Berita Terkini| Anjur rumah terbuka Aidilfitri? Bekas Adun Jabi disiasat polis! Langgar SOP?
Published byGambar tular dalam media sosial berhubung majlis rumah terbuka Aidilfitri yang didakwa diadakan di kediaman Mohd Iskandar Jaafar.
BEKAS Adun
Jabi, Mohd Iskandar Jaafar disiasat oleh polis berhubung dakwaan melanggar prosedur
operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila mengadakan
majlis rumah terbuka Aidifitri pada hari raya pertama, 13 Mei 2021.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan mengikut Peraturan 17 PU (A) 225/2021 kerana melanggar SOP sewaktu PKP.
"Mohd Iskandar telahpun tampil memberi keterangan berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira jam 8.15 malam, 16 Mei 2021. Siasatan polis masih berjalan,” katanya dipetik oleh Bernama, 17 Mei 2021.
Tular dalam media sosial memaparkan beberapa tetamu termasuk kanak-kanak sedang menikmati juadah Aidilfitri di kediaman Mohd Iskandar yang juga Setiausaha Umno Bahagian Setiu.
Sementara itu, Bernama turut melaporkan Mohd Iskandar memaklumkan telah hadir memberi keterangan di IPD Besut dan tiada sebarang kompaun dikenakan kepadanya setakat ini.
Mohd Iskandar
memberitahu, tiada penganjuran rumah terbuka sebagaimana didakwa, namun pihaknya
menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan serta
membuat pertimbangan sewajarnya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter