di musim keempat yang akan bersiaran secara langsung dengan menggabungkan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak,” akhiri Idlan. - KitaReporters