Impak Maksima| Mawi yang kukenali! Hargai wartawan! Ada galeri kumpul berita! Cukur rambut Wan Ajaib!
Published byMawi mencukur rambut Wan Ajaib sambil disaksikan oleh Anas Tahir dan Dollah Cantik (kanan) di Labbaik Ruzz, Tent & Cafe di Taman Gombak Ria baru-baru ini. - Foto: FAS.
Siapa tidak kenal dengan pemilik yang mendapat jolokan ‘Mawi Tsumawi’ gara-gara berjaya menjuarai rancangan realiti TV ‘Akademi Fantasia’ musim ketiga pada tahun 2005 pada ketika dunia dikejutkan dengan gelombang tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa di Banda Aceh, Indonesia, enam bulan sebelumnya.
Selepas itu, bintang bernama sebenar, Asmawi Ani ini terus cemerlang apabila dinobatkan dengan tiga gelaran sekali gus sebagai Bintang Paling Popular, Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular 2005.
Dua kali gelaran Bintang Paling Popular dan Penyanyi Lelaki Popular kekal padanya apabila sekali lagi dinobatkan pada Anugerah Bintang Popular 2006 disamping memikul gelaran Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama Jamal Abdillah.
Kejayaan Mawi yang juga digelar ‘Raja SMS’ pada ketika itu mencetuskan fenomena luar biasa waima berjaya menewaskan nama penyanyi besar seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza sehingga terkenal dengan frasa ‘Mawi World’ oleh peminat-peminatnya.
Begitu peraturan dan rezeki yang diaturkan Allah SWT kepada anak kelima daripada enam adik beradik peneroka Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini.
Dan ternyata ‘ketiadaan jodoh’ juga penyebab Mawi memutuskan tali pertunangannya bersama gadis pilihan awalnya, Ina Naim.
Jodoh sebenarnya bersama Nora’Asikin Rahmat atau ‘Ekin’, iaitu pasangan kembar seiras dengan Nora’Ain Rahmat atau dikenali dengan nama Aenn di mana kini mereka dikurniakan seorang puteri, Cahaya Malaika, 11 tahun,
Kak Fas antara media yang berpeluang dijemput menyaksikan majlis resepsi perkahwinannya di Dewan Felda Taib Andak, Kulai pada 28 Disember 2008 dan kemudiannya di Hotel Palace of the Golden Horses pada 11 Januari 2009 dengan tema Arabia.
Sudah lebih 18 tahun sebenarnya, Kak Fas mengenali Mawi, seorang yang sentiasa rendah diri dan sering bertegur sapa apabila terserempak di majlis.
Beliau tidak pernah lupa atau tidak mengenali Kak Fas walau pun sudah lama tidak bertemu waima apabila Kak Fas memakai pelitup separuh muka pun ketika era COVID-19 satu ketika sekali pun, kata Mawi, ‘saya kenal akak, melalui mata pun saya cham siapa’.
Dan terbaharu, selepas hari raya, Kak Fas terima mesej WhatsApp daripada Mawi mengucapkan salam dan Selamat Hari Raya sambil mengundang Kak Fas ke Majlis Kesyukuran Mawi World dan Wan Ajaib atau nama sebenarnya Wan Syahrul Amry, Pengurus Kandungan Radio Zayan, bertempat di Labbaik Ruzz, Tent & Cafe di Taman Gombak Ria, Batu Caves, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wan Ajaib bersama Mawi memberitahu tujuan majlis kesyukuran diadakan kepada media yang hadir.
Boleh dikatakan Mawi satu-satunya artis yang tidak keberatan berhubung dengan Kak Fas secara peribadi melayarkan jemputan melalui WhatsApp.
Atas dasar rasa terima kasih pada penghormatan jemputan peribadi itu tentulah Kak Fas menyatakan kesudian untuk hadir walaupun tidak diberikan info lanjut berhubung apa sebenarnya tujuan majlis kesyukuran yang dianjurkan.
Pada hari yang sama ada juga beberapa majis raya dianjurkan namun Kak Fas tetap selitkan majlis Mawi dalam dairi agar tidak terlepas pandang.
Ketika mencari gerai Arab Labbaik Ruzz, Tent & Cafe yang agak terperosok di dalam dan sukar dilihat walau pun terletak di tepian jalan utama menghala Taman Gombak Ria, Kak Fas bersama teman blogger, Misz Ella berpusing-pusing juga mencarinya apabila Waze melaporkan destinasi yang dituju sudah sampai, namun tidak kelihatan lokasi dimaksudkan.
Setelah beberapa kali berulang alik di kawasan sama baharulah Kak Fas ternampak papan tanda gerai Labbaik Ruzz, Tent & Cafe.
Ia tidaklah semewah sebuah lokasi yang sering menjadi pilihan artis-artis terkenal tetapi sekadar sebuah gerai semuat undangan kecil sahaja.
Tidak hairanlah jemputan media pun tidak ramai, boleh dibilang dengan jari, lebih kurang 12 orang sahaja rasanya yang terpilih.
Dan sebenarnya, terdetik lagi dalam hati apa tujuan majlis kesyukuran ini?
Selepas dimaklumkan terlebih dahulu oleh Wan Ajaib dalam ucapan alu-aluannya baharulah sedar tujuan dan impaknya penganjuran majlis.
Sebagai Pengurus Kandungan radio Zayan, Wan Ajaib menyimpan nazar mahu mencukur rambut kerintingnya oleh penyampai radionya, Mawi selepas radio Zayan berjaya memperoleh 20 peratus kenaikan pendengarnya sejak ditubuhkan pada 2017 sebagai satu-satunya radio berkonsepkan ‘Gaya Hidup Muslim Kontemporari’.
“Mawi memang terkenal dengan kepala botaknya satu ketika dahulu malah sejak bersama Anas Tahir dan Lin Ariffin mengendalikan program radio Zayan bermula 2017 dengan pengisian kandungan Islamik, radio Zayan terus mendapat sambutan dan memperlihat penerimaan pendengar meningkat 20 peratus,” ujar Wan Ajaib pada majlis tersebut yang turut dihadiri isteri Mawi, Ekin serta pengacara majlis, Dollah Cantik, Anas Tahir dan penyampai radio terbaharu Zayan, Faizal Ismail.
Dan kejayaan itulah yang menjadikan nazar Wan Ajaib untuk bercukur (tahalul) perlu dipenuhi.
Sementara itu, pada majlis sama, Mawi turut mengucapkan kesyukuran dan penghargaan terima kasihnya kepada media yang tidak putus putus memberikan sokongan kepadanya sejak bergelar artis dan kini penerbit dan pengarah filem.
“Di rumah saya ada satu galeri di mana saya menyimpan semua artikel yang ditulis oleh anda sekelian. Saya menghargai sokongan semua, ” ujar Mawi yang pada majlis sama turut menghadiahkan sebuah gitar yang ditandatangannya kepada Wan Ajaib sempena meraikan ulang tahun kelahiran bosnya itu.
Editor Getaran.my, Ellyna Ali (kiri) dan Kak Fas dijemput bersama memotong kek hari jadi Wan Ajaib.
Malah Kak Fas dan teman media, Ellyna Ali yang berbintang Taurus di mana tarikh hari jadi jatuh pada bulan Mei dipelawa bersama memotong kek hari jadi Mawi kepada Wan Ajaib.
Tanpa disangka majlis seterusnya dikejutkan dengan acara menjemput media yang hadir untuk menerima penghargaan berbentuk ‘duit raya’ diserahkan bersama oleh Mawi, Ekin dan Wan Ajaib sempena meraikan sekali gus sambutan Aidilfitri yang masih hangat walaupun sudah 18 hari berlalu pada 10 Mei 2023 sejak Aidilfitri jatuh pada 22 April 2023.
Memang satu kejutan yang tidak diduga, ingatan penghargaan itu sesuatu yang tidak pernah Kak Fas bayangkan waima menulis berita adalah tugasan hakiki sebagai wartawan.
Terima kasih Mawi, terima kasih Zayan atas ingatan kalian!
Bergambar kenangan bersama wartawan-wartawan yang hadir.
Semoga terus bertambah rezeki dan profesion sebagai deejay radio yang menjadi impian Mawi sejak menyertai industri, bahkan perniagaannya di bawah Mawi World Entertainment bertambah berkembang maju.
Manakala radio Zayan juga dapat menambah pendengarnya sebagai satu-satunya radio berkonsep hiburan berbentuk dakwah secara santai tetapi dipenuhi mesej keagamaan yang memberikan impak positif kepada pendengar Islam mahu pun bukan Islam yang mahu mengenali agama suci ini secara lebih dekat.
Mana tahu terbuka pula hati lebih ramai bangsa lain untuk memeluk agama Islam! Alhamdullilah! - KitaReporters