Semua dah mereng? Bunga Isme lancar single terbaharu, Mereng! Lagu hip hop sempena PKP 3.0 ke?
Published byBILA sebut Noor Ayu Fatini, 21, tentu ramai yang masih kurang mengenali nama itu. Tetapi apabila disebut Bunga Isme, pasti dengan pantas fikiran kita akan melayang kepada wajah gadis Melayu berhijab yang tampil berpakaian baju kurung dan berkasut sukan sambil melontarkan bait-bait rap ketika menyanyi.
Bukan sahaja di arena seni hiburan tempatan malah namanya turut mendapat perhatian media antarabangsa selepas muncul dalam rencana akhbar The New York Times serta rakaman video terbitan Bloomberg, malah mendapat slot temu ramah bersama South China Morning Post serta Associated Press lagi.
Pendek kata, sejak muncul dalam program 16 Baris anjuran Joe Flizzow pada tahun 2019, namanya terus tular bagaikan kilat halilintar apabila klip video YouTube 16 Baris meraih jutaan tontonan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bunga Isme
Ekoran itu, dia terpilih untuk menjayakan persembahan di festival kesenian Melayu, Pesta Raya yang diadakan di Singapura yang mana kemudiannya mengikat kontrak bersama Warner Music Malaysia dan munculnya single pertamanya, ‘Bunga’.
Sesungguhnya, bibliografi perjalanan seninya berjalan licin dan lancar sehingga mendapat perhatian pengarah tersohor Kabir Bhatia bagi membintangi sebuah telefilem yang turut menggunakan nama komersialnya itu, “Aku Bunga” pada tahun 2020.
Boleh dikatakan jarang seorang anak seni berusia muda boleh melompat jauh dalam waktu singkat seperti yang dibuktikan oleh Bunga apatah lagi berhijab tetapi bergelar rapper.
Pernah berkolaborasi dengan penyanyi popular Malaysia, Aizat Amdan dengan lagu ‘Dup Dup’ mahu pun bersama penyanyi irama Malaysia, Norazniza Idris dalam lagu ‘Intan Payung’ yang mendapat lebih 1 juta tontonan di YouTube sejak dilancarkan April 2021 lalu.
Kini, walaupun dalam tempoh PKP, Bunga mengorak langkahnya dengan melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Mereng’. Dah kenapa pula mereng Bunga, sebab terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 ke?
'Mereng’ merupakan hasil karya daripada Bunga sendiri bersama John Jeevasingham, Karim Karam, Romal Melvyn dan Ezra Kong.
Lagu yang membawa genre hip hop tetapi diberi sentuhan elemen elektropop ini mampu menangkap telinga sesiapa sahaja dengan melodi yang ‘catchy’ dan lirik yang santai.
Rapper dan penulis lirik berbakat ini berharap agar lagu ini bukan saja mendapat reaksi positif peminat hip hop tetapi diterima baik oleh peminat muzik arus perdana.
Kemunculan Bunga dengan gaya tersendiri ini pastinya memeriahkan lagi industri muzik tanah air. sekali gus menggalakkan lagi gadis sepertinya untuk cuba berkecimpung dalam arena muzik hip hop.
‘Mereng’ juga merupakan runut bunyi untuk telemovie yang akan datang berjudul 'Holiday Aji Tom' di mana Bunga turut berlakon di samping Syafiq Kyle, Jalil Hamid dan lain-lain. - KitaReporters