DUA kejayaan berturut-turut di rantau Asia Tenggara sudah dicatat oleh Datuk K. Rajagobal dalam sejarah bola sepak Malaysia. Kini masanya untuk anak jati Setapak, Kuala Lumpur itu melebarkan resume kejurulatihannya di Brunei Darussalam pula! Mungkin juga dengan tinta emas lagi! Siapa tahu? : KitaReporters


K. Rajagobal (kiri) menerima cenderamata penghargaan daripada Hamidin Mohd. Amin. - Kredit foto FAM


Lagi cerita-cerita berkaitan Rajagobal:

https://kitareporters.com/search?search=rajagobal


Pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Piala AFF 2010 merupakan buah tangan istimewa dan bersejarah oleh bekas penyerang Selangor ini buat Malaysia selepas menewaskan Vietnam 1-0 dan Indonesia 4-2 (agregat). 

Brunei yang kini menduduki ranking ke-191 dunia, pasti mengidam peningkatan prestasi lantas kepada Rajagobal, harapan mereka disandarkan yang bermula dengan layak ke pusingan akhir Piala AFF 2020 yang ditunda ke penghujung 2021.

 “Sebagai jurulatih, saya cuba tampilkan perbezaan pada pemikiran pemain Brunei dan menjadikan mereka lebih berkeyakinan dalam masa terdekat," katanya.


RAJAGOBAL (kiri) menerangkan visinya sebagai ketua jurulatih Brunei kepada Hamidin. - Kredit foto FAM. 


Hari ini Khamis, 17 Disember 2020, Rajagobal mengunjungi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin sebelum berlepas ke Brunei untuk membuka lembaran baharu karier kejurulatihannya. 

Selain membimbing skuad Bawah 23 Tahun negara dan Harimau Malaya dari 2009 hingga 2013, dia juga pernah melatih Harimau Muda dalam Liga Perdana dan skuad Bawah 19 Tahun dengan FAM.

Bekas pengendali Selangor, Kelantan, PKNS FC dan Sarawak ini menerima ucapan selamat berjaya daripada Hamidin yang cukup lama dikenalinya ketika bergelar Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

‘King Gobal’ (julukannya), 64, diikat dengan kontrak dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (NFABD) selepas Jawatankuasa Eksekutifnya mendapati pencapaian calon-calon lain yang disenarai pendek tidak memiliki rekod pasukan juara.

Laporan media Brunei menyebut, pemilihan itu juga berdasarkan siri dialog selepas mempertimbangkan aspek teknikal dan kewangan persatuan selain kemampuan calon-calon antaranya dari Jerman, Serbia dan rantau Asia Tenggara. 


RAJAGOBAL (dua dari kiri) beramah mesra dengan para pegawai kanan FAM termasuk Ab. Ghani Hassan (kiri, Naib Presiden FAM) dan Stuart Ramalingam (kanan, Setiausaha Agung FAM). - Kredit foto FAM.


“Kepada jurulatih-jurulatih tempatan, contohilah keberanian beliau mencuba nasib di luar negara sekali gus membuktikan kebolehpasaran bakat kelahiran negara kita. Ikuti jejak Rajagobal dalam menaikkan nama Malaysia.

“FAM sentiasa menyokong jurulatih tempatan yang berani mengambil peluang dan risiko untuk menyumbang khidmat di luar negara. Inilah ujian sebenar kemampuan anda dalam mengurus dan membimbing pasukan,” ujar Hamidin.

"(Pelantikan ini) menjadi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk kembali memberi sesuatu kepada arena bola sepak selain menikmati semula suasana dan pengalaman ketika sebagai ketua jurulatih Malaysia dulu,” kata Rajagobal.


RAJAGOBAL dikalungkan semua pingat emas Sukan SEA Laos 2009 oleh para pemain skuad Bawah 23 Tahun Malaysia.


PENGIRAN Matusin Pengiran Matasan (kanan). - Kredit foto FB NFABD.


Presiden NFABD, Pengiran Matusin Pengiran Matasan dalam sidang media di Rumah NFABD, Bandar Seri Begawan, berkata: "NFABD dan peminat-peminat bola sepak Brunei berharap Rajagopal akan dapat membawa pasukan bola sepak negara ke tahap yang lebih baik.

"Menjadikan Brunei pasukan yang digeruni, bukanlah perkara mudah dan mengambil masa namun kehadirannya diharap dapat membimbing para pemain bersaing dalam kejohanan antarabangsa tidak lama lagi terutama pusingan kelayakan Piala AFF dan Sukan SEA Vietnam 2021," ujar beliau. - KitaReporters


ANTARA penyerang Brunei yang bakal dididik oleh Rajagobal untuk menjadi sehebat Safee Sali, penjaring terbanyak Piala AFF 2010. - Kredit foto FB NFABD


DETIK kemuncak karier kejurulatihan Rajagobal apabila membantu Harimau Malaya menjulang Piala AFF 2010 selepas menewaskan Indonesia.

0
0
0
0
0

Copy Link: