.


“Engkau bagai air yang jernih

Di dalam bekas yang berdebu

Zahirnya kotoran itu terlihat

Kesucian terlindung jua”

(Lagu ‘Suci Dalam Debu’ nyanyian Saleem iringan Iklim).


Setelah hampir empat dekad dalam seni, kumpulan Iklim yang ppular dengan lagu 'Suci Dalam Debu' menemui jalan penghujung, dibubarkan pada 25 Februari 2025. Paling kanan ialah Saleem, penyanyi Iklim.


Setelah hampir empat dekad dalam seni, kumpulan rock Iklim yang popular dengan lagu 'Suci Dalam Debu' menemui jalan penghujung. Setelah hampir empat dekad mengabdikan diri dalam seni sejak ditubuh pada 1989, perjalanan kumpulan rock Iklim menemui jalan penghujung. Iklim dibubarkan berkuat kuasa pada 25 Februari 2025.

Pembubaran ini diumumkan oleh pengasas dan ketua kumpulan, Mohalim Salleh. Ia disahkan oleh salah seorang anggota Iklim yang juga pemain gitar, Umarul Embong, 66 tahun. 

Punca utama kerana tiada lagi persefahaman dalam kalangan anggota.


Umarul bekas pemain gitar Iklim yang mencipta banyak lagu untuk kumpulan tersebut.


Benarlah sesuatu yang indah akan berakhir jua. Pembubaran Iklim membawa bersamanya kenangan manis ketika di puncak jaya sebagai antara kumpulan rock paling diminati.

Lagu ‘Suci Dalam Debu’ yang merupakan ‘killer song’  nyanyian penyanyi tetap, Saleem, melonjakkan nama Iklim sebaris dengan kumpulan rock lain. 

Kumpulan anak muda dari Terengganu ini mencipta nama di persada seni tanah air dalam waktu singkat.

Antara lagu popular Iklim yang lain ialah ‘Aduhai Seribu Kali Sayang’, ‘Bukan Ku Tak Sudi’, ‘Hakikat Sebuah Cinta’, ‘Gerhana Cinta Luka,’ ‘Semalat Tinggal Penderitaan’, ‘Di Pintu Mahligai’, ‘Satu Kesan Abadi’, ‘Bukan Aku Tak Cinta’ dan lain-lain. 

Lagu ‘Suci Dalam Debu’ kemudian dijadikan filem dengan judul sama pada 1992. Filem arahan Zulkifli M. Osman ini menampilkan Iklim ke layar perak. Watak utama lain ialah Julia Rais, Sidi Oraza dan Khairil Anwar.


Saleem menyanyi dalam satu adegan filem 'Suci Dalam Debu' keluaran 1992 yang menampilkan kumpulan tersebut ke layar perak.


Untuk sekian lama sejak penubuhannya, Iklim memikat hati peminat dengan pelbagai lagu merdu dan enak didengar, berkesan di hati. Saleem dianggap penyanyi unik. Suaranya lunak, garau gemersik. Lantunan lagu melentur hati pendengar.

Namun memetik Umarul, mulai 25 Februari 2025 tiada lagi Iklim. Beliau menyifatkan Iklim sudah mati. Hakikat pedih ini perlu diterima oleh semua pihak, tambahan para peminat.

Umarul sendiri tentunya lebih sedih. Ini kerana beliau banyak mencipta lagu untuk kumpulan itu. Sentuhannya banyak membantu menaikkan nama Iklim.    

Sekalipun dibubar, kata Umarul, bekas anggota secara individu boleh menggunakan nama Iklim selepas nama sendiri, misalnya Umarul Iklim. Nama Iklim sebagai kumpulan tidak wujud. Kerana itu boleh nyanyikan lagu Iklim tetapi bukan atas nama Iklim. Tidak ada Iklim lain selain yang dibubar.

Sebenarnya sejak Saleem meninggal pada 14 Oktober 2018, kumpukan Iklim bagai kehilangan tulang belakang. Malah tiada pengganti bagi Saleem yang suaranya bergitu unik dan bertenaga.  

Umarul kemudian mencadangkan anak Saleem, Syafiq Farhain, diambil jadi penyanyi kerana dia boleh menyanyi dengan baik, walaupun mungkin tidak sehebat arwah bapanya. Selain itu kehadirannya boleh meruskan legasi Saleem. 

Malah Shafiq dijadual merakamkan dua lagu single dengan sebuah syarikat rakaman membawakan lagu ciptaan Umarul dan Huzali. Ini dianggap langkah awal menyemarakkan kembali nama Iklim.

Malangnya, kata Umarul, ada anggota menolak cadangan itu kerana dikatakan mempunyai calon lain. Umarul juga mendakwa tidak dijemput menjayakan satu pertunjukan Iklim. Tempatnya diganti oleh pemain gitar lain.


Bapa dan anak....Syafiq (kiri) dijadual merakamkan single sebagai pengganti bapanya. Tetapi ada anggota Iklim dikatakan tidak setuju, akhirnya membawa kepada pembubaran kumpulan itu. 


Rentetan peristiwa ini menggugat keharmonian kumpulan. Kemesraan sudah hilang bagai disalut debu. Lantaran itu cara terbaik ialah membubarkan kumpulan.

Ketiadaan iklim meninggalkan ruang kosong dalam persada seni tanah air. Yang tinggal kini hanyalah nama Iklim dalam catatan sejarah muzik tanah air, dan ‘Suci Dalam Debu’ yang kekal terpahat dalam memori peminat. - KitaReporters

 

 

 

 

 

9
9
0
15
0

Copy Link: