Perhitungan balas dendam! Bangau/Aidil vs Seksan/Thailand! Murid vs guru! Piala dunia takraw Bihar!
Published byDARI kiri, Noraizat Nordin, Aidil Aiman Azwawi dan Fetri Azwadi bersama-sama rakan sepasukan wanita negara yang meraih tempat ketiga bersama kuadran campuran King's Cup 2024 di Korat. - Kredit foto: TAT
PERHITUNGAN buku dengan ruas atau episod ketiga pembalasan dendam acara beregu sepak takraw sejak 7 April 2024.
Dua julukan ini mengungkapkan kemungkinan pertembungan Noraizat Nordin/Aidil Aiman Azwawi pada Piala Dunia Sepak Takraw Istaf di Stadium Tertutup Patliputra, Kankarbagh Patna-Bihar, Bihar, India dari 20 hingga 25 Mac 2025 ini.
Gandingan Malaysia
yang turut digelar Bangau/Aidil itu dikejutkan dengan ‘pembelotan’ perunding
pasukan negara, Seksan Tubtong yang kembali menyarung jersi Si Gajah Putih ke
Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Kuala Lumpur 2024.
Sebelum itu, Seksan dan Kittiphum Sareebut menyekat kemaraan beregu negara 15-8, 15-13 dengan keempat-empat mereka mewakili pasukan Tentera Laut Thailand dalam suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Thailand Piala Puteri Diraja 2024 di Bangkok.
Namun ditemani 2,500 hadirin penyokong di Stadium Titiwangsa tanggal 22 Mei 2024, Noraizat dan Aidil serta simpanan, Baihakki A’ripin pula menumbangkan Seksan/Kittiphum (Tanaphon Sapyen) 17-16, 15-13 untuk menjuarai acara ini.
LIBASAN kalih atau 'Maniam' Bangau yang berhelah memperdayakan Kittiphum Sareebut dalam final beregu Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Kuala Lumpur. Kemenangan bersejarah Malaysia bagi acara ini sejak 2005.
Seperti mana barisan tonggak Thailand, Malaysia mengutus enam hulubalang handalannya yang termasuk Shahalril Aiman Halim, Fetri Azwadi, Amirul Zazwan Amir dan Norfaizzul Razak ke Bihar bagi menyertai dua acara, beregu dan kuadran (berempat), lapor laman sesawang Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada 21 Februari 2025 lalu.
PSM tampak cukup
meyakini gandingan Noraizat/Aidil yang keserasiannya sudah terbentuk sejak mereka
mengumpul dua pingat perak Sukan SEA Vietnam 2022 dan Kemboja 2023 di Hanoi dan
Phnom Penh.
Shahalril atau digelar Abang, perejam gaya gulung kelahiran Perlis, turut pernah mewakili Tentera Laut Thailand pada Piala Puteri Diraja itu bersama-sama Norfaizzul yang dijuluki Uda.
Dengan masing-masing sebagai perejam dan pengumpan, beregu Malaysia ini juga pastinya meletakkan Abang selaku perejam simpanan, manakala Fetri, Amirul dan Uda dikhususkan bagi kuadran.
Kecuali Amirul atau digelar Ayong,
selebihnya telah teruji dengan tugasan terakhir skuad negara pada Kejohanan
Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 atau popular digelar King’s Cup di Korat,
September 2024 lalu dengan pencapaian naib juara berpasukan dan separuh akhir
kuadran campuran.
Garapan pemain negara ialah empat perejam dan dua pengumpan bagi kedua-dua acara ini sedangkan Thailand dengan enam tonggaknya, membariskan dua tekong (Kritsanapong Nontakote dan Pornthep Tinbangbon), dua perejam (Thawisak Thongsai dan Phutawan Sopa) dan dua pengumpan (Seksan dan Rachan Viphan).
Walau bagaimanapun kedua-dua acara ini tidak menetapkan pemain tertentu sebagai tekong bagi menjalankan servis di kawasan bulatan, sebaliknya sepak mula itu boleh dilakukan dari luar garisan belakang gelanggang.
SKUAD negara ke Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 di Bihar, India. - Kredit foto: PSM
Sebanyak 16 lagi negara menyertai Piala Dunia di Bihar termasuk bagi kategori wanita (kuadran - wajib, regu dan beregu - pilihan) iaitu Amerika Syarikat, Brazil, China, Perancis, India, Iran, Itali, Jepun, Myanmar, Nepal, New Zealand, Poland, Sri Lanka, Singapura, Taiwan, Vietnam dan Indonesia.
Agak malang
apabila Bihar gagal menyaksikan dua lagi negara handalan sepak takraw
dunia iaitu Korea Selatan dan Filipina yang sesekali mara ke
separuh akhir mahupun perlawanan akhir Sukan SEA, Sukan Asia dan
King’s Cup dan Piala Dunia.
Ketiadaan mereka disahkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) selaku penauliah Piala Dunia di Bihar.
BANGAU (kiri) dan Aidil, gandingan perejam kelahiran Johor dan pengumpan dari Kelantan yang cukup serasi sama ada dalam skuad negara mahupun Perak. - Kredit foto: TIA
Kali akhir India menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw Istaf ialah pada 2017 di Stadium Gachibowli, Hyderabad, Telangana yang menyaksikan Thailand menjuarai acara regu dengan menewaskan Malaysia 21-19, 23-21.
Malah jika diukur prestasi dalam King’s Cup 2024, Thailand yang membolot gelaran kuadran lelaki, wanita dan campuran pasti terus menjadi pilihan utama menjuarainya di Bihar.
Agak menggusarkan ialah prestasi kuadran negara yang pernah dikejutkan India dalam Piala Dunia Istaf 2022 di Daejeon, Korea Selatan dan Bihar pasti memberi tuan rumah banyak kelebihan dan keyakinan. - KitaReporters
SEKSAN Tubtong (3) yang digaji sebagai perunding pasukan Malaysia pada Februari 2024 namun 'belot' kepada PSM pada Piala Dunia Istaf di Kuala Lumpur. Kanan, Tanaphon Sapyen. - Kredit foto: TIA