Arman Abdul Razak (kanan) mengiringi Wan Muhammad Aufar Nahri Wan Ahmad Amli (kiri) dan Armi Irzan Mohd ke majlis penyerahan jersi oleh Demand Empire Solution.


Projek Akademi Hoki Terengganu (AHT) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin Kuala Terengganu mendapat suntikan semangat dan sokongan padu daripada Demand Empire Solution yang menyumbangkan jersi pada 18 Februari 2025.

Majlis penuh meriah dengan semangat kesukanan berlangsung di padang hoki sekolah yang dihadiri pengurus syarikat berkenaan, Wan Muhammad Aufar Nahri Wan Ahmad Amli untuk menyerahkan 113 helai jersi kepada pemain hoki dan juga jurulatih hoki terbabit kepada Pengetua Cemerlang sekolah itu, Arman Abdul Razak.

Majlis penyerahan jersi penuh bermakna itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Roslan Mamat.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (KPIBKS) daerah Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd; Pegawai Meja PIBKS, JPNT, Amir Shariffuddin Abdullah; dan Pengurus Sukan Hoki Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mohd Rozman Mukhtar.


Arman dan Wan Muhammad Aufar Nahri (tengah) menunjukkan jersi yang disumbangkan oleh Demand Empire Solution sambil disaksikan oleh tetamu kehormat.


Berucap pada majlis itu, Roslan menegaskan bahawa pemain hoki terbabit dibantu dari segi kepakaran jurulatih, latihan yang berjadual di samping kebajikan mereka dijaga sebaik mungkin bagi mengelak sebarang masalah demi membina semangat tinggi dalam sukan itu

“SMK Padang Midin dijadikan sebagai pusat latihan bersesuaian dengan kecemerlangan yang ditonjolkan sebelum ini sebagai pusat kecemerlangan sukan hoki Negeri Terengganu yang banyak mencipta kejayaan dan melahirkan bakat baharu dalam permainan itu.

“Saya berharap mereka yang terpilih menyertai akademi ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada ajaran dan latihan diberikan jurulatih serta pakar untuk membina kemahiran tinggi sebagai pemain hebat dalam sukan hoki,” ujarnya. 

Manakala Armi Irzan ketika berucap dalam melahirkan rasa bangga dan bersyukur kerana KPIBKS Kuala Terengganu berjaya mendapatkan penajaan jersi itu iaitu dari usahawan muda Demand Empire Solution yang merupakan rakan strategi kepada kumpulan di Kuala Terengganu.

Menurutnya, semua pihak berharap projek AHT itu terus berjaya pada persada antarabangsa terutama apabila pasukan hoki SMK Padang Midin kini berada dalam kelompok utama Divisyen1 Liga Hoki Remaja Kebangsaan.

“Bukanlah suatu usaha yang mudah untuk berada pada peringkat ini dan pastinya memerlukan gandingan mantap semua pihak dan tidak hairanlah apabila SMK Padang Midin dipilih sebagai pusat projek AHT,” katanya.


Zah Mohamad (tengah) turut hadir bersama-sama guru SMK Padang Midin bagi memberi sokongan kepada projek AHT.


Sementara itu, Timbalan Pengerusi KPIBKS daerah Kuala Terengganu, Zah Mohamad, berkata objektif pusat akademi hoki berkenaan ditubuhkan adalah bertujuan untuk menjadi platform bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan hoki untuk digilap dan dikembangkan potensi pemain dalam sukan hoki.

Tambahnya, disamping itu juga AHT diwujudkan sebagai pusat latihan yang kondusif dan sistematik serta menggabungkan sains sukan dalam perkembangan pemain dan dipantau oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Hoki Terengganu (PHT).

“Sehubungan itu pusat AHT ditempatkan di SMK Padang Midin selaku sekolah projek hoki Negeri di bawah JPNT dan Majlis Sukan Sekolah Terengganu dan menjadi harapan semoga akademi ini berjaya melahirkan pemain hoki yang hebat bukan sahaja untuk negeri malah negara khususnya,” ujar beliau. - KitaReporters


Tetamu kehormat, guru, pelajar dan pasukan hoki SMK Padang Midin, Kuala Terengganu merakamkan kenangan selepas penyerahan jersi oleh Demand Empire Solution ada 18 Februari 2025.

15
10
0
13
0

Copy Link: