BERKAYAK dikategorikan sebagai sukan separuh lasak yang bukan sahaja sesuai untuk kesihatan tetapi juga memberikan ketenangan tersendiri apabila dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Bagi merasai sendiri pengalaman berkayak, seramai 25 kakitangan mewakili lima buah kawasan Felcra di daerah Hulu Terengganu serta Kuala Nerus menguji ketahanan mental dan fizikal masing-masing dengan menyahut cabaran berkayak di Sungai Berang, Hulu Terengganu pada 22 Januari 2022 lalu.

Program Berkayak Mesra Felcra anjuran Felcra Bukit Sudu, Kuala Nerus ini melibatkan  cabaran sejauh kira-kira 20 kilometer bermula di Kampung Pengkalan Ajal sehingga ke Kampung Buluh, Kuala Berang dengan mengambil masa selama hampir empat jam.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Felcra


Md Azli Mohd Teh (depan) mengetuai Program Berkayak Ukhwah Felcra di Sungai Berang, Hulu Terengganu.


Penyelaras program, Md Azli Mohd Teh berkata program perintis tersebut melibatkan peserta-peserta yang mewakili Felcra Bukit Sudu, Bukit Kesing, Hulu Berang, Banggol Gajah Mati serta Bukit Kapah.

Menurutnya, aktiviti riadah itu salah satu pendekatan terbaik bagi mengeratkan hubungan ukhwah selain memberi peluang kepada peserta nikmati panorama alam Sungai Berang diberi jolokan  ‘The Little Amazon’ atau ‘Amazon Terengganu’.

“Program santai sebegini juga sebenarnya turut mengalakkan semangat kerjasama serta budaya kerja berpasukan yang sememangnya penting sewaktu kita bekerja atau menjalankan tugas di tempat kerja.

“Selain pengalaman pertama berkayak di sungai bagi majoriti peserta, program perintis melibatkan gabungan beberapa buah kawasan Felcra ini juga sebagai penanda aras untuk kita anjurkan dalam skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya kepada KitaReporters.


Peserta tidak lepaskan peluang bergambar kenangan.


Antara halangan perlu dilalui peserta Program Berkayak Ukhwah Felda di Sungai Berang, Hulu Terengganu.


Tambah beliau yang juga Pengurus Kawasan Felcra Bukit Sudu, usaha penganjuran berkenaan juga bagi memperkenalkan lagi Sungai Berang sebagai khazanah produk pelancongan di daerah Hulu Terengganu.

“Sepanjang laluan peserta dihamparkan dengan khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara. Bukan sekadar keindahan sungai serta udara segar tetapi juga ratusan pokok seumpama kanopi memayungi.

“Kepenatan tidak begitu dirasai walaupun berjam-jam berkayak kerana kita begitu terpesona dengan panorama sekeliling,” ujarnya.


Peserta merakam gambar kenangan dengan gaya tersendiri.


Penulis turut diberi peluang oleh penganjur menyertai program dan sekali gus menjadi pengalaman pertama berkayak di sungai.

Bagi penulis, berkayak bagaikan mengajar erti sebenar kehidupan yang penuh onak duri kerana sepanjang laluan menyusuri sungai ada ketikanya kita temui arus deras, ada kalanya tenang selain halangan tunggul kayu.

Semua itu diibaratkan sebagai ujian dalam kehidupan sebenar dan hanya dengan semangat, kekuatan serta sokongan segala cabaran atau rintangan dapat diharungi hingga akhirnya sampai ke penamat. - KitaReporters


 

17
16
0
12
0

Copy Link: