Jepun nak paha pula! Prospek emas Asia 2026 Malaysia lenyap? Acara antara beregu lelaki ganti regu!
Published byMALAYSIA mungkin kempunan pingat emas sepak takraw Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sekiranya Jepun yang sudah ‘diberi betis, mendapat paha pula’.
Satu-satunya
prospek terbaik skuad negara dalam acara antara regu lelaki bakal lenyap jika saranan
Persekutuan Sepak Takraw Jepun (Jstaf) untuk menggantikannya dengan beregu, diterima oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
Saranan itu seperti percubaan nekad tuan rumah untuk mencerahkan peluangnya menyambar pingat acara beregu berbanding antara regu sekalipun Jawatankuasa Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 (Ainagoc) dan Majlis Olimpik Asia (OCA) sudah pun meluluskan enam acara sepak takraw lelaki dan wanita pada 25 Disember 2024 lalu.
Presiden Jstaf, Shunichi Takeshita pada 15 Januari 2025 lalu, telah menyarankan penukaran acara ini yang seperti mahukan keselarasan keenam-enamnya menerusi sepucuk surat kepada Astaf.
Enam acara berkenaan yang telah diluluskan Ainagoc ialah regu berpasukan, antara regu, kuadran (lelaki), regu berpasukan, beregu dan kuadran (wanita).
Sukan
Asia Ke-20 di Aichi-Nagoya yang dijadualkan dari 19 September hingga 4 Oktober
2026, merupakan kali ketiga bertuanrumahkan Jepun dengan yang pertama, tanggal
1958 di Tokyo.
Ketika
kali akhir Jepun menjadi tuan rumah temasya empat tahun sekali ini pada 1994 di
Hiroshima, hanya satu acara iaitu antara regu lelaki yang dipertanding.
“Astaf tidak akan secara mendadak menerima saranan Jstaf itu apatah lagi setelah Ainagoc menerusi Setiausaha Agungnya, Murate Satoshi dalam sepucuk surat 25 Disember 2024 lalu, memaklumkan kelulusan enam acara tersebut,” kata Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader dalam kenyataan media 26 Februari 2025.
Astaf
katanya, masih dan sentiasa menerima apa jua pandangan dan cadangan semua
negara ahli gabungan persekutuan itu untuk dipertimbang sekiranya terdapat
kewajaran dan alasan tertentu dan kukuh.
Namun Jepun
sebenarnya diberikan banyak kelebihan dan keistimewaan selaku tuan rumah oleh
Astaf seperti boleh menyertai kesemua acara yang dipertanding yang berbeza
dengan negara-negara peserta lain iaitu hanya dua daripada tiga setiap kategori
jantina.
“Setiap
negara boleh menyenaraikan sehingga 15 pemain lelaki dan wanita namun tuan
rumah mendapat satu lagi keistimewaan untuk menamakan 18 pemain lelaki dan
wanita,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw
Antarabangsa (Istaf).
Malaysia
mengakhiri kemarau pingat emas sepak takraw Sukan Asia sejak 1998 dengan
menjuarai antara regu di Palembang pada 2018 biarpun hanya setelah mengalahkan
tuan rumah, Indonesia tanpa penyertaan musuh tradisi, Thailand.
Namun regu
negara (Syahir Rosdi/Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Amirul
Zazwan Amir) dihampakan oleh Si Gajah Putih 15-21, 19-21 dalam final Sukan Asia Hangzhou
2023.
Temasya edisi ke-19 itu mempertanding enam acara iaitu regu berpasukan, antara regu dan kuadran (lelaki dan wanita) di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, Zhejiang, China.
Astaf walau
bagaimanapun akan merujuk kepada dua negara pendukung sepak takraw ini,
Malaysia dan Thailand terlebih dulu untuk mengkaji saranan Jstaf itu.
“Kami
akan berhubung dulu dengan Presiden dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw
Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan dan Datuk Abidullah Salleh serta rakan
sejawatan mereka di Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiprasit dan
Srihasak Arirachakaran.
“Walau apa
pun keputusan yang bakal diambil berkaitan cadangan Jstaf, sememangnya antara regu
lelaki sudah menjadi acara tradisi yang tidak pernah tercicir sejak sepak
takraw menyertai Sukan Asia sebagai sukan berpingat di Beijing pada 1990
hinggalah Hangzhou 2023.
“Astaf akan terus mencari penyelesaian terbaik untuk menangani sebarag isu yang ditimbulkan ahli-ahli gabungannya di meja rundingan demi keharmonian dan kecemerlangan sukan sepak takraw,” kata Halim. - KitaReporters
PERTEMBUNGAN final antara regu Sukan Asia Hangzhou membabitkan regu negara (jersi hitam kuning dari kiri, Zarif Marican Ibrahim Marican, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir) di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua tanggal 7 Oktober 2023 yang dimenangi Thailand. - Kredit foto: MSN