HANYA orang yang mengalami anxiety disorder saja memahami perasaan mereka yang senasib. Anxiety Disorder atau kecelaruan keresahan adalah keadaan psikik dalam ketakutan dan kebimbangan yang kronik, walaupun tidak ada rangsangan yang khusus.

Penyanyi, pengacara dan pelakon Shiha Zikir, 35, mengakui yang dia sudah lama berhadapan dengan situasi tersebut terutamanya bila menaiki kapal terbang.

Disebabkan takut air dan naik kapal terbang, Shiha sanggup menolak semua tawaran persembahan pentas yang memerlukan dia menggunakan perkhidmatan udara ke lokasi berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Shiha Zikir

Dalam keceriaannya menghibur orang ramai, Shiha sering alami masalah anxiety yang teruk bila menaiki kapal terbang.


Kata Shiha, sebelum pandemik melanda dia sering terbang ke Indonesia kerana namanya mula mendapat perhatian peminat di sana selepas muncul sebagai pemenang ketiga program realiti D’Academy Asia 2015.

“Dulu boleh dikatakan setiap minggu Shiha akan ke Indonesia bagi menjayakan pelbagai program dan persembahan. Sebenarnya setiap kali pergi, Shiha seolah-olah ‘menggadai nyawa’ kerana Shiha takut naik kapal terbang.

“Dalam kapal terbang, Shiha tak akan makan atau minum, cuma berharap cepat sampai saja. Bukannya takut mati atau terhempas, Shiha takut laut sebab Shiha takut air.

“Sampai pernah tanya soalan bodoh, kenapalah kapal terbang perlu melintasi laut? Kenapa tak terbang ikut bukit saja. Sampai begitu sekali perasaan takut Shiha bila fikirkan kalau kapal terbang terhempas dalam laut,” kongsi Shiha tentang penyakit anxiety disorder yang dialaminya.


Shiha takut air kerana pernah alami pengalaman ngeri waktu kecil.


Jujurnya Shiha memberitahu yang dia takut dengan air kerana sewaktu kecil pernah hampir lemas sewaktu mandi laut dengan arwah ayahnya.

“Masa kecil pernah nak lemas dengan arwah abah kat pantai. Shiha duduk atas bahu abah, dia gurau-gurau, duduk dalam laut dan Shiha tenggelam dan bila abah berdiri balik, terus rasa takut.

“Mak juga pernah cerita, waktu dalam kandungan lagi dah melibatkan air. Mak kata nak bersalinkan Shiha susah, doktor terpaksa masukkan banyak air dan hampir lemas dalam perut, dah kena bedah dan lahirlah Shiha.

“Waktu Shiha kecil, pernah jatuh dalam baldi, kaki je kat atas, nasib baik abang nampak. Ada lagi cerita air, mak kata waktu kecil, mak tidurkan Shiha sebelah dia tiba-tiba tilam Shiha bergerak, nasib baik pintu tutup. Mak kata pengalaman Shiha banyak melibatkan air sampai besar. Tapi ramai orang tak tahu, Shiha ni trauma air sejak dari kecil,” katanya.


Shiha dipilih sebagai Superstar Paling Gempak Muzikal Lawak Superstar 3, baru-baru ini.


Enggan membiarkan dirinya dibelenggu masalah takut air, Shiha pernah cuba untuk mengatasinya tapi sehingga kini belum temui jalan penyelesaian.

“Sekarang ini kalau ada job yang perlu naik kapal terbang, Shiha tolak. Macam sebelum ini, sebagai duta SugarBomb, Shiha perlu buat promosi di seluruh Malaysia. Awal-awal lagi Shiha beritahu owner, Shiha akan turun kecuali Sabah Sarawak.

“Dia tanya kenapa, Shiha cakaplah takut naik flight. Mula-mula dia gelak tapi bila bagi tahu, dia faham. Buat masa sekarang banyak show yang Shiha tolak. Bukan sampai bila-bila, kena tunggu perasaan ni slow down, baru Shiha berani,” katanya terus terang.



Apa pun kata Shiha, dia perlu mengatasi penyakit tersebut kerana Disember ini harus terbang ke Indonesia untuk persembahan

“Baru-baru ini Indonesia telefon mahu Shiha ke sana Disember ini, lambat lagi tapi kena buat visa awal. Macam mana nak buat ni, sekarang ini insya-Allah dalam proses. Nanti bulan Disember macam mana perasaan Shiha boleh ke tak?

“Cuma buat masa sekarang Shiha belum jumpa dengan doktor pakar macam bahagian psikologi, tapi Shiha rasa kena jumpa sebab dah banyak job yang Shiha tolak, yang melibatkan penerbangan,” katanya.


Gembira dapat peluang berlakon teater muzikal di Istana Budaya.


Dalam pada itu, Shiha juga bakal menjayakan teater muzikal Jula Juli Bintang 7, arahan Zaifri Husin yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 29 dan 30 Oktober 2022 ini.

Baginya, teater muzikal ini merupakan satu perkara yang sudah lama diinginkan bagi melengkapkan profil sebagai anak seni.

“Teater Jula Juli Bintang 7 ini merupakan satu perkara yang sangat membanggakan kerana ini merupakan kali pertama Shiha sertai teater. Shiha sangat berbesar hati dapat berlakon dalam pementasan ini kerana dulu berangan saja bila tengok orang boleh buat teater di Istana Budaya.

“Sekarang, alhamdulillah, rezeki Shiha bersama-sama dengan barisan pelakon dan kru yang Shiha nak minta tunjuk ajar daripada mereka untuk memantapkan lagi penampilan Shiha bila atas pentas nanti.

“Shiha percaya dengan orang hebat ini, kami semua akan memberikan komitmen 100 peratus, kita tak nak orang beli tiket balik dalam keadaan tak puas. Apa yang akan kami buat adalah nak semua orang datang menonton dan ingin datang lagi,” katanya yang melakonkan watak Puteri Bongsu. - KitaReporters


9
9
0
10
0

Copy Link: