.


ALLAHYARHAM Datuk Sudirman Arshad, Penghibur Nombor 1 Asia.


SEJUJURNYA penulis tidak rapat dengan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad walaupun kami pernah bekerja di bawah satu bumbung.

Pada 1987, penyanyi tersohor tanah air itu menjadi penulis residen di Kumpulan Karangkraf, tempat penulis bertugas sebagai pengarang majalah Arena Bolasepak.

Sebagai penulis residen, Sudir tidak terikat secara khusus dengan sebarang majalah terbitan syarikat itu, sebaliknya bebas menulis untuk mana-mana majalah bersesuaian dengan topik yang mahu ditulisnya.

Langkah Karangkraf melantik Sudir sebagai penulis residen sudah tentu untuk melonjakkan lagi jualan majalah-majalah syarikat itu dan ia dianggap strategi perniagaan yang bijak kerana sebagaimana semua orang maklum Penghibur Nombor 1 Asia itu mempunyai jutaan peminat, salah seorangnya adalah penulis!

Kalaupun bukan peminat nombor satu, penulis adalah peminat yang mengikuti perkembangan kariernya sejak beliau memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1976.


SUDIR memberi jiwa dalam setiap persembahannya.


Sesuatu yang membuatkan penulis meminati Sudir adalah persembahannya yang kreatif sesuai dengan lagu yang disampaikannya malah lagu-lagunya seperti Anak Gembala, Hidup Sederhana (Basikal Tua), Apa Khabar Orang Kampung, Joget Kenangan Manis, Chow Kit Road dan banyak lagi sangat dekat dengan rakyat.

Jika dinilai dari sudut vokal, Sudir tidak sehebat Jamal Abdillah tapi beliau menutupi kekurangan itu dengan penghayatan dalam menyampaikan sesebuah lagu sehingga kita terasa ke sanubari.

Semangat patriotik penulis melonjak apabila mendengar Sudir menyanyikan lagu Warisan, 31 Ogos dan Tanah Ini Tanahku (Tanah Milik Kita Bersama).

Penulis boleh menangis setiap kali mendengar lagu Ayah Dan Ibu. Walaupun lagu ini lagu lama yang pernah dipopularkan oleh A Rahman pada tahun 1950-an tapi cara penyampaian Sudir menikam ke dalam ke lubuk hati.

Begitu juga dengan lagu-lagu seperti Terasing, Salam Terakhir, Hujan, Antara Hujan Dan Airmata semuanya sangat mengesankan.


PENULIS menemani Sudirman semasa sesi temu bual bersama bintang bola sepak, Fandi Ahmad pada 1987.


Justeru, sebagai peminatnya, penulis berasa bangga dapat bekerja sebumbung dengan Sudir. Sepatutnya inilah peluang untuk penulis mendekati dan mengenali beliau dengan rapat tapi sifat malu menyebabkan hasrat itu terbantut.

Penulis sentiasa berasa rendah diri kerana Sudir ketika itu adalah seorang superstar. Lagipun, sebagai wartawan sukan apa yang hendak dibualkan dengan beliau kerana dunia kami berbeza.

Setiap hari Sudir akan melintas di kawasan editorial Arena Bolasepak untuk masuk ke biliknya. Selalunya beliau sekadar menyapa 'Hai' atau melemparkan senyuman kepada kami.

 Tapi, suatu hari peluang untuk penulis berjumpa Sudir tiba-tiba muncul. Penulis agak terperanjat apabila pembantu khas beliau, Intan Zabidin memberitahu Sudir mahu berjumpa. Tertanya-tanya mengapa?


TEMU BUAL Sudirman bersama Fandi berjalan dalam suasana santai dan mesra.


Rupa-rupanya Sudir minta penulis aturkan pertemuan dengan bintang bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang ketika itu mewakili pasukan Wilayah Persekutuan (sekarang Kuala Lumpur City FC).

Beliau berkata mahu mengadakan temu bual bersama Fandi dan meminta penulis (sebagai editor) menyiarkan dalam majalah Arena Bolasepak. Bagi penulis, kesudian Sudir menulis untuk majalah kendalian penulis memang sangat dialu-alukan kerana ia akan menjadi nilai tambah kepada majalah itu.

Malah, penulis sudah membayangkan wajah cover majalah Arena Bolasepak yang akan menggandingkan Sudir dan Fandi. Sudir ternyata setuju dengan cadangan penulis itu.

Satu perkara yang buat penulis angkat topi dengan Sudir adalah sifat merendah diri. Walaupun beliau seorang superstar tapi beliau menghormati penulis sebagai orang lebih arif dalam soal bola sepak.


MAJALAH Arena Bolasepak keluaran Ogos 1987 yang menampilkan Sudirman dan Fandi sebagai cover.


Sejak itu, kerap juga Sudir memanggil penulis ke biliknya untuk berbincang mengenai angle yang sesuai untuk beliau bicarakan dalam temu bual dengan Fandi kelak. Beliau biasanya membahasakan dirinya Abang Sudir bila berbual dengan penulis.

Penulis mendapati Sudir seorang teliti dan perfectionist dalam melakukan tugasnya. Beliau mahu melakukan yang terbaik dan tidak segan bertanya perkara yang kurang difahami mengenai bola sepak.

Beliau membuat kerja rumah kerana mahu memastikan berada dalam keadaan cukup bersedia bila turun padang nanti. Justeru, penulis fikir tidak hairan Sudir berjaya dalam kariernya sebagai penyanyi.

Tiba hari dijanjikan, penulis bersama Intan dan jurugambar, Zulkafli Wahab berkunjung ke rumah sewa Fandi di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur. Turut tinggal bersama Fandi adalah rakan sepasukannya, Malik Awab.

Sesi temu bual berjalan dalam keadaan santai dan mesra. Ternyata Fandi juga sangat teruja kerana ditemu bual oleh seorang selebriti terkenal.


 

GELAGAT Sudirman dan Fandi.


Hasil temu bual Sudir dengan Fandi disiarkan dalam majalah Arena Bolasepak keluaran Ogos 1987. Selain menampilkan gandingan kedua-dua bintang itu sebagai penghias kulit (cover), turut dimuatkan adalah gambar mereka sebagai poster muka tengah.

Selepas pertemuan dengan Fandi itu, Sudir nampak makin seronok menemu bual ahli sukan terutama pemain bola sepak dan seperti biasa beliau akan meminta penulis mengatur sesi temu bual itu.

Antara yang penulis masih ingat, Sudir pernah menemu bual Allahyarham Datuk Harun Idris, bekas pengurus skuad Olimpik 1972 dan bintang bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan.

Agak kelakar, sesi latihan skuad kebangsaan yang sedang berlangsung di padang Wisma FAM segera ditamatkan sebaik saja mereka ternampak kelibat Sudirman di tepi padang. Semua pemain teruja dapat bertemu penyanyi tersohor itu.


BERITA kematian Sudirman menjadi tajuk utama akhbar.


Bagi penulis, walaupun tidak terlalu rapat dengan Sudir tapi kesempatan bekerjasama dengan beliau tetap satu kenangan indah.

Setiap kali menatap gambar penulis menemani beliau dalam sesi temu bual bersama Fandi, terdetik rasa bangga walaupun pada orang lain mungkin tak ada apa yang perlu dibanggakan.

Apabila Sudir meninggalkan Karangkraf, penulis berasa terkilan mengapa tidak menggunakan kesempatan untuk mengenali beliau dengan lebih dekat ketika beliau masih bersama kami.

Tanggal 22 Februari 2025, genap 33 tahun Datuk Sudirman Arshad berangkat ke alam abadi pada 22 Februari 1992, Beliau bukan saja meninggalkan kerja seni sebagai warisan tapi secebis kenangan kepada penulis!

Al-Fatihah. - KitaReporters

15
14
0
14
0

Copy Link: